Sunday 29 December 2013

KASIH 12

Kasih
waktu telah melakar ceritera
memercikkan warna lakarannya
kebenaran dan Cinta
penuh setia
terdiamlah daku
di perdu rasa



Norlidar Lidon
29.12.2013

KASIH 11

Wahai kasihku
aku pun tersipu malu
di saat dikau
hulurkan mawar rindu
harumnya menusuk kalbuku
semoga kasih kita bersatu
mekar tanpa jemu
seharum doamu



Norlidar Lidon
28.12.2013

Saturday 28 December 2013

KASIH 10

Kasihku
tatkala rasa itu
menyesak kalbuku
lama daku terduduk di situ
terluah segala warna
nan membekas di jiwa
bertalu-talu kupanggil asma-Mu
walau bibir terdiam kaku



Norlidar Lidon
28.12.2013

KASIH 9


Pagi ini kasih
terlihat di balik awan
putik keceriaan
akan menjelma secalit senyuman
dan juga azam

Senyum itu kasih
secerah mentari jingga
beburung pun turut berkicauan
menyambutmu
menemaniku
dan puisi bisu



Norlidar Lidon
28.12.2013

Thursday 26 December 2013

BICARA TENTANG HATI



'


“Ummu, kau pernah suka seseorang tak?’’ temanku bertanya.

Teralih perhatianku untuk menikmati keindahan alam.

“Adalah jugak. Tapi dah lama, dah hilang dah pun perasaan itu. Kadang-kadang memang terasa macam ada sesuatu dalam hati; tapi perasaan tu juga buat aku rasa tak sedap hati at the same time. Bila macam tu, aku doa je kat Allah. So, sebenarnya, aku pun tak pasti aku pernah suka lelaki ke tak. Hehehe”

“Kau doa macam mana?”

Ya Allah, kau tahu perasaanku terhadapnya kerana Kau Maha Mengetahui, jika memang sudah tertakdir jodohku dengannya, Kau peliharalah rasa sukaku terhadapnya sebaliknya jika aku memang tidak tertulis untuknya, Kau hilangkan rasa sukaku terhadapnya. Kerna Kaulah yang sebaik-baik perancang.

Hanya itu yang mampu ku jawab. Mahu menghilangkan rasa gusar di jiwa temanku. Tersenyum dia mendengar jawapanku.

“Nasib baik kau ada, kalau tak mesti aku dah terlanjur jual cinta aku untuk yang tak sepatutnya.”
Yang Dinamakan Hati
Memendam perasaan itu dinamakan jihad. Kerana kita sedang memperjuangkan diri kita daripada terjebak dengan dosa. Andai seseorang meluahkan perasaannya terhadap kita dan kemudian kita menerima perasaannya, mengikat sebuah hubungan haram, membuka hati kita untuk menerima cinta kepada yang tak sepatutnya. Samalah, seperti balang gula-gula yang telah terbuka dari penutupnya.
Dan ketika sedang menjalin hubungan tanpa ikatan dengannya, kita sibuk menzahirkan cinta, meluahkan sayang kepadanya, kerana ketika itu, hidup kita hanya untuk membahagiakannya. Ini diibaratkan seperti gula-gula yang terdapat dalam balang itu telah diberikan kepada dia.
Lalu, akhirnya dia pergi meninggalkan kita setelah puas mempermainkan kita yang leka dalam cinta. Balang gula-gula itupun yang sudah terbuka penutupnya, hanya tingal sedikit sisa-sisa, beberapa gula-gula. Dan hati kita itu, hanya balang gula-gula yang tinggal sedikit isinya. Adakah hati itu yang bakal kita persembahkan kepada seorang Adam yang bergelar suami, halal keatas kita dan bakal menghabiskan masanya bersama kita?


Si suami bakal mendapat cinta secondhand. Tidakkah kita merasa malu untuk berdepan dengannya, kerana hati ini pernah menjadi kepunyaan orang lain?

Suka pada seseorang. Itu namanya fitrah. Kerana itulah, berada di alam remaja, merupakan alam yang paling mencabar.

Ada sesetengah manusia, menjadikan cinta sebagai media pemuasan hawa nafsu. Inilah yang berlaku pada akhir zaman sekarang. Kes buang bayi, mengandung anak luar nikah, semakin banyak terjadi. Inilah umat akhir zaman.



Cinta yang lazimnya ditujukan kepada pemuasan hawa nafsu semata, sebenarnya cinta yang diilhamkan Tuhan untuk haiwan.
Al-Farabi
Tidak malukah kita? Disamakan dengan haiwan?
Muhasabah diri. Suka seseorang, pendamkan sahaja. Fikir dahulu,tidakkah kita berasa malu? Mencintai seseorang, tanpa terlebih dahulu mencintai Dia. Bagaimana kita, mahu mengetahui tanda-tanda kita mencintai Allah?



…..
Tanda-tanda Mencintai Allah
Kalau cinta, rindu untuk bertemu.
Bagaimana sikap kita sewaktu hendak berjanji temu (solat) dengan Allah?
Kalau cinta, suka apabila disuruh.
Bagaimana sikap kita  sewaktu diperintah menutup aurat, menjauhi zina dan lain-lain?
Tidak malukah kita? Mencintai hambaNya terlebih dahulu tanpa mencintai Dia?
Andainya kita risau, orang yang kita sukai bakal jatuh ke tangan orang lain, ingatlah kita ini siapa. Orang yang disukai itu bukan milik kita sebaliknya milikNya. Layakkah kita merisaukannya. Ingatlah, jodoh itu ketentuan Tuhan, kita hamba tidak perlu bersusah payah memikirkannya.
Apa guna bercouple? Sedangkan dia yang kita sukai itu belum tentu lagi jodoh kita. Elakkan. Kerana ia selangkah menuju kepada perbuatan zina. Dan Allah sendiri telah berfirman:
“Dan janganlah kamu mendekati zina…. (Al-Isra’ 17:32)”
Cinta selepas kahwin itu indah. Kerana apa yang haram untuk dibuat, halal untuk kita lakukan terhadapnya. Simpan diri untuk yang halal. Bila hati diuji kerana fitrah, peganglah pada prinsip: ‘hati itu ibarat balang gula-gula.’
Wanita, peliharalah cintamu untuk yang halal. Memendam itu berjihad. Tidak perlu bercouple untuk melampias fitrah. Kita wanita, senang menuju ke syurga-Nya.





MENDIDIK ISTERI, SUAMI PERLU STRATEGI

::Mendidik isteri, suami perlukan strategi::

Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada kita kaum lelaki kekuatan akal yang rasional tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Firman Allah yang bermaksud:


“Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”



Tercetusnya kebahagiaan rumahtangga ialah apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri – makhluk yang kuat perasaannya.



Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.



Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah tidak sabar, mudah prasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendekata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah wanita mesti dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.



Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran kita.



Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh membahayakan isteri. Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasawuf.



Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW. Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya dia akan membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Rasulullah lalu di sebelah rumahnya. Tetapi sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda Rasulullah SAW.



Suatu hari Rasulullah SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Rasulullah SAW sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar Rasulullah SAW menghadapi kerenah perempuan tua itu menyebabkan terbuka hatinya memeluk Islam.



Pada masa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu baginda memberi salam. Tetapi tiada siapa pun yang menjawab salam baginda. Baginda memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah SAW beri salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua mereka menjawab, “Kami sengaja mahu Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”



Begitu Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Rasulullah SAW masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kita kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kita kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, kita kaum lelaki mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.



Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab, “Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan RasulullahSAW. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya, “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah SAW mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Saidatina Siti Aisyah ra. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Saidatina Siti Aishah ra. pun berkata, “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti,”



Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.



Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, kita hendaklah merendahkan sifat ego kita. Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama Siti Aishah. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah SAW berlagak seperti kawan sepermainan. Saidatina Siti Aishah ra. diajak berlumba lari. Kadang-kadang Saidatina Siti Aishah ra. menang dan adakalanya Rasulullah SAW menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah SAW melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan.



Sebagai orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami. Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela,Katrina dan lain-lain).



Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.



Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Saya bukanlah menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya.



Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah SAW. Suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah SAW tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.



Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada dikalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain.



Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah SAW sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.



Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah SAW. Ada yang terasa pasti jawapannya Saidatina Siti Aishah ra. kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah SAW kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.



Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.



Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. 



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”



Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”



Apabila wanita dapat dididik dengan betul maka ia dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah akan membahagiakan seluruh isi alam.



Firman Allah SWT, “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” Surah Al-Ashr



Dari Abdullah bin Amr ra, Rasulullah SAW bersabda: "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat…"

KASIH 8



Oh kasihku
tiada berkurang rasa
hanya kerana gurau senda
tiasa rajuk melata
walau tiada kiriman mawar

Wahai kasihku
gemalai cinta
ke mana kupergi
dikau turut bersama
mengiringi dengan doa
penuh bercahaya

Norlidar Lidon
26.12.2103

USAHLAH BERSANDAR KEPADA SELAIN DARI ALLAH


Jika yang menghidupkan mematikan dan memberi rezeki adalah Allah.

Lalu mengapa ada gundah, takut ataupun perlukan pujian manusia?


Yang membuat gusar hati itu adalah sikap yang bergantung kepada orang lain, keinginan mencari simpati, ingin dipuji dan keinginan supaya tidak dicela. Sedangkan ianya merupakan kelemahan dalam tauhidnya.



Kuharapkan Engkau Bersikap manis walaupun hidup sangat pahit.
Kuharapkan Engkau redha walaupun orang lain murka
Jika cinta-Mu membara maka semua yang lain adalah ringan
dan semua yang ada di atas tanah itu adalah tanah


Wednesday 25 December 2013

KASIH 7

Wahai kasihku
tiada benci di hatiku
setelah hadirnya dirimu
dalam diamku
hanya doa-doa syahdu
dari kejuahan
daku kirimkan aromanya
dalam diam

Norlidar Lidon
25.12.2013



Tuesday 24 December 2013

KASIH 6

Wahai kasihku
mengapakah ilhammu membeku
cubalah intai ke luar jendelamu
titisan hujan seindah salju
akan terlahir kalam seindah dulu
menghiasi taman puisimu
agar hilang rinduku
menatap puisimu seperti selalu


Norlidar Lidon
24.12.2013

puisi untuk zie 

Friday 20 December 2013

REDHAKAH KITA?

Kalau kita nampak ketentuan Tuhan atas sesuatu yang berlaku kepada diri kita
maka, kita akan redha

Jika dibutakan mata hati kita melihat itu semua sebagai pemberian-Nya
maka kita tidak akan redha.

Apabila tidak redha,
kita akan jadi perungut
kita akan jadi perengus
kita akan jadi pembenci
kita akan jadi pemarah

kepada siapa kita marah sebenarnya???

Sewaktu kamu memohon supaya Allah Subhanahu wa Taala redha akan kamu, sebelum itu kamu wajib redha apa yang sudah ada padamu, iaitu janganlah kamu merungut atau tidak puas hati dengan apa yang ada. Sebaliknya memohonlah dengan hati yang telus lagi ikhlas.

BERTAKWALAH KEPADA ALLAH

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا لا تَخونُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ وَتَخونوا أَمٰنٰتِكُم وَأَنتُم تَعلَمونَ ﴿٢٧﴾(27) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).


وَاعلَموا أَنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ﴿٢٨﴾(28) Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.


يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا إِن تَتَّقُوا اللَّهَ يَجعَل لَكُم فُرقانًا وَيُكَفِّر عَنكُم سَيِّـٔاتِكُم وَيَغفِر لَكُم ۗ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ ﴿٢٩﴾(29) Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.
(Surah Al Anfal ayat 27, 28 & 29)


"Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra, katanya : Bahwa sesungguhnya Rasulullah saw. berkhutbah kepada manusia pada waktu haji Wada' . Maka beliau bersabda : Sesungguhnya Syaitan telah berputus asa (dalam berusaha ) agar ia disembah di bumimu ini. Tetapi ia redha apabila (bisikannya) ditaati dalam hal selain itu; yakni suatu amalan yang kamu anggap remeh dari amalan-amalan kamu, berhati-hatilah kamu sekalian. Sesungguhnya aku telah meninggalkan untukmu, yang jika kamu berpegang kepadanya niscaya kalian tidak akan sesat selama-lamanya. Yaitu: Kitab Allah dan sunnah NabiNya. "
( Hadis Riwayat Hakim dan Muslim).


INDAH

Pasir putih sepanjang pantai
alunan ombak
saling berkejaran
adalah irama alam
sebuah buku dalam dakapan
ditemani keluarga tercinta
pasti lebih berbahagia



Subhanallah
Norlidar Lidon
20.12.2013

Monday 16 December 2013

JANGAN MENANGIS

Jangan menangis, kekasihku...
Janganlah menangis dan berbahagialah
kerana kita diikat bersama
dalam cinta

Hanya dengan cinta yang indah
kita dapat bertahan terhadap
derita kemiskinan
pahitnya kesedihan
dan duka perpisahan

~Khalil Gibran ~




Monday 9 December 2013

KE MANAKAH KEBENARAN

rasa dan warna
seringkali berbauran
bergurau-senda
hati yang merasa
di manakah kebenaran
imankah berantakan
lalu...
keluh kesah berserakan

akukah yang kelemasan
saat bertarung dengan perasaan
saat kubiarkan keadaan kuasai emosi
manakah perginya sabar?
manakah perginya tabah?
aku terus gundah
adab dan santun
mungkinkah punah

wahai diriku yang mengaku hamba Allah
simpan kata nistamu
simpan keluh kesahmu
lunakkan rasamu
seimbangkan warnamu

Wahai hati
kamukah hamba atau diperhamba
tapi tingkahmu bak raja
lupakah kamu tentang Cinta
mengapa tak kau cari Dia
Yang Maha Esa
rendahkan dirimu pada-Nya
usah durhaka
kembalilah pada-Nya



Cinta selalu menanti kita
untuk merasai bahagia
di sini mungkin
nyatalah dan pasti akan berbahagia di sana


Norlidar Lidon
09.12.2013

Friday 6 December 2013

MALAMKU

Malamku tanpa-Mu
adalah payah
ada lelah
keluh kesah nan gelisah
mengapa hati rasa terpisah
mungkinkah pasrah?
terasa mahu rebah?
Engkau yang kuharapkan membawa indah
selawat dan salam buat kekasih-Mu Rasulullah
ahlan wa sahlan Jumaat penuh berkah.


Norlidar Lidon
06.12.2013

Monday 2 December 2013

MERINDUMU

Merindumu
luluh hatiku 
lebih indah dari melihat bintang beribu
ohh aku... merayu dalam hatiku
hadirlah dalam mimpiku
sayu
pilu

Ya Rasulullah...
اللهم صل على سيدنا محمد




Sunday 1 December 2013

KASIH 5

Kasih
bagaimana lagi
apa lagi bukti
harusku tunjuki
tentang rasa ini
dan cinta yang tersimpul rapi

sungguh tiada kata
dapatku beri rasa
sama makna  
ohh Cinta...

Norlidar Lidon
29.11.2013