Tuesday, 18 February 2014

CINTA PADA SUATU WAJAH

Saya kongsikan kisah ini diceritakan dan dibenarkan untuk dikongsi bersama sahabat yang dikasihi semua.

Aku duduk bersama Muslimah-muslimah lainnya di masjid itu. Setelah solat Isyak, bertambah ramai Muslimah lainnya menghadirkan diri. Setelah bacaan ratib Al Hadad selesai dibacakan seperti selalu di majlis mingguan ini, Majlis Maulid pun bermula. 

Datang seorang Muslimah lain yang memakai niqab memberi salam sambil menghulurkan tangannya lalu duduk di sisi kiriku. Kusedari matanya tersenyum semasa bersalaman denganku sebentar tadi. Sepasang mata bundar yang kelihatan lembut dan tenang sekali walaupun ku kira dia lebih berusia dariku mungkin kurang lebih 5tahun.

Selepas beberapa saat kakak tadi menyentuh tanganku dan beri isyarat untuk berkongsi buku qasidahnya lalu dengan perlahan akupun merapatkan diri sambil melihat matanya yang tersenyum menyambut kehadiranku. Ya, maklumlah sebagai orang baru aku tak punya apa-apa yang dibawa hanya membawa jasad yang terasa berat dan asing di sini.

Dari sekilas pandang kulihat temanku ini hatiku berkata sendirian, "Tangannya lebih kecil dan kurus dariku dengan urat darahnya timbul... hmmm mungkin kerana harus berusaha merapikan rumahtangganya dan menjaga serta mendidik anak-anak dan barangkali rajin berpuasa juga dengan seizin suaminya". 

Ku alihkan pandangan mataku ke tanganku sendiri yang lebih berisi dan urat darahku tidaklah timbul sepertinya. Dalam diam hatiku berkata, "Ahh mungkin aku terlebih manja dan kurang berpuasa"

Setelah dibaca selawat dan qasidah hingga tiba ke qasidah seterusnya dan seterusnya kami alunkan dan hayati bersama. Dan akhirnya qasidah yang satu ini tidak terdapat dalam bukunya itu lalu teman di sebelahku ini berkata, 
"Mari kita ikut baca dari skrin sana katanya".

Skrin itu terletak beberapa meter dari tempat kami duduk namun tulisan yang terpapar agak besar juga.

"Saya tak tak nampak..." kataku perlahan tersipu sendiri. 

"Marilah sini" dia menarikku untuk duduk rapat kepadanya kerana di sangka pandangan ku terlindung.

"Tak, saya memang tak nampak dari jarak ni.." yang kulihat di skrin itu adalah huruf yang bercantum sesama sendirinya.

"Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar, betapa besarnya kasih sayang Allah kepadaku, membawa aku ke tempat ini dan melihat perbezaan kami. Ya Allah, bagaimanalah hamba-Mu ini menggunakan anugerah-Mu. Barangkali teman di sebelahku ini seorang suri rumahtangga sepenuh masa yang lebih terjaga matanya dari melihat dunia luar. Yang terlalu banyak debu-debu kotoran dunia luar." bisik hatiku.



Semoga kita semua dapat melihat kebaikan dari apa yang kita lihat, bermujahadah dalam memelihara dan memperbaiki diri kita menjadi muslimah yang solehah.

Aamiin Ya Allah.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment