Dari Abu Said, iaitu Sa'ad bin Sinan al-Khudri r.a. bahwasanya Rasulullah S.A.W bersabda : "Ada seorang lelaki dari golongan umat yang sebelummu telah membunuh 99 orang manusia, kemudian dia menanyakan tentang orang yang teralim dari penduduk bumi, lalu dia ditunjukkan pada seorang pendeta. Lalu dia mendatanginya dan selanjutnya berkata bahawa sesungguhnya dia telah membunuh sembilan puluh sembilan manusia, apakah masih diterima untuk bertaubat. Pendeta itu menjawab: "Tidak dapat." Kemudian pendeta itu dibunuhnya sekali dan dengan demikian dia telah menyempurnakan jumlah 100 orang dengan ditambah seorang lagi itu.
Lalu dia bertanya lagi tentang orang yang teralim dari penduduk bumi, kemudian ditunjukkan pada seorang yang alim, selanjutnya dia mengatakan bahawa sesungguhnya dia telah membunuh seratus manusia, apakah masih diterima taubatnya.
Orang alim itu menjawab: "Ya, masih dapat. Siapa yang dapat menghalang-halangi antara dirinya dengan taubat itu. Pergilah engkau ke tanah begini-begini, sebab di situ ada beberapa kelompok manusia yang sama menyembah Allah Ta'ala, maka menyembahlah engkau kepada Allah itu bersama-sama dengan mereka dan janganlah engkau kembali ke tanahmu sendiri, sebab tanahmu adalah negeri yang buruk."
Orang itu terus pergi sehingga di waktu dia telah sampai separuh perjalanan, tiba-tiba dia didatangi oleh ajal kematiannya. Kemudian bertengkarlah malaikat itu untuk mempersoalkan diri orang tadi, malaikat kerahmatan dan malaikat seksaan - yakni yang bertugas memberikan kerahmatan dan bertugas memberikan seksa,
Malaikat kerahmatan berkata: "Orang ini telah datang untuk bertaubat sambil menghadapkan hatinya kepada Allah Ta'ala." Malaikat seksaan berkata : "Bahwasanya orang ini sama sekali belum pernah melakukan kebaikan sedikitpun."
Selanjutnya ada malaikat yang mendatangi mereka dalam bentuk seorang manusia, lalu dia dijadikan sebagai pemisah antara malaikat-malaikat yang berselisih tadi, yakni dijadikan hakim pemutusnya - untuk menetapkan mana yang benar. Ia berkata: "Ukurlah olehmu semua antara dua tempat di bumi itu, ke mana ia lebih dekat letaknya, maka orang ini adalah untuknya - maksudnya jikalau lebih dekat ke arah bumi yang dituju untuk melaksanakan taubatnya, maka ia adalah milik malaikat kerahmatan dan jikalau lebih dekat dengan bumi asalnya maka ia adalah milik malaikat siksaan."
Malaikat-malaikat itu mengukur, kemudian didapatinya bahawa orang tersebut adalah lebih dekat kepada bumi yang dikehendaki - yakni yang dituju untuk melaksanakan taubatnya. Oleh sebab itu maka ia dijemputlah oleh malaikat kerahmatan."
[Petikan dari kitab Riyadhus Solihin karangan Imam Nawawi ra. yang sering disyarah setiap jumaat di majlis ilmu mingguan MTDM]
Maka janganlah kita dengan mudah menilai amalan seseorang kerana mungkin saja dia sempat bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah Yang Maha Mengasihani. Sebaiknya mendoakan kebaikan atas seseorang itu adalah lebih mulia daripada kita mengenangkan dosa-dosanya kerana kita sebagai makhluk Allah jua tak terlepas dari dosa setiap hari tanpa kita sedari.
Wallahu'alam.
Maka janganlah kita dengan mudah menilai amalan seseorang kerana mungkin saja dia sempat bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah Yang Maha Mengasihani. Sebaiknya mendoakan kebaikan atas seseorang itu adalah lebih mulia daripada kita mengenangkan dosa-dosanya kerana kita sebagai makhluk Allah jua tak terlepas dari dosa setiap hari tanpa kita sedari.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment