Tuesday 12 August 2014

KASIH 17



Kasih
tujuh puluh daunan rindu
kususun rapi
di penjuru hati
raihlah....
setelah kauleraikan
kuncinya rasa
daku menanti
di balik sana

Norlidar
12.08.2014

Friday 8 August 2014

SAAT PALING BAHAGIA SEORANG SUAMI



Seorang isteri bertanya kepada suaminya, “Apakah saat paling bahagia dalam hidup abang?”

Suaminya memandang muka isteri dan berkata, “Saat itu belum terjadi lagi..”

Si isteri terdiam sejenak.

Kemudian dia bertanya lagi, “Dan bila saat itu akan terjadi?”


Suaminya berkata : “Saat itu adalah hari di mana awak membuka pintu dan berkata kepada saya, “Abang, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh” di dalam rumah kita di syurga..”

Rasulullah s.a.w pernah berdoa :

“Ya Allah, jadikan hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku.” (Riwayat Muslim no. 2491)

Firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat ke-6)

“Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun di waktu malam lalu mengerjakan solat dan dia mengejutkan isterinya lalu si isteri mengerjakan solat. Bila isterinya enggan untuk bangun, ia percikkan air di wajah isterinya. Semoga Allah merahmati seorang wanita yang bangun di waktu malam lalu mengerjakan solat dan dia mengejutkan suami lalu si suami mengerjakan solat. Bila suaminya enggan untuk bangun, dia percikkan air di wajah suaminya.” (Sanad hadis ini shahih kata Asy-Syaikh Ahmad Syakir dalam tahqiqnya terhadap Al-Musnad)


QADAR ALLAH - TIADA YANG KEBETULAN




QADAR ALLAH  - TIADA KEBETULAN.

Allah Subahana Wa Taala berfirman: “Sesungguhnya Kami ciptaan segala sesuatu itu dengan ukuran yang rapi.”
(Surah Al-Qamar ayat 49)

dan


“Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan taqdir yang sempurna.”
(Surah Al-Furqan ayat 2)


Semua perkara atau keadaan yang berlaku atau yang terjadi ke atas makhluk yang wujud di dalam alam semesta ini bukanlah suatu yang berlaku dengan sendirinya atau secara kebetulan. Ia adalah suatu yang telah dirancang dengan teliti dari semua segi, semua ukuran, semua sudut dan semua keadaan oleh Allah sebagaimana yang telah difirmankan dalam surah al-Qamar ayat 49. Begitu juga di dalam surah al-Furqan ayat 2. Setiap ketentuan Allah itu adalah Qadar-Nya.


Jadi fahamlah kita bahawa Qadar itu ialah ketentuan atau ketetapan Allah sejak azali lagi. Sejak azali bermaksud suatu yang tiada permulaan. Sesuatu yang tiada permulaan ialah sesuatu yang wujud sebelum wujudnya masa atau waktu. Kita perlu faham bahawa 'waktu' itu adalah makhluk Allah sebagai mana makhluk yang lain seperti manusia, binatang, tumbuhan, batu, air, udara, langit, cakerawala, malah mati juga adalah suatu makhluk.

Semua yang wujud dan yang berlaku adalah sudah ditentukan oleh Allah swt kerana Dia adalah ‘Khaliq’ iaitu Maha Pencipta. Dia boleh mencipta apa sahaja. Suatu yang berlaku itu seolah-olah suatu projek atau kertas kerja yang telah lengkap dengan objektifnya, cara kerjanya, masalah yang perlu dihadapi, cara mengatasi dan hasil akhir . Ini bermaksud semuanya telah dirancang lebih awal. Oleh itu menjadi kesalahan jika kita katakan apa yang berlaku keatas diri kita ini adalah secara kebetulan. Tiada istilah kebetulan dalam kamus hidup orang Islam. Semuanya telah ditetapkan.


Cuba lihat situasi berikut:

1. “Wah! Hari ini kita mendapat keuntungan yang besar. Kebetulan ada seorang jutawan telah menempah semua produk kita.”

2. Seorang pelajar sekolah rendah darjah satu telah meninggal dunia ditempat kejadian dalam suatu kemalangan. Seorang saksi telah berkata; “Kebetulan semasa budak tu melintas, sebuah motosikal telah membelok kearahnya dengan laju.”Sebenarnya tiada kebetulan, semuanya sudah di dalam tetapan Allah:


1. Allah telah menetapkan (Qadar Allah), hari ini orang itu mendapat rezeki yang banyak. Bersyukurlah kerana ia mungkin sebagai ujian atau anugerah dari Allah swt.

2. Allah telah menetapkan(Qadar Allah) ajal pelajar tersebut pada hari itu. Sesungguhnya Allah berupaya mengambil kembali apa yang telah dipinjamkannya. Tidak mengapa mengalirkan air mata tanda kesedihan tetapi tidaklah perlu terlalu kecewa sehingga bertindak melulu. Seolah-olah tidak redha dengan ketentuan Allah swt. Siapalah kita untuk tidak bersetuju dengan ketentuan-Nya.

Di dalam al-Quran menceritakan kisah Nabi Yusuf a.s sebagai pengiktibaran, tiada kebetulan malah ia adalah tetapan dengan perancangan yang rapi. Perencanaan Ilahi yang rapi ini terdapat pada ketentuan waktu, penentuan tempat, penentuan kadar dan sempurna dalam segala keadaan dan suasana;

Allah swt telah menetapkan Nabi Ya’kub a.s berkahwin lagi sehingga mempunyai Nabi Yusuf a.s dan saudaranya Bunyamin. Ini bertujuan supaya saudara-saudara Nabi Yusuf a.s yang tidak seibu denganya menaruh hasad dengki kepada beliau dan membuangkannya ke dalam sebuah telaga. Mereka tidak membunuh beliau supaya beliau dapat dipungut oleh pengembara-pengembara dan menjualkannya di Mesir; supaya beliau dapat dipelihara di dalam istana pembesar Mesir; supaya beliau dicintai oleh isteri pembesar itu; supaya beliau dapat mengatasi nafsu keinginannya; supaya beliau disumbatkan ke dalam penjara; Supaya beliau bertemu di dalam penjara itu dua orang pelayan raja; supaya beliau dapat menta'birkan mimpi mereka berdua .... Mengapa Yusuf a.s menerima keseksaan itu? Mengapa Nabi Ya'kub a.s juga turut terseksa? Mengapa Nabi Ya'kub hilang penglihatannya kerana terlalu dukacita? Mengapa Yusuf a.s yang baik dan bersih hati itu terseksa dengan berbagai-bagai penderitaan?

Kemudian selepas sekian masa berada di dalam 'azab penjara barulah pertama kalinya datang jawapan, iaitu kerana taqdir Ilahi telah menyediakan beliau untuk mengendalikan pemerintahan negeri Mesir dan umatnya, juga negari-negeri jiran di dalam tahun-tahun kemarau yang berlangsung selama tujuh tahun itu. Kemudian apa lagi? Kemudian supaya beliau menjemput ibubapanya dan saudara-saudaranya ke negeri Mesir supaya dari keturunan merekalah lahirnya umat Israel supaya mereka ditindas oleh Fira'aun; supaya dibangkitkan Nabi Musa as dikalangan mereka dengan segala taqdir dan tadbir Ilahi yang menyelubungi perjuangan hidupnya.

Begitu juga peristiwa perkahwinan Nabi Ibrahim a.s, datuk kepada Nabi Ya'kub a.s dengan Siti Hajar dari bangsa Mesir itu bukanlah satu peristiwa `personal', malah segala peristiwa sebelumnya yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s itulah yang telah membawa beliau berpindah dari tanahairnya di Iraq. Kemudian beliau lalu di negeri Mesir supaya beliau mengambil Siti Hajar di sana. Siti Hajar seterusnya melahirkan Nabi Ismail a.s, supaya Ismail dan ibunya tinggal di Baitullahil-Haram; supaya dibangkitkan Nabi Muhammad saw dari keturunan Nabi Ibrahim a.s di semenanjung Tanah Arab. Iaitu sebuah negeri yang paling sesuai untuk memikul tugas membawa agama Islam. Supaya berlakulah selepas itu peristiwa yang paling agung di dalam sejarah umat manusia umumnya.

Setiap perkara dan kejadian ada hikmahnya, tetapi hikmah itu adalah suatu hikmah ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak kepada pandangan manusia yang singkat:

“Kamu mungkin bencikan sesuatu, sedangkan Allah menjadikan padanya kebajikan yang banyak.”
(Surah an-Nisa ayat 19)

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan kamu mungkin sukakan sesuatu, sedangkan ia lebih buruk kepada kamu. Dan hanya Allah yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” 
(Surah al-Baqarah ayat 216) 

Semua Qadar Allah sudah tentu ada hikmah-hikmah disebaliknya. 

Allah tidak akan menjadikan sesuatu itu sia-sia. Malah sehelai daun yang gugur ke atas muka Bumi adalah di dalam pengetahuan dan perkiraan Allah. Di antara hikmat yang boleh difikirkan ialah, daun akan menjadi kompos atau baja kepada tumbuhan itu sendiri. Ia juga boleh memberi pengajaran kepada manusia yang berfikir bahawa setiap yang hidup pasti akan mati, setiap yang muda pasti akan tua dan gugur kerana lemah. Oleh itu manusia tidak perlu sombong kerana kesombongannya akan lenyap apabila tiba masa ia lemah. Mungkin ada banyak lagi hikmat-hikmat yang tidak dapat dijangkau oleh fikiran kita. Ini kerana fikiran manusia adalah terbatas. Idea-idea yang dia ada itu pun adalah ketetapan Allah sebagai suatu pengurniaan.


Kadang-kadang kita berasa benci suatu perkara itu berlaku kepada diri kita kerana dalam perkiraan kita ia adalah mencelakakan ataupun musibah. Sedangkan terdapat banyak hikmah-hikmah yang tidak ketahui sebagaimana telah dinyatakan di dalam surah an-Nisa’ ayat 19 dan surah al-Baqarah ayat 216 di atas.

Perlulah diyakini bahawa setiap ketetapan yang Allah jadikan ke atas diri kita adalah baik untuk kita kerana ia mengandungi hikmat-hikmat yang kadang-kadang tidak terlihat oleh kita.

Kadang-kadang manusia hanya nampak hujung tali sejarah yang dekat sahaja dan tidak nampak hujung tali sejarah yang jauh. Kadang-kadang natijah/hasil yang ditunggu di dalam usia mereka yang pendek ini tidak kunjung tiba. Mereka terlindung dari hikmah tadbir Ilahi dan membuat mereka tidak sabar, lalu diminta dipercepatkan, dan membuat mereka tidak redha dan kadang-kadang naik bosan, kecewa, rasa marah dan bersifat ragu-ragu serta marah. Sesungguhnya Qadha' Allah meliputi segala-galanya, yang halus dan yang mendalam.

Allah telah mengajar manusia seperti mana di dalam Al-Qur'an bahawa segala sesuatu telah ditentukan oleh takdir (Qadar) Ilahi supaya mereka menyerahkan urusan itu kepada Allah, supaya hati mereka tenteram dan tenang. Juga mereka berjalan bersama takdir Ilahi dengan perasaan yang harmoni dan mesra dalam penghidupan ini.

Wallahu'alam.

Tuesday 5 August 2014

SIAPAKAH YANG MUFLIS DI AKHIRAT

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta.” Lalu Nabi SAW. bersabda:”Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencaci maki si fulan, menuduh si fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan, dan pernah memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya , ia akan diberikan pula daripada pahala kebaikan orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Keterangan:

Kita hendaklah berhati-hati dan berwaspada daripada sebarang dosa dan kesalahan. Kita hendaklah selalu meminta ampun kepada Allah s.w.t. dan hendaklah meminta maaf kepada orang yang teraniaya daripada perbuatan kita. Kita hendaklah meminta halal daripadanya ketika kita masih ada dalam dunia ini, walaupun terkadang kita terpaksa merendahkan diri dan terpaksa menyusun sepuluh jari untuk meminta maaf daripada orang-orang yang berkenaan.

Biarlah kita dipandang rendah atau hina di dunia ini, asalkan kita terlepas dari bebanan dosa pada hari kiamat nanti. Kita hendaklah bersedia menebus dosa dan kesalahan walaupun dengan maruah dan dengan harta benda yang ada, kerana kita takut jadi terlambat sehingga tiba saat kematian atau kematian orang yang teraniaya dari perbuatan kita, maka terpaksa kita berhadapan dengan orang yang berkenaan di Mahkamah Agung Rabbun Jalil, iaitu di padang Mahsyar nanti.

Pada kala itu, tiada seorang juga pun yang mahu menerima harta benda sebagai tebusan dosa. Yang mereka mahukan hanyalah bayaran daripada pahala ibadat yang telah kita lakukan di dunia dahulu, yang mana kita pun pada waktu itu sangat berhajat kepada pahala amalan tersebut. Baiklah kalau pahala yang ada cukup untuk menebus dosa. Kalau tak cukup, maka terpaksa kita menanggung bebanan dosa mereka ke atas bahu kita yang akan menjerumuskan kita ke dalam lubang api neraka.

Na’uzubillah min za lik.

Oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki
(Dipetik daripada kitab 40 Hadits Penawar Hati)