KESALAHAN DAN KEBAIKAN

 
 
 "Ingatlah olehmu dua perkara, iaitu kesalahanmu kepada orang lain dan 
kebaikan orang lain kepadamu. Lupakan dua perkara, iaitu kebaikanmu pada
 orang lain dan kesalahan orang lain kepadamu".
 
 Nasihat ahli 
hikmah ini, perlu kita jadikan bahan renungan dan muhasabah kita dalam 
upaya mencapai peribadi yang berakhlak karimah. Nilai seseorang 
bukanlah berada pada penampilan dirinya, bukan pula dari jawatan dan 
harta benda yang telah dikumpulkan. Seseorang dinilai bukan dari kerusi 
yang diduduki, bukan pula berapa pangkat yang disandang dan tanda jasa 
yang melekat pada dadanya, serta bukan pula kerana garis keturunannya. 
Seorang itu dinilai dari budi pekerti luhur yang menghiasi perilakunya.
 
 Dikatakan dalam pepatah Arab, ''Kemuliaan seseorang itu dengan budi 
pekerti yang baik, bukan kerana keturunan.'' Mengapa kita harus 
mengingat kesalahan yang telah dikerjakan pada orang lain? Dengan 
mengingatnya, akan menimbulkan perasaan menyesal dalam diri kita, 
perasaan yang mendorong untuk bertaubat kepada Allah, kemudian berusaha 
memperbaikinya dengan meminta maaf dan tidak akan mengulanginya.
 
 Mengingat kebaikan orang lain terhadap kita akan mendorong kita selalu 
berbuat baik kepada orang lain. Kehidupan tidak akan terbina dengan baik
 tanpa kebaikan orang lain, yang pada hakikatnya kebaikan itu untuk 
dirinya sendiri. Rasulullah Shallallahu 'Alayhi Wasallam bersabda, 
''Tidak sempurna iman seseorang sampai dia mencintai saudaranya seperti 
dia mencintai dirinya sendiri.'' (HR Bukhari-Muslim).
 
 Melupakan
 kebaikan yang telah diperbuat pada orang lain akan mendorong kita 
menjadi peribadi yang mukhlis. Setiap kebaikan, hanya diniatkan lillah 
ta'ala, seikhlas-ikhlasnya. Sebagai Muslim, sudah semestinya kita menjaga 
agar hati selalu suci dari kemunafikan, perbuatan harus selalu suci dari
 riya' lidah harus selalu suci dari kebohongan. Sedangkan dengan 
melupakan kesalahan orang lain, akan mendorong kita menjadi peribadi 
pemaaf. Kita akan dengan mudah memaafkan, sebesar apa pun kesalahan orang kepada diri kita.
wallahu'alam
 
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment