Saturday 29 June 2013

TANGIS



Pagi dingin tadi
aku terpegun rasa
ada titis merembes
dari jendela jiwa

aku yang terhimpit
di celahan manusia... manusia
oh kasih... oh jiwa...
rasa itu yang menghiris
datangnya penuh rahsia

Oh Tuhanku
dakaplah aku
eratkan hatiku kepada-Mu
tak mahu aku sendiri
terapung dalam ruang
hanya Engkau yang mengerti
awal dan akhirnya...




Norlidar
20.06.2013 - 1.05 a.m.

SAHABAT HATI


Andai dirimu bintang malam
terangilah malamku
inginku sandarkan lelah
dari jalan-jalan menyesakkan
mengering embun salju

Andai dirimu
satu antara bintang seribu
kerdipkan cahaya
lalui tirai kamarku
aku masih di situ
membisu menantimu...

Friday 28 June 2013

MUHASABAH DIRI

MUHASABAH DIRI.

Allahuma, la ilaha illa anta. Subhanaka, inni kuntu minazzhalimin.

"Ya Allah, tidak ada Tuhan selain Engakau. Maha suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim."
Ketika  kita ditimpa musibah atau dalam keadaan diuji, kita diajarkan untuk membaca apa yang dibaca oleh Nabi Yunus. Lalu kita pun melafazkannya.

Membacanya berulang-ulang kali. Ternyata masih ramai yang terus berasa gelisah. Ada pun mungkin redha tetapi sekadar sementara.

Seharusnya kita memahami apa yang dimaksudkan di dalam doa ini.

Kita nyatakan pada Allah bahawa, "ya Allah, sungguh benar ya Allah aku ini termasuk orang yang zalim." Siapakah yang kita zalimi?

Orang yang kita zalimi itu adalah sebenarnya DIRI KITA SENDIRI. Sungguh ketika aku gelisah resah sempit terhimpit, aku sebenarnya yang menzalimi diriku sendiri. Aku adalah orang yang zalim.

Jiwa terhimpit sempit kerana puncanya hanyalah satu iaitu tidak redha dengan Allah SWT.

Kita tidak mampu menerima sepenuhnya apa yang berlaku pada diri kita yang ditakdirkan Allah.

Lalu kita tidak memohon tetapi sekadar menyatakan pada Allah keadaan diri kita dengan harapan kita memperolehi belas kasihan Allah dengan menguatkan jiwa kita agar mampu redha dengan Allah SWT. Tetapi dengan tidak sepenuh hati.

Inilah apa yang dinyatakan oleh Nabi Yunus pada Allah ketika dalam perut ikan yu. Mengaku tiada apa dan sesiapa pun yang berhak sebagai Tuhan melainkan hanya Allah SWT.

Ia bukanlah sebagai permohonan tetapi hanya komunikasi iaitu menceritakan keadaan diri pada Allah. SELEBIHNYA KITA HANYA MENGIKUT KEHENDAK ALLAH.

Dengan mengaku Allah sahaja yang berhak sebagai Tuhan dan bahawa sungguh aku ini orang yang zalim, Nabi Yunus BERJAYA MELEPASI 3 KEGELAPAN.

Atas izin Allah Nabi Yunus berjaya melepasi.
1. Kegelapan perut ikan
2. Kegelapan lautan
3. Kegelapan malam.

Marilah, kita lafazkan pada Allah

ya Allah tiada apa pun yang berhak sebagai Tuhan melainkan Engkau ya Allah dan sungguh ya Allah, aku ini adalah termasuk golongan orang yang zalim. Yang menzalimi diriku sendiri ya Allah dengan tidak berserah kepadaMu ya Allah.

Ya Allah aku mohon ya Allah agar diperkuatkan jiwa ini ya Allah, diberi petunjuk ya Allah. Kuatkan jiwa ini agar mampu berserah ya Allah.

ya Allah...
ya Allah...

ya Allah...

Semoga diri kita mampu keluar dari golongan orang yang menzalimi diri kita sendiri iaitu hamba yang tidak redha dengan Allah SWT.

Aamiinn


JANGAN BERPUTUS ASA


Jangan pernah berputus asa
kerana perubahan itu akan terjadi beransur-ansur.

Anda akan menghadapi banyak rintangan yang melemahkan semangat
Maka jangan biarkan ia menguasai diri anda


Dr 'Aidh Bin Bin Abdullah Al Qarni
~La Tahzan~

Sunday 23 June 2013

JAUHI DARIPADA MENJADI TIGA GOLONGAN AWAL AHLI NERAKA

"Jauhi Daripada Menjadi Tiga Golongan Awal Ahli Neraka"

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
BismillahirRahmanirRahim

Setiap amalan yang hendak dilaksanakan mestilah ikhlas kemata-mata kerana Allah SWT. Allah SWT. tidak akan memandang sesuatu amalan yang dilaksanakan kerana riyak atau untuk mendapat pujian daripada manusia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Barangsiapa beramal kerana riyak, Allah akan menolak amal itu pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah r.a. berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, "Allah SWT berfirman yang bermaksud, 'Aku adalah Dzat Yang paling kaya dari persekutuan-persekutuan yang ada. Barangsiapa beramal dengan suatu amalan bercampur dengan syirik (persekutuan) di dalamnya antara Aku dengan selain Aku, Aku akan meninggalkannya dan apa yang dipersekutukan itu'." (Hadis Riwayat Muslim).

Sufyan Ash-Ashbahiny bercerita kepada 'Uqah ibn Muslim bahawa semasa memasuki Madinah, dia melihat orang sedang mengerumuni Abu Hurairah r.a. Sufyan pun menghampirinya, lalu dia duduk di hadapan Abu Hurairah yang sedang menyampaikan hadis kepada jemaah itu. Ketika Abu Hurairah berdiam diri seketika, Sufyan meminta agar dia menyampaikan hadis yang benar-benar difahami untuk dihayati. Abu Hurairah pun bersetuju seraya berkata. "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan Rasulullah SAW kepadaku" Selepas berkata begitu, tiba-tiba Abu Hurairah menangis tersedu-sedu hingga hampir pengsan.

Kemudian dia diam sebentar dan setelah kembali tersedar dia berkata, "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan Rasulullah SAW kepadaku di rumah ini, tidak ada orang lain selain aku dan baginda." Tiba-tiba Abu Hurairah menangis kembali tersedu-sedu sehingga hampir pengsan.

Ketika itu Abu Hurairah kembali sedar dan dia menceritakan : "Bahawa pada hari kiamat nanti, Allah SWT akan turun kepada hambanya untuk memberikan keputusan kepada mereka. Setiap umat ketika itu berlutut. Golongan terawal yang akan dipanggil adalah "orang alim" , orang kaya dan orang yang berperang di jalan Allah SWT.

Allah SWT bertanya kepada orang alim itu,"Bukankah Aku telah mengajarkanmu kitab yang telah Aku turunkan kepada rasul-Ku?"

Orang itu menjawab. "Benar,wahai Tuhan.''

Allah SWT kembali bertanya. ''Apa yang engkau kerjakan dengan ilmu yang kau miliki?''

Orang tersebut menjawab, ''Dengannya aku beribadat kepada-Mu di malam hari dan siang hari''

Malaikat berkata kepadanya, "Engkau berdusta".

Allah SWT berfirman "Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang alim''.

Kemudian dipanggil orang kaya. Allah SWT berfirman, ''Engkau telah Aku beri rezeki sehingga berkeadaan cukup".

Orang itu menjawab, ''Benar wahai Tuhan''.

Allah SWT kemudian bertanya, ''Apa yang telah engkau kerjakan dengan hartamu itu?'',

Dia menjawab, ''Dengannya aku bersillaturrahim dan juga bersedekah.''

Allah SWT berfirman kepadanya, "Engkau dusta".

Malaikat juga berkata begitu. Allah SWT berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang dermawan.''

Kemudian didatangkan orang yang terbunuh selepas berperang di jalan Allah SWT.

Maka Allah SWT berfirman, ''Apa yang menyebabkanmu terbunuh?''

Dia menjawab, ''Telah diperintahkan kepadaku untuk berjihad di jalan-Mu, maka aku berperang sehingga terbunuh.''

Maka Allah SWT berfirman kepadanya ,''Engkau berdusta, malaikat juga berkata begitu."

Allah SWT berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang berani''.

"Kemudian Rasulullah S.A.W menepuk lututku sambil bersabda, ''Wahai Abu Hurairah, ketiga-tiga orang itu adalah orang-orang yang pertama sekali merasakan seksaan api neraka pada hari kiamat.''"

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amalan yang kita lakukan jika tidak ikhlas kerana Allah SWT dan ada matlamat dan tujuan yang lain maka ianya tidak akan di terima oleh Allah SWT. Amalan tersebut akan menjadi debu-debu yang berterbangan dan tidak ada nilai di sisi Allah SWT.

Ada orang bertanya bagaimana hendak mengetahui sesuatu amalan itu ikhlas atau tidak?, sedangkan ikhlas itu terletak di hati. Tidak ada sesiapa pun mengetahuinya melainkan Allah SWT.

Memang benar ikhlas itu terletak di hati. Jika kita sendiri hendak mengesan amalan yang kita buat itu ikhlas atau pun tidak maka tandanya kita lebih suka rahsiakan daripada menceritakan kepada orang lain. Boleh di ceritakan dengan syarat ada keperluan sebagai pengajaran dan ikutan. Sedekah yang lebih baik adalah sedekah yang dilakukan secara sembunyi tanpa diketahui oleh orang lain hinggakan tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanan.

Bila berdakwah dan berjihad dijalan Allah SWT tidak mengharapkan ganjaran atau pun pujian orang ramai. Dihina atau dipuji tidak akan melemahkan semangat atau menjadi lebih semangat, kerana tidak ada balasan ganjaran yang lebih baik melainkan ganjaran daripada Allah SWT.

Janji Allah Itu Benar.

KESALAHAN DAN KEBAIKAN


"Ingatlah olehmu dua perkara, iaitu kesalahanmu kepada orang lain dan kebaikan orang lain kepadamu. Lupakan dua perkara, iaitu kebaikanmu pada orang lain dan kesalahan orang lain kepadamu".

Nasihat ahli hikmah ini, perlu kita jadikan bahan renungan dan muhasabah kita dalam upaya mencapai peribadi yang berakhlak karimah. Nilai seseorang bukanlah berada pada penampilan dirinya, bukan pula dari jawatan dan harta benda yang telah dikumpulkan. Seseorang dinilai bukan dari kerusi yang diduduki, bukan pula berapa pangkat yang disandang dan tanda jasa yang melekat pada dadanya, serta bukan pula kerana garis keturunannya. Seorang itu dinilai dari budi pekerti luhur yang menghiasi perilakunya.

Dikatakan dalam pepatah Arab, ''Kemuliaan seseorang itu dengan budi pekerti yang baik, bukan kerana keturunan.'' Mengapa kita harus mengingat kesalahan yang telah dikerjakan pada orang lain? Dengan mengingatnya, akan menimbulkan perasaan menyesal dalam diri kita, perasaan yang mendorong untuk bertaubat kepada Allah, kemudian berusaha memperbaikinya dengan meminta maaf dan tidak akan mengulanginya.

Mengingat kebaikan orang lain terhadap kita akan mendorong kita selalu berbuat baik kepada orang lain. Kehidupan tidak akan terbina dengan baik tanpa kebaikan orang lain, yang pada hakikatnya kebaikan itu untuk dirinya sendiri. Rasulullah Shallallahu 'Alayhi Wasallam bersabda, ''Tidak sempurna iman seseorang sampai dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.'' (HR Bukhari-Muslim).

Melupakan kebaikan yang telah diperbuat pada orang lain akan mendorong kita menjadi peribadi yang mukhlis. Setiap kebaikan, hanya diniatkan lillah ta'ala, seikhlas-ikhlasnya. Sebagai Muslim, sudah semestinya kita menjaga agar hati selalu suci dari kemunafikan, perbuatan harus selalu suci dari riya' lidah harus selalu suci dari kebohongan. Sedangkan dengan melupakan kesalahan orang lain, akan mendorong kita menjadi peribadi pemaaf. Kita akan dengan mudah memaafkan, sebesar apa pun kesalahan orang kepada diri kita.
wallahu'alam

HALAMAN RINDU


Aku di halaman rindu...
duduk di bangku
bersama pilunya kisah hati
di alam hijau
tenggelam dalam renungan
menerawang jauh hingga ke relung paling dalam

Aku di sana
duduk mengenangmu dalam diam
menganyam rasa yang kau tinggalkan
bersama pemergian yang tak tersisa
rasa yang meruntun
mengenang peristiwa

Aku di sana
terbias dalam kocakan rasa
membiuskan warna
hanya rinduku
yang tak pernah kelam
walau yang terlihat
hanya sebuah pintu
di pagi hari

anakanda
bonda pasti datang



Wednesday 19 June 2013

LOVE LIFE

“We love life, 
not because we are used to living 
but because we are used to loving.”

 

PAST AND FUTURE

You can't change the past...
but you can heal the future beginning today.

PEMBERIAN YANG IKHLAS

Pemberian paling utama dan paling jernih 
adalah dari mereka yang tidak mempunyai suatu apa pun...
tetapi mereka mengetahui nilai kata-kata dan senyuman kerana
berapa banyak orang yang memberi,
tetapi seakan-akan bukan pemberian yang mereka hadiahkan
melainkan tamparan...



Tuesday 18 June 2013

KASIHMU JINGGA

Kasih...
sejingga inikah rasa
rajukmu
sedihmu
masih belum reda
membara di jiwa

Kasih...
tergoreskah hati
oleh duri
tanpa kausedari
wajahmu mencuka
  

Norlidar
18/06/2013 - 11.25 p.m.

Tuesday 11 June 2013

IRONI





Ironi
tak ada alasan
berkata hujan
hanya kerana..
langitmu muram

Panglima karang
tak akan teguh
tanpa dihempas ombak

Jika percaya...
kau kata malam
kaulah malamku
kau kata siang
kaulah siangku

Jika percaya sama rembulan
rembulanlah yang ditunggu
tapi aku hairan...
mengapa masih ada rindu
rindu pada-Mu

Wahai hati...
wahai jiwa..
gapailah Cinta Sang Cinta...

Norlidar - 10.06.2013 6.05 p.m.

Sunday 9 June 2013

KUMANDANGKANLAH



Masihkah kauingat
sebaris tinta darimu
sandarkan semua kepada Allah
lalu...
mengapa ada gundah...

kebenaran yang benar
pohon kasih masih kukuh
memberi teduh
lalu...
mengapa hatimu merusuh...

Dua cinta yang suci
memang setia menantimu
usahlah begitu...
keluarlah ke alam nyata
yang benar-benar ada cinta
Allah dan RasulNYA

DIA Sang Cinta
menanti persembahan kita
yang ikhlas
yang suci
yang benar
dan tiada dusta...

ayuh mari! kataku
kumandangkanlah
yang benar dan cinta...
adakah kaudengar seruan
dari sudut hati yang paling dalam

mahukan keikhlasan
mahukan kebenaran
mahukan kejujuran
aku mahu lihat
yang tegar hatimu
yang bersihnya jiwamu
yang kentalnya semangatmu
buktikanlah
usah lewat...


Norlidar
09.06.2013 - 8.25 p.m.