Wednesday, 22 April 2015

CARA RASULULLAH MENEGUR ISTERINYA




Cara Nabi Menegur seorang Isteri baginda

Pada suatu hari, Saidatina Aisyah memasak sup untuk baginda Rasulullah s.a.w. Setelah siap memasak, beliau pun memanggil Rasulullah s.a.w untuk makan.

Kemudian apabila Rasulullah s.a.w menghirup sup itu, baginda mendapati bahawa sup yang isterinya buat itu terlebih masin. Maka baginda tersenyum kepada isterinya, kemudian baginda berkata :
"Wahai Aisyah, ingatkah kau semasa kita baru berkahwin dahulu? Pada waktu itu kita saling suap-menyuap semasa makan."

Maka Aisyah mengangguk tanda beliau masih ingat. Kemudian baginda berkata lagi :
"Mahukah kau jika kita mengulangi peristiwa itu?"

Lalu Aisyah mengagguk tanda bersetuju. Maka baginda berkata :
"Dahulu kau yang menyuap aku dahulu. kali ini, biar aku pula yang menyuapmu terlebih dahulu."

Aisyah bersetuju dan beliau pun duduk di sisi suaminya. Setelah baginda menyuapkan sup itu di mulutnya, barulah Aisyah menyedari bahawa sup yang dimasaknya itu terlebih masin. Beliau meminta maaf daripada Rasulullah s.a.w. Baginda hanya tersenyum.

Tuesday, 21 April 2015

ILMU TANPA AKHLAK



Ilmu tanpa Akhlak; "Al-Imam As-Syafi'e rah. pernah berpesan, kita ini tidak akan mendapatkan sesuatu ilmu itu kecuali dengan enam perkara.

Yang pertama adalah kecerdasan akal. Akal untuk memahami, membaca dan menghafal.

Yang kedua adalah semangat. Orang yang mencari ilmu mesti punya semangat dan keazaman untuk mendapatkan ilmu. Mereka ini diibaratkan seperti orang yang dahaga sangat dan amat memerlukan kepada minuman."

Dan yang ketiga adalah rajin dan istiqamah. Dalam kehadiran, dalam membaca, dalam mendengar, dalam mencatit serta apa sahaja untuk mendapatkan ilmu. Memerlukan istiqamah.

Yang keempat adalah mempunyai wang. Wang untuk membeli buku, membeli pen, transport, dan membayar yuran pengajian sekiranya di universiti."

Yang kelima adalah hubungan yang baik antara guru dengan murid.

Dan yang keenam adalah petunjuk daripada guru. Bukan daripada kitab, kitab adalah wasilah. Tetapi daripada guru. Guru yang bersanad akan keilmuannya."


"Kerana apa yang kita baca dan faham sendiri itu belum tentu yang di maksudkan oleh sohibul kitab. Oleh sebab itu kita memerlukan guru mursyid, untuk mengajar dan menerangkan apa yang di maksudkan oleh ulama pengarang kitab."

"Dikatakan ilmu itu tanpa adab dan tanpa akhlak akan jadi pincang, terkadang kita nampak orang alim tetapi bilamana berhadapan dengan masalah yg mencabar emosi dan juga akhlak, akan terlihat di situ dia alim dan berakhlak atau alim sahaja. Orang berilmu yang berakhlak atau orang itu hanya berilmu sahaja."

"Dikatakan Imam As-Syafie pernah dimaki oleh seseorang yang lalu. Tetapi, beliau tidak menjawab dan tak mengendahkan orang tersebut dan berlalu pergi. Lalu datang anak muridnya dan berkata "Wahai Imam, kenapa tuan tidak menjawab kepada orang yang memaki hamun kepada tuan tadi? selalu orang dimaki sekali tetapi kita dibantai dengan tiga empat kali dengan makian."

"Lalu Imam As-Syafie berkata; "Orang jahil berkata perkara yang tidak baik kepada saya, saya tidak ingin melayan, kerana ia akan bertambah jahil dengan kata-katanya yang jahil dan saya bertambah mulia dengan tidak melayani beliau. Umpama kayu gaharu, jika kita hendak tahu ia wangi atau tidak, dibakar dulu. Ya kan?"

"Nak tahu kedudukan seseorang itu alim dan berakhlak ataupun tidak, hendaklah diuji, apabila diusik emosinya jika ia melenting.

Mungkin dia berilmu tetapi akhlaknya dan cara mengawal emosinya itu adalah akhlak kerana akhlak itu tidak mungkin didapati oleh sesiapa tanpa ilmu."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar al-Hamid

Friday, 3 April 2015

KISAH AHMAD BIN HARUN AR-RASYID (Putera Raja Yang Meninggalkan Kemewahan)


KISAH AHMAD BIN HARUN AR-RASYID
(Putera Raja Yang Meninggalkan Kemewahan)

Ahmad adalah salah seorang putera Khalifah Harun ar-Rasyid yang sangat berbeza pendiriannya daripada putera-puteranya yang lain. Dia lebih suka berzikir kepada Allah Subhanahu wata’ala daripada membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan melalaikan.

Di antara kata-kata masyhur yang pernah diluahkannya: “Wahai ahli kubur! Engkau adalah orang yang telah mendahului kami menghadapi Allah Subhanahu wata’ala. Aku tahu bahawa engkau adalah orang yang pernah memiliki dan menakluki dunia ini semasa hidupmu, tapi aku tidak nampak dunia ini dapat menyelamatkan engkau daripada ajal dan akhirnya engkau dihalau juga ke kubur, begitulah juga nasibku, sama seperti engkau.”

Pada suatu hari Ahmad datang kepada ayahandanya, Khalifah Harun ar-Rasyid yang sedang berada di majlis rasmi bersama para menteri. Seperti biasa dia memakai jubah sufi daripada kain kasar dan di kepalanya pula terlilit serban yang sudah lusuh. Beberapa orang menteri merasa tidak senang dengan kehadirannya dan melaporkan perkara itu kepada khalifah.

Khalifah pada mulanya tidak begitu mengambil kisah akan keadaan anaknya itu tetapi bila laporan dibuat, khalifah terpaksa bertindak dengan berkata:

“Wahai anakku! Pakaian dan keadaan dirimu itu menyinggung perasaanku di hadapan pembesar negara, pakailah pakaian yang elok dan bersopan.”

Ahmad yang memang terdidik sejak kecil lagi tidak menjawab dan menyanggah perkataan ayahandanya, sebaliknya memandang ke bumbung istana, melihat seekor burung sedang bertenggek di atas salah satu palang istana seraya berkata:

“Wahai burung, demi Allah yang menjadikan engkau, sila ke mari!” Kata Ahmad sambil menghulurkan tapak tangannya. Burung itu pun terbang dan hinggap di tangannya.
Kemudian Ahmad berkata kepada burung itu: “Wahai burung, sila engkau balik semula ke tempatmu.” Ketika itu juga burung tersebut terbang semula ke atas palang bumbung istana.

Kejadian yang dianggap ajaib ini membuatkan orang yang hadir termasuk khalifah menjadi hairan. Namun beliau sedar bahawa puteranya yang satu ini memang mempunyai maqam yang tinggi di sisi Allah Subhanahu wata’ala.

Selepas itu Ahmad berkata kepada khalifah: “Wahai ayahanda! Hulurkan tangan ayahanda.” Khalifah Harun ar-Rasyid terkejut mendengar pemintaan anaknya itu. Bagaimanapun secara spontan Kalifah Harun ar-Rasyid menghulurkan tangannya.

Kemudian Ahmad mengarah lagi: “Wahai burung! Demi Allah yang telah menjadikan engkau, silalah engkau hinggap di tangan khalifah.”

Burung itu tidak mahu menurut perintahnya. Khalifah menjadi gelisah dan serba salah apatah lagi semua mata tertumpu ke arahnya. Para hadirin berbisik sesama sendiri membuat pelbagai andaian mengapa burung itu tidak mahu hinggap di tangan Khalifah Harun ar-Rasyid.

Kemudian Ahmad berkata lagi kepada ayahandanya: “Ayahanda, jangan sampai ayahanda mati di dalam kealpaan dan keseronokan dunia sehingga burung pun tak mahu mendekati ayahanda. Kalau ayahanda merasa malu disebabkan saya berada di sini, baiklah saya keluar dari istana ini.”

Khalifah berusaha menghalang maksud anaknya, namun Ahmad tetap dengan pendiriannya. Khalifah pasrah dengan keputusan anaknya itu. Maka keluarlah putera ini meninggalkan bapanya dan segala kemewahan menuju ke Basrah. Dia tidak membawa apa-apa bekalan selain daripada sebuah Mushaf al-Qur’an dan sebentuk cincin di jari pemberian ibunya. Cincin itu asalnya adalah milik Khalifah Harun ar-Rasyid yang dihadiahkan kepada isterinya.

Di Basrah, sedang Ahmad mundar-mandir di tempat kerja mengorek tanah, tiba-tiba beliau disapa oleh Syeikh Abdullah ibnu Farad, seorang bangsawan di situ.

“Wahai anak muda, adakah engkau mencari kerja?” tanya orang kaya ini.

“Ya, saya sedang mencari kerja untuk menampung keperluan hidup”, sahut Ahmad.

“Kalau begitu, kerjalah dengan saya kerana kebetulan saya sangat memerlukan pekerja untuk menyiapkan pembinaan rumah dan parit.”

“Wahai orang kaya, saya setuju tetapi ada dua syarat sebelum saya memulakan kerja”, ujar Ahmad.

“Apa syaratnya?” Pintas Syeikh Abdullah.

“Pertama, saya mahu diupah hanya untuk keperluan makan saja, dan yang kedua, tuan mengizinkan saya sembahyang setiap kali masuk waktu.” Kata Ahmad.

Setelah keduanya bersetuju maka bekerjalah anak muda ini dengan rajin dan tekun serta tidak mencuri tulang. Apabila masuk waktu, dia berhenti dan menunaikan sembahyang, kemudian menyambung kerjanya semula.

Pada hari itu apabila Syeikh Abdullah datang kembali ke tempat kerjanya, alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati hasil kerja putera Ahmad ini sama dengan kerja yang dibuat oleh sepuluh orang. Oleh kerana itu Syeikh Abdullah merasa tidak patut upahnya dibayar seperti yang dimintanya. Maka beliau pun menghulurkan dua dirham kepada Ahmad.

“Tuan, mengapa upah saya ditambah menjadi dua dirham?” Tanya Ahmad.

“Engkau seorang yang rajin, hasil kerjamu sama seperti pekerjaan yang dibuat oleh sepuluh orang, adalah zalim sekiranya saya membayar upahmu hanya untuk keperluan makanmu saja.” Jawab Sheikh Abdullah.

“Tidak boleh tuan, kita sudah berjanji dengan upah satu perpuluhan enam dirham, tidak boleh lebih, sila ambil bakinya”, katanya tegas.

Syeikh Abdullah bertambah hairan, baru sekarang dia berjumpa dengan pekerja yang tidak mahu dibayar lebih, walaupun kerjanya sangat banyak. Beliau merasakan rezekinya semakin bertambah dengan adanya pekerja seperti anak muda ini yang tidak tahu penat lelah. Setiap pekerjaan yang diamanahkannya dapat diselesaikan dalam jangka waktu yang singkat.

Pada suatu hari, Abdullah cuba mengintai bagaimana Ahmad melakukan pekerjaannya. Abdullah bersembunyi-sembunyi mengintip, apa yang dilihatnya amat memeranjatkan. Ahmad hanya duduk disatu tempat membaca al-Quran dan batu-batu sendiri berterbangan tersusun ditempatnya sehingga terbina bangunan. Baru Abdullah mengetahui mengapa hasil pekerjaannya begitu pantas sekali. Dan fahamlah Abdullah bahawa anak muda ini adalah seorang wali Allah.

Sehinggalah setelah beberapa lama bekerja, tiba-tiba pada suatu hari Ahmad tidak datang bekerja menyebabkan Syeikh Abdullah tertanya-tanya, mungkinkah beliau berhalangan atau sakit. Setelah masuk hari kedua Ahmad masih juga tidak muncul, maka Syeikh Abdullah mengambil keputusan mencarinya sendiri.

Setelah mendapat maklumat daripada orang ramai, akhirnya beliau dapati anak muda itu sedang sakit terlantar di pondok buruknya. Syeikh Abdullah sangat terkejut kerana tempat tinggalnya hanyalah pondok yang tidak berpintu serta beliau tidur hanya beralaskan pecahan batu bata. Beliau kelihatannya sangat lemah tidak bermaya dan tenat.

Setelah memberi salam, Syeikh Abdullah mengangkat kepala anak muda itu dan diletakkan ke ribanya. Apabila mengetahui bahawa yang datang itu adalah Syeikh Abdullah iaitu majikannya, Ahmad kuatkan dirinya dan berkata :

“Tuan sungguh baik hati! Tuan mengambil berat tentang diri saya. Ketahuilah, tuan akan ditanya di akhirat nanti, apa tanggungjawab tuan kepada saya. Tuan, janganlah mudah tertipu oleh nikmat dunia, ingatlah nikmat itu akan habis, umur pun akan berakhir. Jika tuan mengusung mayat saudara tuan ke kubur, ingatlah tuan juga akan diusung ke sana suatu hari nanti.”

Suasana sedih itu membuatkah Syeikh Abdullah menitiskan air mata. Nasihat daripada anak muda ini sedikit sebanyak menyedarkan dirinya bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui mati.

“Tuan, mahukah tuan berjanji jika roh saya telah berpisah daripada tubuh, hendaklah tuan sendiri yang memandikannya, tuan kafankan mayat saya dengan jubah yang saya pakai ini?” Sambungnya lagi.

“Ya, saya berjanji, tapi kenapa aku tidak boleh kafan mayatmu dengan kain kafan yang baru?” Ujar Syeikh Abdullah yang tidak dapat menahan esak tangisnya.

“Tuan, ketahuilah, orang yang masih hidup lebih memerlukan pada yang baru daripada orang yang sudah mati. Pakaian akan hancur sedangkan amal akan kekal selamanya”, katanya yang semakin tenat.

Di dalam suanana pilu itu anak muda ini sempat berkata: “Tuan, ambillah bungkusan dan serban ini untuk diberikan kepada tukang gali kubur. Mushaf dan cincin ini tolong sampaikan kepada pemerintah, Khalifah Harun ar-Rasyid.”

Sampai di sini airmata Syeikh Abdullah tidak dapat dibendung lagi, kerana sangat terharu mendengar wasiat anak muda ini yang sudah hampir ajalnya menghadap Allah Subhanahu wata’ala itu. Namun untuk memudahkan beliau menerima wasiat itu, ditunjukkan wajahnya yang gembira.

Anak muda itu melanjutkan wasiatnya: “Saya mohon disampaikan barang ini dengan tanganmu sendiri, jangan melalui perantaraan orang lain. Katakan kepada Amirul Mukminin: “Wahai Amirul Mukminin, ini ada amanah daripada seorang lelaki muda yang tidak saya kenali dan disuruh sampaikan kepada tuan. Anak muda itu berpesan kepada Amirul Mukminin: “Jangan sampai engkau mati di dalam kealpaan dan keseronokan dunia.”

Sebaik saja anak muda ini berkata sedemikian, rohnya pun melayang dicabut malaikat dan pergilah anak muda ini menemui Tuhannya yang dirindui selama ini.

Setelah menyempurnakan mayat Ahmad sebagaimana yang diwasiatkan, maka Syeikh Abdullah pun bersiap untuk menyampaikan wasiat yang kedua iaitu menyerahkan barang anak muda ini kepada Khalifah Harun ar-Rasyid.

“Wahai Amirul Mukminin! Saya Abdullah ibnu Farad. Saya ada menerima wasiat daripada seorang anak muda yang tidak dikenali untuk diserahkan barang ini kepada tuan dengan pesanannya agar jangan sampai tuan mati di dalam keadaan kealpaan dan keseronokan dunia”, kata Syeikh Abdullah memperkenalkan dirinya.

Sebaik saja Amirul Mukminin melihat Mushaf dan cincin takhta kerajaan, tiba-tiba badan baginda gementar dan mukanya berubah teringatkan anaknya yang pergi tanpa berita itu. Apa lagi kata-kata itu pernah didengarnya suatu waktu dulu.

“Dekatlah diri engkau denganku, ceritakan apa yang berlaku”, kata Amirul Mukminin.

Terjadilah perbualan yang sangat mengharukan antara Khalifah Harun ar-Rasyid dengan Syeikh Abdullah yang pernah menjadi majikan kepada puteranya.

“Wahai Syeikh Abdullah! Semasa hayatnya pekerjaan apa yang engkau bagi kepadanya?” Soal Amirul Mukminin.

“Mengorek tanah dan mengecat rumah”, jawab Syeikh Abdullah jujur.

“Wahai Abdullah, adakah sampainya hati engkau menjadikan orang yang bersambung nasab dengan nasab Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai pekerja yang sedemikian?” Tanya Khalifah.

“Saya mohon maaf wahai Amirul Mukminin. Sebenarnya saya tidak mengetahui putera itu anak tuan”, kata Syeikh Abdullah.

Khalifah tidak dapat menahan sebak mengenangkan kisah perjalanan anaknya yang menempuh jalan zuhud itu dan akhirnya menemui Allah. Khalifah berkata “Wahai Abdullah, dia dilahirkan sebelum aku menaiki takhta sebagai khalifah, dan dia tumbuh menjadi anak yang soleh, dia menghafal al-Qur’an dan mempelajari ilmu syari'at. Ketika aku diangkat menjadi khalifah dia meninggalkan aku dan tidak mau menikmati harta dunia yang aku miliki sedikitpun juga”.

Maka aku menyerahkan cincin ini kepada ibunya, ia adalah permata yang sangat mahal harganya.
Aku berkata kepada ibunya, serahkan cincin ini kepada anak kita dan mintalah agar dia membawanya agar dia boleh memanfaatkannya suatu hari kelak, Dia adalah seorang anak yang sangat berbakti kepada ibunya. Semenjak ibunya meninggal aku tidak pernah lagi mendengar beritanya kecuali khabar yang telah engkau sampaikan kepadaku”, sambung Khalifah lagi.

Pada suatu malam Syeikh Abdullah bermimpi bertemu sekelompok benda putih seakan-akan awan, di bawahnya ada sebuah kubah yang dibuat daripada cahaya. Seketika kemudian awan itu pecah dan muncul seorang anak muda dari dalam sambil memanggil beliau: “Wahai Syeikh Abdullah! Semoga Allah membalas kepada tuan atas jasa-jasa tuan yang telah mengambil berat terhadap diri saya dengan kebaikan yang banyak sekali.”

“Wahai Ahmad, engkau di mana sekarang?” Tanya Syeikh Abdullah.

“Saya telah pergi menemui Tuhan Yang Maha Mulia, Allah telah meredhai diri saya, Dia telah memberikan saya pemberian yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, tidak pernah terlintas di hati manusia”, jawab anak muda itu.

Kemudian anak muda itu menasihatkan agar janganlah manusia keluar dari dunia yang fana ini kecuali di dalam keadaan keredhaan Allah Subhanahu wata’ala. Kemudian Syeikh Abdullah terjaga daripada tidurnya lalu tersenyum dan beliau berhasrat untuk menceritakannya kepada Khalifah Harun ar-Rashid supaya terubat sedikit hati khalifah bila mendengarnya.

Semoga kisah di atas sedikit sebanyak dapat memberi pengajaran dan panduan untuk kita semua. Apabila sudah sampai masa kita kembali ke pangkuan Allah Subhanahu wata’ala hendaklah kita berada di dalam keredhaanNya.


(Raudh ar-Rayyahin lil Imam Yafi')


SILA SHARE DAN SEBARKAN

40 MANFAAT DAN KEAJAIBAN SELAWAT


1.Membaca selawat sebagai bentuk realisasi ketaatan kepada perintah Allah Ta’ala.

2.Mencontohi Allah dalam membaca selawat.

3.Mencontohi para malaikat-Nya.

4.Mendapat balasan sepuluh rahmah dari Allah setiap membaca sekali selawat.

5.Diangkat sepuluh darjat kerana membaca sekali selawat.

6.Ditulis sepuluh kebaikan bagi yang membaca sekali selawat.

7.Dihapus sepuluh keburukan bagi yang membaca sekali selawat.

8.Menjadi sebab utama dikabulkan doa.

9.Menjadi sebab meraih syafaat Nabi.

10.Mendapat pengampunan dari Allah.

11.Allah akan mencukupi hidupnya dari berbagai macam keluh kesah.

12.Sebagai sebab dekatnya seorang hamba dengan Nabi Muhammad Shallallahu'alaihi wa sallam nanti pada hari kiamat.

13.Selawat dapat mengganti dan menduduki ibadah sedekah.

14.Menjadi sebab terpenuhi berbagai macam hajat keperluan.

15.Meraih selawatnya Allah dan selawatnya para malaikat atasnya.

16.Menjadi sebab seseorang meraih kesucian dan kemuliaan.

17.Orang yang gemar membaca selawat akan mendapat khabar gembira
sebelum matinya.

18.Akan meraih keamanan dan keselamatan dari rintangan hari kiamat.

19.Rasulullah Shallallahu'alaihi wa sallam akan menjawab selawat dan salam
kepada orang-orang yang membaca selawat dan salam kepadanya.

20.Dapat membantu seorang hamba mengingatkan sesuatu yang terlupa.

21.Menjadi sebab berkahnya suatu majlis agar tidak kembali pulang dalam
keadaan merugi dan cacat.

22.Membaca selawat mampu mengusir dan melenyapkan kemiskinan.

23.Membaca selawat mampu menghilangkan penyakit bakhil dari seorang hamba.

24.Menjadi selamatnya seorang hamba dari doanya Rasulullah Shallallahu'alaihi wa sallam yang buruk, kerana beliau mendoakan celaka bagi yang mendengar nama disebut tidak membaca selawat.

25.Membaca selawat menjadi jalan menuju syurga.

26.Selamat dari busuknya majlis kerana tidak membaca selawat.

27.Membaca selawat menjadi penyempurna bagi pembicaraan pada saat berkhutbah/berceramah

28.Menjadi sebab sempurnanya cahaya seorang hamba pada saat meniti titian sirat.

29.Membaca selawat akan mengeluarkan seseorang dari sifat kasar dan keras kepala.

30.Menjadi sebab pujian Allah keatasnya.

31.Mendatangkan keberkahan dan rahmat kepada orang yang membaca selawat.

32.Mengeluarkan seseorang dari zulumat kegelapan kepada nur cahaya.

33.Sebagai bukti cinta Rasulullah Shallallahu'alaihi wa sallam secara abadi Rasulullah Shallallahu'alaihi wa sallam akan selalu mencintai orang yang membaca selawat

34.Dimudahkan melunaskan hutang piutang

35.Menjadi sebab seorang hamba meraih hidayah.

36.Nama orang yang membaca selawat akan disampaikan kepada Nabi
Shallallahu'alaihi wa sallam

37.Menjadi sebab teguhnya kaki pada saat meniti titian.

38.Dengan membaca selawat berarti seseorang telah menunaikan haknya Nabi Muhammad Shallallahu'alaihi wa sallam atasnya.

39.Mengandung zikir dan syukur kepada Allah.

40.Selawat adalah doa kerana dengan membaca selawat berarti telah memuji khalilullah dan kekasih-Nya. Dengan itu bererti telah mendoakan baik untuknya.

(Di salin dari kitab yang ditulis Abu Muhammad Abdul Haq al-Hasyimi)

Selawat dan salam pada Habibullah, Rasulullah sallalLahu alaihi wassalam.

Banyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW wahai saudaraku, cintai sunnahnya dan dengannya kamu akan memiliki cahaya yang membuka pintu ketauhidan Ihsan dan menanggalkan kekotoran syirik pada batinmu!

Ustaz Iqbal Zain

SILA SHARE DAN SEBARKAN

Thursday, 2 April 2015

KISAH PUTERI SYAH KIRMANI

KISAH PUTERI SYAH KIRMANI

(Seorang Gadis Yang Tinggi Tawakkalnya Kepada Allah)

Syah bin Syuja’ adalah seorang sufi yang berasal dari keluarga bangsawan di kota Kirmani, sebuah kota di Parsi. Beliau biasa dipanggil sebagai Syah Kirmani. Beliau memiliki dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.

Meskipun masih remaja keduanya mempunyai kecerdasan kerohanian yang luar biasa. Barangkali mereka memang mewarisi sifat ayahanda mereka melalui tarbiah dan didikan agama yang begitu baik sekali.

Seorang puteri Syah bin Syuja’ telah dipingitnya (tidak boleh keluar rumah) selama 20 tahun. Apabila usianya sudah sampai 20 tahun maka para anak-anak menteri di kota Kirmani ramai yang datang untuk melamarnya. Sebagai orang tua, tentu saja Syah bin Syuja’ merasa senang ramai yang meminang puterinya.

Tetapi, di sisi lain Syah bin Syuja’ merasa sedih dan bimbang, siapa jodoh puterinya itu yang sebenarnya? Maka kepada para anak-anak menteri yang melamar puterinya itu Syah bin Syuja’ meminta waktu 3 hari untuk memutuskannya.

Setelah Syah bin Syuja’ pergi menjelajah dari masjid ke masjid tibalah dia di salah satu masjid yang sedang solat salah seorang guru sufi didalamnya. Guru sufi itu ternyata bukan lain adalah anak murid kepada Syah Kirmani sendiri. Syah bin Syuja’ kemudian segera menemuinya.

“Apakah engkau telah berkeluarga?”
“Belum, wahai Syeikh” jawab guru sufi tersebut
“Mahukah engkau seorang isteri yang solehah ?” tanya Syah bin Syuja’
“ Siapa yang kamu mahu menikahkan puterinya kepadaku? Hartaku hanyalah tiga dirham” jawab guru sufi tersebut.
“Akan kuserahkan puteriku kepadamu” jawab Syah bin Syuja’.

"Layakkah saya untuk bernikah dengan anak perempuanmu sedangkan saya adalah seorang lelaki yang miskin", kata guru sufi itu seolah tidak percaya dirinya ingin dinikahkan dengan anak perempuan syeikhnya sendiri.

“Dari tiga dirham yang engkau miliki itu, belanjakanlah satu dirham untuk roti, satu dirham untuk minyak mawar, dan satu dirham untuk pengikat tali perkawinan” lanjut Syah bin Syuja’.
Akhirnya mereka bersepakat. Malam itu juga Syah bin Syuja’ menghantar puterinya ke rumah guru sufi itu. Keduanya pun di nikahkan. Kini keduanya telah menjadi suami isteri.

Ketika memasuki rumah sang suami buat pertama kali , puteri Syah bin Syuja’ melihat sepotong roti kering di sebuah kendi berisi air.“Roti apakah ini?” tanya nya kepada suaminya.

“Roti kelmarin yang kusimpan untuk buka puasa hari ini” jawab guru sufi yang memang terbiasa dengan amalan puasa sunat.Mendengar jawapan itu, tiba-tiba si gadis hendak meninggalkan rumah guru sufi tersebut. Guru sufi pun pasrah seraya berkata:

“ Sudah kusedari bahawa puteri Syah Kirmani tidak akan sanggup hidup bersamaku yang miskin ini”
Puteri Syah bin Syuja’ menjawab “ Aku meninggalkanmu bukan kerana sedikit hartamu, tetapi kerana lemahnya iman dan kepercayaanmu sehingga engkau menyimpan roti kelmarin dan tidak percaya bahawa Allah akan memberi kamu rezeki setiap hari” kata puteri Syah bin Syuja’ dengan serius.
Guru sufi tersebut sangat terkejut mendengar jawapan isterinya. Ada seorang perempuan yang jauh lebih tinggi berserah diri dan tawakkalnya kepada Allah.

Setelah terdiam sejenak dia melanjutkan perkataannya, “ Aku jadi hairan kepada ayahku, 20 tahun lamanya dia memingitku dan mengatakan akan kunikahkan engkau dengan orang lelaki yang bertakwa kepada Allah, tetapi nyatanya dia menyerahkanku kepada seseorang yang tidak pasrah kepada Allah untuk makanannya sehari-hari”
“Apakah kesalahanku ini dapat diperbaiki?” guru sufi bertanya
“Boleh” jawab puteri Syah bin Syuja’. “Pilihlah satu diantara dua, aku atau roti kering itu!”.

Akhirnya suaminya memilih isterinya dan memberi roti itu sebagai sedekah kepada fakir miskin.
Inilah natijah didikan yang sempurna yang telah diberikan oleh seorang ayah kepada anak perempuannya sehingga seorang gadis memiliki keyakinan dan tawakkal yang tinggi terhadap rezeki Allah . Sedikit pun tidak ragu-ragu dari mana rezeki akan datang kerana ia sesuatu yang telah dijamin keatas setiap manusia oleh Allah.

Mudah-mudahan kisah ini memberi kita kekuatan untuk menghilangkan kekhuatiran kita terhadap hilangnya atau berkurangnya harta dunia dari tangan kita bersama keyakinan bahawa khazanah yang berada disisi Allah adalah lebih baik dan lebih mulia.

Amiin Allahumma Amiin..


~Ustaz Iqbal Zain ~

Wednesday, 1 April 2015

AKHIRAT DI HATI


Akhirat dihati; "Ini adalah Kisah dua adik-beradik yang soleh. Abangnya itu banyak harta, tinggal di kota. Yang adiknya pula orang biasa, seorang ustaz yang alim. Duduk di kampung. Bahkan adiknya ini setiap hari nak makan kena pergi ke sungai untuk menangkap ikan. Tiap hari seperti itu. Dia ditemani dengan muridnya."

Pada suatu hari, ustaz ini memerintahkan muridnya untuk berjumpa dengan abangnya untuk sampaikan salam kepadanya dan meminta nasihat buat dirinya. Lalu murid ini pon pergi tanpa mengetahui kehidupan abangnya. Di dalam hati murid ini sangkaannya abangnya ini mungkin lebih alim lebih zuhud dari gurunya ini.

Sampai sahaja di rumah abangnya maka hairan sungguh muridnya itu. Rumah abangnya sangat besar dan keluasan dunia diberikan oleh Allah سبحانه وتعالى kepadanya. Kemudian dia meminta izin untuk berjumpa abang kepada gurunya. Setelah berjumpa, dia sampaikan salam serta dia beritahu yang gurunya itu meminta nasihat. Didalam hatinya, guru aku orang yang zuhud. Abangnya ini penuh dengan nikmat dunia takkan la meminta nasihat daripadanya."

Lalu abangnya pun berkata: "Engkau pulang dan beritahu adikku itu, bahawa jangan sibukkan hatinya dengan dunia." Wah! Bertambah hairanlah anak muridnya itu dan berkata dalam hatinya adakah aku salah dengar ni. Patutnya abangnya itu cakap pada dirinya sendiri yang penuh dengan nikmat dunia.

Lalu muridnya pulang kepada gurunya. Lalu di tanya gurunya, "Kamu dah ketemu dengan abangku? Apa nasihatnya buat diri ku ini?"

Muridnya pun bingung nak sampai kan atau tidak pada gurunya yang zuhud itu. Lalu di sampaikan didalam ketakutan.

"Wahai sheikh! Abangmu berpesan hendaklah engkau mengeluarkan dari hatimu itu dari kesibukan atas dunia."

Lalu gurunya pun menangis. Bertambah hairanlah muridnya itu tadi. Makin binggunglah dengan adik beradik ini. Tangisan gurunya itu bukan setakat mengalir air mata bahkan sampai tersedu-sedu nangis nya. Bila ditanya muridnya, "Wahai sheikh bolehkah kau jelaskan padaku apa yang terjadi antara engkau dan abangmu?"

"Gurunya menjawab, "Adakah engkau tahu bahawa nasihat abangku itu satu tamparan buat diriku. Kerna aku tahu aku di jalan yang salah." Muridnya bertanya, "Kenapa begitu wahai guru? Engkau sudah begitu warak tapi kenapa abangmu berkata demikian?"

Gurunya menjawab, "Engkau tahu bahawa abangku yang banyak harta itu dia sebenarnya tidak mahu akan harta itu. Tapi hatinya selalu bersama Allah سبحانه وتعالى dan disibukkan beribadat pada Allah سبحانه وتعالى, Maka dunia yang mengejarnya. Dia tidak mahu sebenarnya tapi dia tiada upaya untuk menahan dunia menuju kepada dirinya. Sekalipon harta itu hilang sekalipon daripadanya. Sekalipon harta itu direntap oleh Allah سبحانه وتعالى daripadanya. Hatinya tidak terkesan sedikit pon dengan harta dunia itu. Hatinya tetap dengan Allah سبحانه وتعالى."

"Sedangkan aku, Yang kau lihat seorang yang warak, alim ini, setiap kali aku dalam perjalanan pergi ke sungai untuk mencari ikan , aku dalam keadaan ragu dengan janji Allah سبحانه وتعالى. Aku ragu-ragu dengan rezeki Allah سبحانه وتعالى. Aku tidak yakin bahawa aku dapat ikan atau tidak pada hari itu. Setiap hari bermain dalam fikiran ku hari ini aku dapat ikan atau tidak. Kadangkala Allah سبحانه وتعالى tak beri aku ikan dalam masa tiga hari kerna sifat ragu-ragu ku itu."

"Sedangkan didalam Al-quran, Allah سبحانه وتعالى sudah menjanjikan rezeki buat hambanya. Sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى tidaklah memungkiri janji. "

"Jangan kita menyangka orang yang kelihatan bajunya mahal, hidup mewah, makan enak, itu orang yang tidak sibukkan hatinya pada Allah سبحانه وتعالى. Kita tidak menilai seseorang itu hanya dari segi luaran. Kerna banyak orang yang miskin, yang tidak yakin dengan pemberian rezeki dari Allah سبحانه وتعالى. "


Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.
Majlis Ta'lim Darul Murtadza

IBU ADALAH MADRASAH

Ibu adalah Madrasah; "Ibu itu adalah madrasah pertama kepada anak-anak. Anak itu dicorak daripada kedua ibu-bapa mereka. Antara tokoh-tokoh hebat di dalam sejarah islam bermula daripada didikan ibu mereka. Ada satu kisah ibu yang hebat, yakni ibu kepada Al-Imam As-Syafie. Ibunya suruh imam syafie menuntut ilmu dan tidak membawa balik harta ketika imam as-syafie berusia 15tahun."

"Beliau keluar menuntut ilmu di madinah bersama Imam Malik, kemudian setelah beberapa tahun menuntut ilmu. Imam Syafie pulang. Sebelum pulang, Imam Malik memberi sedikit pemberian untuk bekalan imam syafie pulang ke rumahnya. Sebelum sampai ke rumahnya, imam syafie telah mengagih-agihkan harta bekalan itu kepada orang miskin sehingga hanya tinggal satu kantung wang sahaja."

"Sampai saja dirumah, ketika mengetuk pintu dan memberi salam kepada ibunya. Ibunya didalam rumah pon bertanya

"Siapa itu?" Lalu imam syafie menjawab, "ini anakmu"

kemudian bertanya lagi, ibu beliau tanpa membuka pintu

"Apa yang kamu bawa pulang wahai anakku?"

Imam Syafie menjawab "Tiada dunia yang dibawa pulang wahai ibu." Selepas itu barulah ibunya membuka pintu dan menyambut anaknya."

"Subhanallah. Berbeza dizaman kita sekarang, kata alim ulamak, dunia sekarang sudah terbalik,

disuruh anak mereka belajar tinggi-tinggi untuk membawa pulang dunia yang akhirnya memakan diri anak itu sendiri dan melukakan hati ibu bapa. Anak-anak sudah kerja bagus, kemudian ditinggalkan itu ibu dirumah orang-orang tua."

"Antara ibu yang hebat adalah ibu kepada Syeikh abdul qadir al-jailani. Ibunya menyuruh keluar menuntut ilmu dan menyuruh syeikh jujur dan disaksi oleh Allah سبحانه وتعالى. Ketika syeikh abdul qadir jailani masih kecil remaja, ibunya menyuruh ke baghdad untuk menuntut ilmu bersama kabilah arab yang ingin kesana.

Diberikan sedikit wang peninggalan arwah ayahndanya kepada beliau, dan diwasiatkan oleh ibunya supaya jangan kamu sesekali berdusta."

"Dalam perjalanan kabilah mereka dirompak oleh sekumpulan perompak, namun syeikh itu diabaikan oleh kumpulan perompak kerana beliau masih kecil itu sehingga salah seorang dari perompak itu bertanya pada syeikh, "wahai budak kecil, apakah kamu punya wang?" Lalu dijawab oleh beliau, "ya! ada didalam kantung baju ku ini" Kemudian siperompak itu memeriksa kantung bajunya,

"Benar! tetapi mengapa kamu beritahu kepada aku, setelah kamu tahu aku pasti akan mengambilnya daripada kamu?"

Dijawab oleh syeikh abdul qadir jailani. "Aku ini sudah berjanji kepada ibuku supaya tidak berdusta" Lalu ketawalah siperompak itu lalu memanggil ketua perompak dan diceritakan perihal tadi, kemudian ketua perompak itu bertanya pada syeikh abdul qadir jailani. "kenapa kamu berkata benar?" Dijawab oleh beliau, "Aku telah berjanji dengan ibuku supaya tidak berkata dusta"

Lalu ketawalah ketua perompak itu dan menyambung, "Ibumu bukanya tahu kamu berkata dusta, dia juga tiada disini"

"Lalu dijawab oleh syeikh. "Ya benar, tetapi sewaktu aku mengambil wasiat dari ibuku supaya berkata benar, ia telah disaksikan oleh Allah سبحانه وتعالى akan wasiat itu. Dimana jua aku berada walaupon tiada ibuku, Allah سبحانه وتعالى sentiasa memerhatikan aku." Tersentak ketua perompak dengan jawapan itu lalu berkata ketua itu kepada kumpulannya

"Sungguh benar kata budak kecil ini, kita merompak walhal Allah سبحانه وتعالى memerhatikan kita tanpa kita hiraukan."

"Lalu ketua perompak itu pon bertaubat dan menyerahkan semua rampasan rompakan kepada kumpulan kabilah itu dan bertanya pada Syeikh. "Kemana kamu ingin pergi wahai budak?" dijawab kembali. "Aku ingin ke kota baghdad untuk menuntut ilmu disana." Ketua penyamun itu kemudian berkata, "Jadi aku akan bersama kamu untuk sama-sama menuntut ilmu."

"Dikisahkan kumpulan penyamun itu adalah orang yang pertama mengucap syahadah hasil dari akhlak Syeikh abdul qadir-jailani,

Nah! lihat betapa hebatnya seseorang itu bila diasuh dengan acuan yang betul yang sempurna oleh seorang ibu yang hebat. Dua tokoh islam yang terkemuka ini yang mana hasil dari didikan madrasah yang pertama iaitu Ibu."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid.
Majlis Ta'lim Darul Murtadza

ALLAH SUBHANA WA TAALA YANG MENGURNIAKAN REZEKI



Hakikatnya krisis kenaikan harga barang telah berlaku ke atas manusia sejak pada zaman Rasulullah SAW lagi, dan ia telah direkodkan dalam hadis sahih.

Dari Anas bin Malik ra. dia berkata, “Harga barang menjadi mahal pada zaman Nabi SAW, lalu mereka (para sahabat) berkata, ‘Wahai Rasulullah, harga telah menjadi mahal maka tetapkanlah harga untuk kami.’” (Riwayat Abu Dawud)

Peristiwa ini berlaku apabila harga barang di pasar di Madinah naik, maka para sahabat bertemu Rasulullah meminta supaya Baginda menetapkan harga supaya orang-orang miskin dapat membeli barang dengan harga yang mereka mampu. Lalu apa jawab Rasulullah?

Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga itu, Dialah Allah yang melapangkan, Dialah Allah yang menyempitkan, serta Dialah Allah yang memberikan rezeki. Dan sesungguhnya aku berharap agar aku bertemu Allah SWT dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku di dalam kezaliman terhadap darah mahupun kezaliman terhadap harta.” (Sahih. Riwayat Abu Daud)
Kenaikan harga barang tidak mengubah rezeki seseorang. Nabi menyatakan bahawa Allah-lah yang melapangkan rezeki seseorang hamba dan Dia juga yang menyempitkan rezeki mana-mana hamba yang dikehendakiNya.

Ini selari dengan firman Allah SWT, “Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.” (Al-Ra’d: 26)
“Jika Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambaNya tentulah mereka melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakiNya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui hamba-hambaNya lagi Maha Melihat.” (As-Syura: 27)

Usah khuatir kerana rezeki setiap manusia pasti dicukupkan dan tidak dikurangkan sedikit pun. Kenaikan harga sama sekali tidak mempengaruhi rezeki yang ditetapkan. Ini seperti mana sabda Nabi SAW, “Wahai manusia, sesungguhnya salah seorang kamu tidak akan mati sehingga dia mendapat seluruh rezekinya secara sempurna. Maka janganlah kamu tidak sabar dalam mendapatkan rezeki. Bertakwalah kepada Allah, wahai manusia! Carilah rezeki secara baik, ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram.” (Sahih. Riwayat Al-Hakim)

“Ajaibnya urusan orang Mukmin, seluruh urusannya adalah kebaikan dan ini tidak terdapat kecuali pada seorang Mukmin. Jika mendapat kesenangan dia bersyukur dan ini baik baginya, jika ditimpa musibah dia bersabar dan ini juga baik baginya.” (Riwayat Muslim)


Jangan risau dengan GST....

Allah S.W.T yang mengurniakan rezeki bukan makhluk.