Monday, 28 July 2014

SALAM AIDILFITRI



SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 
MAAF ZAHIR & BATIN

ASSALAMUALAIKUM

Setelah sebulan kita menunaikan puasa fardhu di bulan Ramadhan, tidak terasa masa berlalu begitu pantas. Terasa seperti tidak mahu bulan Ramadhan itu meninggalkan kita semua, bulan yang akan dirindui dan diharapkan moga ada kesempatan untuk menunaikan puasa fardhu pada tahun akan datang. Allah menjadikan 1 bulan yang indah untuk seluruh manusia merasainya dan merinduinya. Mog-moga diterima Allah puasa dan segala amalan serta dikurniakan Rahmat-Nya kemenangan dan menjadi di antara kekasih Allah yang bertakwa kepada kita semua.

Memperbanyakkan takbir memuji Allah Yang Maha Esa.




Sunday, 27 July 2014

KASIH 16


Wahai kasihku
wahai sayangku
tiadakah rindu?
walau hanya secebis penjuru
mengeringkah rindu?
tiada berbaki....
biarpun hanya sepercik
daku memanggilmu
perantara hati....
biarlah kesal hanya di hati
tak perlu dizahiri
takbir akan bergema
memanggil, memuja
memuji Ilahi
apa getar rasa di hati?

Norlidar
27/07/2014

Friday, 25 July 2014

KASIH 15



Kasihku
kutitipkan doa
berbunga rindu
kuhembuskan beriringan
angin nan mendayu
masihkah kamu di kamar beradu?
memintal mimpi
adakah bayanganku?
senyumanku dan kerlinganmu
seri mawar putih salju
tetap kurindu
saat mata bertatap
daku membisu
tersenyum kelu....

Norlidar
25/07/2014

Thursday, 24 July 2014

BERKAT MEMBACA BASMALLAH




Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya. Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah s.w.t. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."
Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah s.w.t. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah s.w.t., dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

[Tanbihul_ghafilin]

Tuesday, 22 July 2014

DIAMPUNI DOSA YANG LALU


Dari Abu Hurairah ra. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala kepada Allah maka diampunilah dosanya yang telah berlalu".

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

DIJAUHKAN DARI API NERAKA 70 TAHUN


Dari Abu Sa'id Al Khudry ra. Rasulullah SAW bersabda: " Siapa pun yang berpuasa satu hari semata-mata kerana Allah maka dirinya akan dijauhkan dari api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun kerana puasanya yang sehari itu".

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Monday, 21 July 2014

HIJRAH DAN TAUBATNYA SEORANG PENDOSA (RIWAYAT/HADIS)



Dari Abu Said, iaitu Sa'ad bin Sinan al-Khudri r.a. bahwasanya Rasulullah S.A.W bersabda : "Ada seorang lelaki dari golongan umat yang sebelummu telah membunuh 99 orang manusia, kemudian dia menanyakan tentang orang yang teralim dari penduduk bumi, lalu dia ditunjukkan pada seorang pendeta. Lalu dia mendatanginya dan selanjutnya berkata bahawa sesungguhnya dia telah membunuh sembilan puluh sembilan manusia, apakah masih diterima untuk bertaubat. Pendeta itu menjawab: "Tidak dapat." Kemudian pendeta itu dibunuhnya sekali dan dengan demikian dia telah menyempurnakan jumlah 100 orang dengan ditambah seorang lagi itu.

Lalu dia bertanya lagi tentang orang yang teralim dari penduduk bumi, kemudian ditunjukkan pada seorang yang alim, selanjutnya dia mengatakan bahawa sesungguhnya dia telah membunuh seratus manusia, apakah masih diterima taubatnya.

Orang alim itu menjawab: "Ya, masih dapat. Siapa yang dapat menghalang-halangi antara dirinya dengan taubat itu. Pergilah engkau ke tanah begini-begini, sebab di situ ada beberapa kelompok manusia yang sama menyembah Allah Ta'ala, maka menyembahlah engkau kepada Allah itu bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali ke tanahmu sendiri, sebab tanahmu adalah negeri yang buruk."

Orang itu terus pergi sehingga di waktu dia telah sampai separuh perjalanan, tiba-tiba dia didatangi oleh ajal kematiannya. Kemudian bertengkarlah malaikat itu untuk mempersoalkan diri orang tadi, malaikat kerahmatan dan malaikat seksaan - yakni yang bertugas memberikan kerahmatan dan bertugas memberikan seksa,

Malaikat kerahmatan berkata: "Orang ini telah datang untuk bertaubat sambil menghadapkan hatinya kepada Allah Ta'ala." Malaikat seksaan berkata : "Bahwasanya orang ini sama sekali belum pernah melakukan kebaikan sedikitpun."

Selanjutnya ada malaikat yang mendatangi mereka dalam bentuk seorang manusia, lalu dia dijadikan sebagai pemisah antara malaikat-malaikat yang berselisih tadi, yakni dijadikan hakim pemutusnya - untuk menetapkan mana yang benar. Ia berkata: "Ukurlah olehmu semua antara dua tempat di bumi itu, ke mana ia lebih dekat letaknya, maka orang ini adalah untuknya - maksudnya jikalau lebih dekat ke arah bumi yang dituju untuk melaksanakan taubatnya, maka ia adalah milik malaikat kerahmatan dan jikalau lebih dekat dengan bumi asalnya maka ia adalah milik malaikat siksaan."

Malaikat-malaikat itu mengukur, kemudian didapatinya bahawa orang tersebut adalah lebih dekat kepada bumi yang dikehendaki - yakni yang dituju untuk melaksanakan taubatnya. Oleh sebab itu maka ia dijemputlah oleh malaikat kerahmatan."

(Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)


[Petikan dari kitab Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi ra. yang sering disyarah setiap jumaat di majlis ilmu mingguan MTDM]


Maka janganlah kita dengan mudah menilai amalan seseorang kerana mungkin saja dia sempat bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah Yang Maha Mengasihani. Sebaiknya mendoakan kebaikan atas seseorang itu adalah lebih mulia daripada kita mengenangkan dosa-dosanya kerana kita sebagai makhluk Allah jua tak terlepas dari dosa setiap hari tanpa kita sedari.


Wallahu'alam.

Wednesday, 16 July 2014

PINTU SYURGA AR-RAYYAN


Dari Sahli Bin Sa'd ra. Nabi Muhammad SAW bersabda: " Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang bernama Ar-Rayyan di mana nanti pada hari kiamat orang-orang yang berpuasa akan masuk syurga melalui pintu itu dan tidak seorang pun selain mereka yang boleh masuk melalui pintu itu; dimana penjaga pintu itu megucapkan " Mana orang-orang yang berpuasa?" Kemudian mereka pun berdiri, tidak ada seorang pun selain mereka yang boleh masuk melalui pintu itu. Apabila mereka telah masuk syurga semua pintu itu ditutup; oleh kerananya tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu tersebut selain mereka itu"

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tuesday, 15 July 2014

DI HARI PERSANDINGANMU



Pada suatu masa yang ditetapkan...
Kita pasti dirisik..
Pertunangan sejak azali..
Di hujung hidup nanti..Berlangsungnya perkahwinanmu dengan maut..
Hantarannya..sakit dan nazak..
Tamu bertandang menghadiahkan esak tangis..
Pengantin dimandikan..
Dipakaikan baju cantik putih..
Wangian gaharu dan cendana..
Keranda jadi pelaminan..

Pengantin bersanding sendirian..
Di arak keliling kampung..
Berkompangkan azan dan kalimah kudus..
Akad nikahnya bacaan talkin..
Berwalikan liang lahat..
Saksi pula nisan-nisan..
Siraman air mawar..
Keluarga terdekat menepung tawar..

Tiba masa pengantin..
Menunggu sendirian..
Malam pertama bersama KEKASIH..
Di kamar bertilamkan tanah..
Dan Dia menuntut janji..
Sucikah kita tatkala berpadu..
Pernahkah taubat sepanjang hayat..
Atau terkubur bersama dosa-dosa...
Dan Dia Kekasih itu..

Menetapkanmu ke syurga..
Atau melemparkan dirimu ke neraka


~ PROF DR HAMKA ~

Tuesday, 8 July 2014

DIA



Dia
pernah rasa kecewa
pernah setia
pernah memanjakan
pernah dimanjakan
pernah dicinta dan mencintai
pernah melengkapi
pernah berbagi
pernah hatinya dilukai
dia juga
selalu bertahan
selalu punya harapan
selalu memberi
selalu membakar diri
tapi hakikatnya
cinta manusia tidak abadi
akhirnya dia sendiri
sekarang....
dia ingin bersama Dia
kekasih sejati

Norlidar
08/07/2014


Friday, 4 July 2014

MUNAJAT



"Jika kita mengetahui nikmat munajat kepada-NYA, maka kita tidak akan berhenti ulang bermunajat kepada-NYA terutama di bulan Ramadhan ini."


- [Al-Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid]

Wednesday, 2 July 2014

DOA CINTA



Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Rabb sekalian alam.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat Baginda SAW....


Ya 'Aziz...
jika rasa cinta adalah KETERTAWANAN
tawanlah aku ini dengan Cinta kepada-Mu
agar tidak ada lagi cinta yang lain yang dapat menawanku
selain Engkau

Ya Rahmaan Ya Rahiim...
jika Cinta adalah PENGORBANAN
tumbuhkanlah niat dari semua pekerjaanku
sebagai pengorbananku atas nama-Mu
semata-mata tulus untuk-Mu
dan bukan kerana yang selain-Mu
hingga akhirnya... aku ikhlas jua menerima apapun ketetapan-Mu

Ya Quddus... Ya Ghafuur....
jika rindu adalah rasa sakit yang tidak menemukan muaranya
penuhilah rasa sakitku dengan rindu kepada-Mu
agar tertebus segala khilafku....
terampun segala dosa-dosa lalu....
rayuku pada-Mu ya Rabb
jadikanlah kematianku sebagai muara pertemuanku dengan-Mu
maka jadikanlah pertemuan itu yang terindah
tak mungkin dapat kubayangkan
kerana seluruh alam raya akhirnya tunduk patuh kepada-Mu

Ya Latif...
jika sayang adalah sesuatu yang mempesona
ikatlah aku dengan pesona-Mu
agar damai senantiasa kurasakan
agar lembut hatiku untuk taat segala perintah dan larangan
agar lembut hatiku untuk patuh
agar selalu ada syukurku atas nikmat dari-Mu
agar terusan begitu, bersyukur selalu

Ya Allah...
jika kasih adalah kebahagiaan yang tiada bertepi
tumbuhkan kebahagiaan dalam hidupku
di saat kupersembahkan sesuatu atas nama-Mu
agar bertambah kasihku kepada mereka yang perlu

Ya Rahmaan...
dunia yang Engkau bentangkan begitu luas
bagai belantara yang tak dapat kutembus
di malam yang gelap gelita
agar tidak tersesat dalam menapakinya
berikanlah aku ini Nur cahaya-Mu

Ya Rahiim....
berikanlah alas kaki buat hamba-Mu ini
agar jalan yang kutapaki terasa nikmat
meski penuh dengan bebatuan runcing
penuh dengan duri yang tajam

Ya Allah...
hatiku hanya cukup untuk satu Cinta
jika aku tak dapat mengisinya dengan cinta kepada-Mu
kemanakah wajahku hendak kusembunyikan dari-Mu
kurayu kepada-Mu ya Rabb
suburkanlah keimanan dan kesabaran di jiwa hamba-Mu ini
kuatlah tawakalku
gandakanlah rasa syukurku atas apa saja takdir-Mu

Ya Rahim...
aku sedar semua ini milik-Mu
dan suatu saat, jika Engkau kehendaki semuanya
akan kembali jua kepada-Mu
aku serahkan kehidupanku kepada-Mu
tak mampu untukku bantah
tanpa-Mu akan hilang arah

Ya Malik...
didiklah hatiku
kuatkanlah imanku
tambahkanlah istiqamahku dalam ibadah
berikanlah aku redha-Mu dan syurga-Mu
lindungilah diri dan jiwaku dari murka-Mu
dan dari bahang api neraka-Mu

Aamiin... Ya Rabbal A'lamiin....