Beberapa hari yang lalu seorang sahabat ada membuka kata mengenai keyakinan. Katanya percaya dan yakin bukanlah sesuatu yang sama. Benar.
Tapi mampukah kutanamkan keyakinan yang hebat di waktu ketandusanku... ketandusan ini bagai di Gurun Sahara...
Hmmm... lalu terimbas kembali kisah wanita hebat Siti Hajar isteri kepada Nabi Ibrahim a.s.
Jika kita hayati kisah Siti Hajar, saat beliau ditinggal oleh suaminya yang tercinta, Nabi Ibrahim a.s, di Mekah Almukaramah. Ketika itu, tiada seorang pun penghuni di Mekah, malah tiada sebarang makanan atau minuman di sana. Siti Hajar hanya ditemani bayinya yang masih menyusu iaitu Nabi Ismail a.s semasa bayinya.
Kisah ini menghidangkan satu gambaran peristiwa yang sangat mengkagumkan di kalangan wanita muslimah, tentang dalamnya iman dan ketakwaan, ketawakalan serta keredhaan hati Siti Hajar yang sangat mendalam dan utuh kepada Allah.
Untuk meyakinkan dirinya dengan mantap dan ketegaran serta penuh keyakinan, Siti Hajar bertanya kepada Nabi Ibrahim a.s, "Allahkah yang memerintahkan kekanda berbuat seperti ini kepadaku wahai Ibrahim?" Ibrahim a.s menjawab, "Ya benar"
Kalau begitu, DIA pasti tidak akan mensia-siakan kami" jawab Siti Hajar dengan penuh keredhaan dan disertai keyakinan akan datangnya khabar gembira dan perlindunganNya.
Dan cuba pula bayangkan bagaimana perasaan Nabi Ibrahim a.s. yang harus meninggalkan isteri tercinta bersama Ismail yang masih menyusu, seorang anak yang sangat diharapkan kehadirannya selama puluhan tahun dan kini, kerana mematuhi perintah dari Tuhannya, terpaksa ditinggalkannya ditengah-tengah padang pasir yang gersang tanpa ada tumbuhan, tiada sumber air bahkan tiada seorang manusia pun di sekitarnya.
Namun dengan hati yang sangat berat, perintah Rabbnya bagaimanapun harus dilaksanakan. Begitulah dengan kepatuhan dan hati yang bertawakal, kemudian Nabi Ibrahim kembali ke negeri Syam yang amat jauh jaraknya dari Mekah. Beliau hanya meninggalkan satu kantung berisi buah kurma dan sedikit air minum sebagai bekal bagi isteri dan putera tercintanya itu.
Andai kata tidak ada iman yang mendalam yang memenuhi seluruh ruang hati Siti Hajar dan tidak ada tawakal yang sedemikian utuh kepada Allah yang menghiasi kalbu Siti Hajar tidak akan rela berkeadaan begitu. Di sinilah letaknya nilai iman yang maha tinggi itu. Muslimah sejati harus menjadikannya sebagai teladan mutlak untuk pakaian harian mereka.
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment