Sunday, 29 December 2013

KASIH 12

Kasih
waktu telah melakar ceritera
memercikkan warna lakarannya
kebenaran dan Cinta
penuh setia
terdiamlah daku
di perdu rasa



Norlidar Lidon
29.12.2013

KASIH 11

Wahai kasihku
aku pun tersipu malu
di saat dikau
hulurkan mawar rindu
harumnya menusuk kalbuku
semoga kasih kita bersatu
mekar tanpa jemu
seharum doamu



Norlidar Lidon
28.12.2013

Saturday, 28 December 2013

KASIH 10

Kasihku
tatkala rasa itu
menyesak kalbuku
lama daku terduduk di situ
terluah segala warna
nan membekas di jiwa
bertalu-talu kupanggil asma-Mu
walau bibir terdiam kaku



Norlidar Lidon
28.12.2013

KASIH 9


Pagi ini kasih
terlihat di balik awan
putik keceriaan
akan menjelma secalit senyuman
dan juga azam

Senyum itu kasih
secerah mentari jingga
beburung pun turut berkicauan
menyambutmu
menemaniku
dan puisi bisu



Norlidar Lidon
28.12.2013

Thursday, 26 December 2013

BICARA TENTANG HATI



'


“Ummu, kau pernah suka seseorang tak?’’ temanku bertanya.

Teralih perhatianku untuk menikmati keindahan alam.

“Adalah jugak. Tapi dah lama, dah hilang dah pun perasaan itu. Kadang-kadang memang terasa macam ada sesuatu dalam hati; tapi perasaan tu juga buat aku rasa tak sedap hati at the same time. Bila macam tu, aku doa je kat Allah. So, sebenarnya, aku pun tak pasti aku pernah suka lelaki ke tak. Hehehe”

“Kau doa macam mana?”

Ya Allah, kau tahu perasaanku terhadapnya kerana Kau Maha Mengetahui, jika memang sudah tertakdir jodohku dengannya, Kau peliharalah rasa sukaku terhadapnya sebaliknya jika aku memang tidak tertulis untuknya, Kau hilangkan rasa sukaku terhadapnya. Kerna Kaulah yang sebaik-baik perancang.

Hanya itu yang mampu ku jawab. Mahu menghilangkan rasa gusar di jiwa temanku. Tersenyum dia mendengar jawapanku.

“Nasib baik kau ada, kalau tak mesti aku dah terlanjur jual cinta aku untuk yang tak sepatutnya.”
Yang Dinamakan Hati
Memendam perasaan itu dinamakan jihad. Kerana kita sedang memperjuangkan diri kita daripada terjebak dengan dosa. Andai seseorang meluahkan perasaannya terhadap kita dan kemudian kita menerima perasaannya, mengikat sebuah hubungan haram, membuka hati kita untuk menerima cinta kepada yang tak sepatutnya. Samalah, seperti balang gula-gula yang telah terbuka dari penutupnya.
Dan ketika sedang menjalin hubungan tanpa ikatan dengannya, kita sibuk menzahirkan cinta, meluahkan sayang kepadanya, kerana ketika itu, hidup kita hanya untuk membahagiakannya. Ini diibaratkan seperti gula-gula yang terdapat dalam balang itu telah diberikan kepada dia.
Lalu, akhirnya dia pergi meninggalkan kita setelah puas mempermainkan kita yang leka dalam cinta. Balang gula-gula itupun yang sudah terbuka penutupnya, hanya tingal sedikit sisa-sisa, beberapa gula-gula. Dan hati kita itu, hanya balang gula-gula yang tinggal sedikit isinya. Adakah hati itu yang bakal kita persembahkan kepada seorang Adam yang bergelar suami, halal keatas kita dan bakal menghabiskan masanya bersama kita?


Si suami bakal mendapat cinta secondhand. Tidakkah kita merasa malu untuk berdepan dengannya, kerana hati ini pernah menjadi kepunyaan orang lain?

Suka pada seseorang. Itu namanya fitrah. Kerana itulah, berada di alam remaja, merupakan alam yang paling mencabar.

Ada sesetengah manusia, menjadikan cinta sebagai media pemuasan hawa nafsu. Inilah yang berlaku pada akhir zaman sekarang. Kes buang bayi, mengandung anak luar nikah, semakin banyak terjadi. Inilah umat akhir zaman.



Cinta yang lazimnya ditujukan kepada pemuasan hawa nafsu semata, sebenarnya cinta yang diilhamkan Tuhan untuk haiwan.
Al-Farabi
Tidak malukah kita? Disamakan dengan haiwan?
Muhasabah diri. Suka seseorang, pendamkan sahaja. Fikir dahulu,tidakkah kita berasa malu? Mencintai seseorang, tanpa terlebih dahulu mencintai Dia. Bagaimana kita, mahu mengetahui tanda-tanda kita mencintai Allah?



…..
Tanda-tanda Mencintai Allah
Kalau cinta, rindu untuk bertemu.
Bagaimana sikap kita sewaktu hendak berjanji temu (solat) dengan Allah?
Kalau cinta, suka apabila disuruh.
Bagaimana sikap kita  sewaktu diperintah menutup aurat, menjauhi zina dan lain-lain?
Tidak malukah kita? Mencintai hambaNya terlebih dahulu tanpa mencintai Dia?
Andainya kita risau, orang yang kita sukai bakal jatuh ke tangan orang lain, ingatlah kita ini siapa. Orang yang disukai itu bukan milik kita sebaliknya milikNya. Layakkah kita merisaukannya. Ingatlah, jodoh itu ketentuan Tuhan, kita hamba tidak perlu bersusah payah memikirkannya.
Apa guna bercouple? Sedangkan dia yang kita sukai itu belum tentu lagi jodoh kita. Elakkan. Kerana ia selangkah menuju kepada perbuatan zina. Dan Allah sendiri telah berfirman:
“Dan janganlah kamu mendekati zina…. (Al-Isra’ 17:32)”
Cinta selepas kahwin itu indah. Kerana apa yang haram untuk dibuat, halal untuk kita lakukan terhadapnya. Simpan diri untuk yang halal. Bila hati diuji kerana fitrah, peganglah pada prinsip: ‘hati itu ibarat balang gula-gula.’
Wanita, peliharalah cintamu untuk yang halal. Memendam itu berjihad. Tidak perlu bercouple untuk melampias fitrah. Kita wanita, senang menuju ke syurga-Nya.





MENDIDIK ISTERI, SUAMI PERLU STRATEGI

::Mendidik isteri, suami perlukan strategi::

Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada kita kaum lelaki kekuatan akal yang rasional tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa. Firman Allah yang bermaksud:


“Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”



Tercetusnya kebahagiaan rumahtangga ialah apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri – makhluk yang kuat perasaannya.



Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.



Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah tidak sabar, mudah prasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendekata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah wanita mesti dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.



Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran kita.



Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh membahayakan isteri. Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasawuf.



Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW. Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya dia akan membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Rasulullah lalu di sebelah rumahnya. Tetapi sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda Rasulullah SAW.



Suatu hari Rasulullah SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Rasulullah SAW sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar Rasulullah SAW menghadapi kerenah perempuan tua itu menyebabkan terbuka hatinya memeluk Islam.



Pada masa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu baginda memberi salam. Tetapi tiada siapa pun yang menjawab salam baginda. Baginda memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah SAW beri salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua mereka menjawab, “Kami sengaja mahu Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”



Begitu Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Rasulullah SAW masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kita kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kita kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, kita kaum lelaki mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.



Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab, “Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan RasulullahSAW. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya, “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah SAW mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Saidatina Siti Aisyah ra. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Saidatina Siti Aishah ra. pun berkata, “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti,”



Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.



Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, kita hendaklah merendahkan sifat ego kita. Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama Siti Aishah. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah SAW berlagak seperti kawan sepermainan. Saidatina Siti Aishah ra. diajak berlumba lari. Kadang-kadang Saidatina Siti Aishah ra. menang dan adakalanya Rasulullah SAW menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah SAW melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan.



Sebagai orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami. Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela,Katrina dan lain-lain).



Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.



Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Saya bukanlah menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya.



Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah SAW. Suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya, “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah, yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah SAW tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian.



Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada dikalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain.



Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah SAW sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.



Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah SAW. Ada yang terasa pasti jawapannya Saidatina Siti Aishah ra. kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah SAW kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.



Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.



Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. 



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”



Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”



Apabila wanita dapat dididik dengan betul maka ia dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah akan membahagiakan seluruh isi alam.



Firman Allah SWT, “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran.” Surah Al-Ashr



Dari Abdullah bin Amr ra, Rasulullah SAW bersabda: "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat…"

KASIH 8



Oh kasihku
tiada berkurang rasa
hanya kerana gurau senda
tiasa rajuk melata
walau tiada kiriman mawar

Wahai kasihku
gemalai cinta
ke mana kupergi
dikau turut bersama
mengiringi dengan doa
penuh bercahaya

Norlidar Lidon
26.12.2103

USAHLAH BERSANDAR KEPADA SELAIN DARI ALLAH


Jika yang menghidupkan mematikan dan memberi rezeki adalah Allah.

Lalu mengapa ada gundah, takut ataupun perlukan pujian manusia?


Yang membuat gusar hati itu adalah sikap yang bergantung kepada orang lain, keinginan mencari simpati, ingin dipuji dan keinginan supaya tidak dicela. Sedangkan ianya merupakan kelemahan dalam tauhidnya.



Kuharapkan Engkau Bersikap manis walaupun hidup sangat pahit.
Kuharapkan Engkau redha walaupun orang lain murka
Jika cinta-Mu membara maka semua yang lain adalah ringan
dan semua yang ada di atas tanah itu adalah tanah


Wednesday, 25 December 2013

KASIH 7

Wahai kasihku
tiada benci di hatiku
setelah hadirnya dirimu
dalam diamku
hanya doa-doa syahdu
dari kejuahan
daku kirimkan aromanya
dalam diam

Norlidar Lidon
25.12.2013



Tuesday, 24 December 2013

KASIH 6

Wahai kasihku
mengapakah ilhammu membeku
cubalah intai ke luar jendelamu
titisan hujan seindah salju
akan terlahir kalam seindah dulu
menghiasi taman puisimu
agar hilang rinduku
menatap puisimu seperti selalu


Norlidar Lidon
24.12.2013

puisi untuk zie 

Friday, 20 December 2013

REDHAKAH KITA?

Kalau kita nampak ketentuan Tuhan atas sesuatu yang berlaku kepada diri kita
maka, kita akan redha

Jika dibutakan mata hati kita melihat itu semua sebagai pemberian-Nya
maka kita tidak akan redha.

Apabila tidak redha,
kita akan jadi perungut
kita akan jadi perengus
kita akan jadi pembenci
kita akan jadi pemarah

kepada siapa kita marah sebenarnya???

Sewaktu kamu memohon supaya Allah Subhanahu wa Taala redha akan kamu, sebelum itu kamu wajib redha apa yang sudah ada padamu, iaitu janganlah kamu merungut atau tidak puas hati dengan apa yang ada. Sebaliknya memohonlah dengan hati yang telus lagi ikhlas.

BERTAKWALAH KEPADA ALLAH

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا لا تَخونُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ وَتَخونوا أَمٰنٰتِكُم وَأَنتُم تَعلَمونَ ﴿٢٧﴾(27) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).


وَاعلَموا أَنَّما أَموٰلُكُم وَأَولٰدُكُم فِتنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ﴿٢٨﴾(28) Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.


يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا إِن تَتَّقُوا اللَّهَ يَجعَل لَكُم فُرقانًا وَيُكَفِّر عَنكُم سَيِّـٔاتِكُم وَيَغفِر لَكُم ۗ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ ﴿٢٩﴾(29) Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.
(Surah Al Anfal ayat 27, 28 & 29)


"Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ra, katanya : Bahwa sesungguhnya Rasulullah saw. berkhutbah kepada manusia pada waktu haji Wada' . Maka beliau bersabda : Sesungguhnya Syaitan telah berputus asa (dalam berusaha ) agar ia disembah di bumimu ini. Tetapi ia redha apabila (bisikannya) ditaati dalam hal selain itu; yakni suatu amalan yang kamu anggap remeh dari amalan-amalan kamu, berhati-hatilah kamu sekalian. Sesungguhnya aku telah meninggalkan untukmu, yang jika kamu berpegang kepadanya niscaya kalian tidak akan sesat selama-lamanya. Yaitu: Kitab Allah dan sunnah NabiNya. "
( Hadis Riwayat Hakim dan Muslim).


INDAH

Pasir putih sepanjang pantai
alunan ombak
saling berkejaran
adalah irama alam
sebuah buku dalam dakapan
ditemani keluarga tercinta
pasti lebih berbahagia



Subhanallah
Norlidar Lidon
20.12.2013

Monday, 16 December 2013

JANGAN MENANGIS

Jangan menangis, kekasihku...
Janganlah menangis dan berbahagialah
kerana kita diikat bersama
dalam cinta

Hanya dengan cinta yang indah
kita dapat bertahan terhadap
derita kemiskinan
pahitnya kesedihan
dan duka perpisahan

~Khalil Gibran ~




Monday, 9 December 2013

KE MANAKAH KEBENARAN

rasa dan warna
seringkali berbauran
bergurau-senda
hati yang merasa
di manakah kebenaran
imankah berantakan
lalu...
keluh kesah berserakan

akukah yang kelemasan
saat bertarung dengan perasaan
saat kubiarkan keadaan kuasai emosi
manakah perginya sabar?
manakah perginya tabah?
aku terus gundah
adab dan santun
mungkinkah punah

wahai diriku yang mengaku hamba Allah
simpan kata nistamu
simpan keluh kesahmu
lunakkan rasamu
seimbangkan warnamu

Wahai hati
kamukah hamba atau diperhamba
tapi tingkahmu bak raja
lupakah kamu tentang Cinta
mengapa tak kau cari Dia
Yang Maha Esa
rendahkan dirimu pada-Nya
usah durhaka
kembalilah pada-Nya



Cinta selalu menanti kita
untuk merasai bahagia
di sini mungkin
nyatalah dan pasti akan berbahagia di sana


Norlidar Lidon
09.12.2013

Friday, 6 December 2013

MALAMKU

Malamku tanpa-Mu
adalah payah
ada lelah
keluh kesah nan gelisah
mengapa hati rasa terpisah
mungkinkah pasrah?
terasa mahu rebah?
Engkau yang kuharapkan membawa indah
selawat dan salam buat kekasih-Mu Rasulullah
ahlan wa sahlan Jumaat penuh berkah.


Norlidar Lidon
06.12.2013

Monday, 2 December 2013

MERINDUMU

Merindumu
luluh hatiku 
lebih indah dari melihat bintang beribu
ohh aku... merayu dalam hatiku
hadirlah dalam mimpiku
sayu
pilu

Ya Rasulullah...
اللهم صل على سيدنا محمد




Sunday, 1 December 2013

KASIH 5

Kasih
bagaimana lagi
apa lagi bukti
harusku tunjuki
tentang rasa ini
dan cinta yang tersimpul rapi

sungguh tiada kata
dapatku beri rasa
sama makna  
ohh Cinta...

Norlidar Lidon
29.11.2013

Sunday, 24 November 2013

RINDU YANG BERLARI

Lirih kalammu
saat dikau beritakan kelelahan
tentang kebenaran semalam
dalam musafirmu mengejar cinta
keangkuhan cinta katamu
yang tak mahu menunggu

Di balik mata yang kian tua
jutaan airmatamu berjejeran
rindumu dikau bawa berlari
takungannya menyerpih
hatimu terus merintih

lalu
tanyalah hatimu
cintakah yang buta



Norlidar Lidon
24.11.2013

MTDM - AL HABIB ALI ZAINAL ABIDIN -16.11.2013 I

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ


Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa, KL - 16.11.2012

Tafsir Al-Imran ayat 92:




Ayat ini menyeru kepada kita dan meminta untuk kita bertindak-balas - bilamana Allah menyeru sesuatu, hamba diminta memberi tindak-balas kepada seruan tersebut sebagai tanda kepatuhan dan ketaatan kepada Allah. Dalam ayat ini, Allah berfirman:

"Kamu tidak akan sampai kepada kedudukan al-birra’..."



 Al-birr mempunyai banyak makna iaitu:
1.     Syurga - Kamu tidak akan sampai kepada syurga
2.     Taat - Kamu tidak akan sampai kepada kedudukan orang yang taat
3.     Taqwa - Kamu tidak akan dikategorikan sebagai orang yang bertaqwa
4.     Kebajikan/kebaikan - Kamu tidak akan sampai kepada peringkat orang yang berbuat kebajikan.

Walaupun ahli tafsir memberikan 4 makna  dalam keempat-empat maknanya tidak bertentangan sebaliknya saling melengkapi iaitu tujuannya ialah syurga. Yakni tidak akan mencapai syurga kecuali melalui ketaatan, ketaqwaan, dan kebajikan.

"...sehingga kamu sedekahkan harta yang kamu suka.."
Maknanya untuk mencapai tahap taat, taqwa, maka kamu perlu menginfakkan apa yang kamu suka.

"Sesungguhnya apa yang mereka infakkan itu diketahui oleh Allah SWT Yang Maha Mengetahui."
Maknanya infak itu akan dihitung, dihisab dan dibalas Allah Taala. Ada beza balasan dan amal. Balasan akan diberi sesuai dengan amal yang dilakukan. Balasan yang berkualiti akan diberi kepada amalan yang berkualiti. Amalan yang kurang berkualiti, balasannya pun kurang berkualiti. Jadi, bilamana kita beramal kepada Allah dan nak tahu sebesar mana ganjarannya, tengok sebesar mana pengorbanan kita kepada Allah SWT. Allah akan beri pada kita dengan kadar kita beramal kepada Allah Taala. Ada orang yang memberi infak baik dalam bentuk jihad atau sebagainya atau perkhidmatan atau apa saja yang kita ingin berikan pada orang lain.

Kalau kita ada 2 barang, yang satu cantik dan satu lagi kurang cantik, yang mana yang kita akan beri pada orang? Tentulah yang kurang cantik. Mengapa? Kerana sifat semulajadi manusia ialah suka kepada keduniaan atau kepada barang yang dimiliki.

Oleh itu, baginda Rasulullah menghormati hak orang daripada diambil tanpa redhanya atau dengan cara paksa. Amir zakat diberi pesan oleh Rasulullah, "Jangan mengambil zakat daripada harta yang mempunyai kedudukan di hati pemiliknya." Contohnya, jika seseorang sangat sayangkan seekor daripada kambing miliknya, dan amir zakat pun datang dan meminta kambing yang tersebut. Ini tidak boleh dilakukan. Pemilik berhak memilih haiwan yang ingin dizakatkan. Amir hanya bertugas menerima, kecuali jika haiwan yg diberi tidak memenuhi kriteria, barulah dipulangkan dan diminta haiwan yang lain. Demikian juga dengan unta, lembu dan seumpamanya. Nabi SAW menghormati sifat suka manusia kepada harta dan tidak menyuruh mengambilnya daripada mereka secara paksa kecuali diberi sendiri oleh tuan punya barang. Jika berlaku demikian, ianya mempunyai nilai tinggi.

Dahulu, ada sekumpulan yang digelar ashabul As-Sufa, yang tidak punya kaum kerabat dan tinggal di belakang rumah Nabi dan tidur di masjid Nabi. Mereka susah untuk bekerja dan banyak bergantung kepada pemberian orang. Apabila tibu musim menuai kurma, kaum Ansar meletakkan kurma yang kurang elok di pintu masjid agar dapat dimakan oleh sesiapa saja termasuk Ashabul As-sufa. Tetapi, oleh kerana kurma yang diletakkan itu kurma yang kurang elok, Allah SWT yang mengetahui isi hati manusia dan ingin agar manusia tidak berkira ketika berbuat amal kebaikan, dan mengutamakan kualiti amal dan bukan sekadar beramal. Orang bijak akan lihat kualiti amalnya, bukan kuantitinya. Oleh kerana perbuatan mereka, Allah menurunan ayat agar manusia tidak berkira ketika beramal kepada Allah. Adapun orang yang kurang perhatian kepada kualiti amalnya, Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah: ayat 267



Ada beza barang elok yang tak boleh dipakai lagi dengan barang elok yang tak dipakai. Ada orang beri sebab dia tak pakai, tapi ada orang beri barang yang dia dah tak boleh pakai. Kalau kamu sendiri tak nak ambil barang itu, jangan beri barang itu pada orang lain.

Bila para sahabat mendengar ayat ini (Al-Imran 92), sahabat bernama Saidina Tolhah - sifat sahabat Nabi ialah cepat memberi respon pada ayat Allah  mereka memahaminya sebagai tawaran dan peluang daripada Allah SWT.  Kalau ada Raja buat pengumuman yang dia akan beri 10 ribu jika orang datang berkumpul pada pukul 4, maka pukul 12 lagi orang akan sudah berkumpul. Itu baru tawaran Raja di dunia. Tetapi ini ialah seruan Yang Maha Besar, Yang Kekayaan-Nya tiada penghujungnya.


Dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam ayat 24, surah Al-Anfaal:



Perkataan:


 


bermaksud bersegera atau cepat dalam menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya




Oleh itu, digambarkan bahawa para sahabat, jika sedang mengangkat cangkul sekalipun akan segera melepaskannya ke belakang, tanpa diletak kembali apabila terdengar suara azan untuk segera menyahut seruan tersebut.





Seorang sahabat bernama Habar, digelar sebagai orang yang dimandikan malaikat. Kenapa digelar begitu? Kerana sikapnya yang segera menyahut seruan Nabi SAW, tidak menunda-nunda lagi. Dia baru berkahwin, dan setelah malam pertamanya, esoknya ada seruan jihad, lalu dia terus pergi berjihad dan syahid. Apabila dikumpulkan mayat orang syahid, didapati mayatnya basah seperti mandi. Lalu Rasulullah SAW suruh bertanya kepada ahli keluarganya. Dan diberitahu yang dia pergi jihad dalam keadaan janabah kerana ingin bersegera dalam menyambut seruan Nabi SAW.


Kembali kepada cerita sahabat tadi - Saidina Tolhah mempunyai sebuah kebun yang ada perigi di dalamnya, dan kebun itu bertempat di arah kiblat masjid Nabawi. Mendengar seruan itu (ayat 92 Al-Imran), dia pun pergi berjumpa nabi SAW dan berkata, "Saya adalah orang yang paling kaya antara kaum Ansar. Dan dalam harta saya, saya paling sayang Bairuha (merujuk kebun tersebut). Saya infakkan dan serahkan kepada kamu untuk menentukan siapa yang patut menerimanya." Lalu Nabi SAW pun menyerahkan kepada keluarganya semula. Nabi SAW mengembalikan bukan kepada pemiliknya tetapi kepada keluarga pemiliknya. Kenapa? Agar ahli keluarga tidak merasa cemburu dengan infak tersebut. Bukankah ini banyak berlaku hari ini. Jadi tujuannya juga untuk menjaga dan mengeratkan hubungan keluarga Saidina Tolhah.

Saidina Zaid ibnu Harithah juga mendengar seruan itu dan datang kepada Rasulullah SAW dan memberi pada kuda yang paling disayangi. Nabi SAW mengambilnya dan  menyerahkan pada anaknya iaitu Usama ibnu Zaid. Ini bermakna Nabi SAW juga menyerahkan semula kepada ahli keluarga pemilik asal harta. Saidina Zaid merasa tidak senang hati kerana harta itu diberi kepada anaknya. Maka dia pergi kepada Rasulullah dan menyatakan kerisauannya. Sabda Nabi SAW, "Apa yang kamu niatkan sudah diterima oleh Allah SWT. Pada siapa aku serahkan harta itu tiada kena-mengena dengan niat kamu. Demikian Rasulullah bijak dalam mengembalikan harta yang diinfakkan pada jalan Allah SWT.

Saidina Abu Dzar mempunyai unta-unta, dan ada satu yang jantan. Untan jantan ini penting untuk membiakkan unta-unta betina yang lain. Datang seorang tetamu kepadanya tetapi dia ada hal lalu dia berkata, "Saya ada hal sedikit, kamu pergi kepada unta saya dan ambil yang kamu suka untuk disembelih. Tetamu itu pun pergi dan mengambil unta yang kurus dan pergi kepada Abu Dzar. Abu Dzar bertanya, "Mengapa kamu ambil unta yang kurus, tiada yang lainkah yang sesuai? Jawab tetamu itu, "Ya, mata saya ada ternampak seekor unta yang hebat dan gagah (merujuk kepada unta yang jantan itu) tapi saya segan nak ambil kerana kamu perlu kepada unta itu. Jawab Abu Dza, "Saya lebih perlu kepada unta itu untuk bekal saya nanti di kubur. Ambillah unta itu." Lalu dia mengambil unta jantanya yang satu itu dan menyembelihnya.

Para sahabat ringan untuk mengorbankan sesuatu di jalan Allah. Begitulah akhlak para sahabat dan ramai lagi sahabat yang berbuat begitu.

Tujuan ini semua untuk melatih kita menginfak apa yang kita suka pada jalan Allah dan melatih membuang sifat bakhil dan kedekut untuk menginfak pada jalan Allah. Allah akan memberi balasan terhadap apa yang diinfakkan manusia.

Rasulullah SAW mempunyai 2 siwak - satu lurus dan satu lagi bengkok. Ketika ingin menghadiahkan pada sahabatnya - Nabi SAW memberikan yang lurus. Masalahnya bukan kepada siwak yang diberi kerana harganya pun tidak tinggi, tetapi nawaitu ketika memberi yang akan dihisab oleh Allah.

Ketika seorang peminta sedekah diberi sebiji kurma oleh Sy. Aisyah, berkata, "Ya Ummul Mukminin, satu biji kurma sajakah?" Saidatina Aisyah mengatakan, "Kamu tidak tahukah dalam kurma itu ada berapa ribu zarah? Allah telah beriman bahawa sesiapa yang berbuat baik sebesar zarah pun, dia akan mendapat ganjarannya. Beliau yang belajar terus dengan guru terbaik yakni Rasulullah SAW faham bahawa yang dinilai Allah bukan besar kecilnya pemberian tetapi niat ketika memberinya."

Jadi, pengajaran yang kita boleh ambil daripada ayat ini adalah:
  • Melatih diri agar ringan tangan untuk memberi
  • Dalam memberi, beri barang yang terbaik dan barang yang kita suka, yang kita perlu. Ini untuk menghakis sifat kedekut yang tidak boleh ada pada orang yang beriman pada Allah SWT.
  • Dalam hadis Nabi SAW bersabda, "Orang yang pemurah itu dekat dengan Allah, dekat kepada syurga dan jauh dari api neraka. Orang yang bakhil pula jauh dari syurga, dekat dengan neraka dan jauh daripada Allah SWT. Oleh itu, hakislah sifat kedekut pada diri kita dan kecintaan yang lebih kepada harta.