Wednesday, 12 September 2012

PERUTUSAN BUAT ISTERI


Assalamualaikum....
Kepangkuan isteri yang dikasihi,
Sempena Hari Lebaran yang mulia ini, abang mengambil peluang untuk memohon maaf atas segala kesilapan, kekurangan, kekhilafan, ketidakadilan, ketidakpuasan hati, kelemahan dalam membimbing dan membentuk dirimu dan keluarga.... jua segala yang menyebabkan keterbukuan di hatimu. Semoga redhamu sebagai isteri, memudahkan keredhaan Allah bagi diri yang dhoif dan serba kekurangan ini.

Di hari yang mulia ini jua, abang berharap, dirimu tetap teguh, sabar dan sentiasa bertakwa dalam menjalani hidup yang sementara ini. Ingatlah... hidup kita ini sekadar jambatan menuju akhirat... hanya kehidupan yang sementara, dan akhirat jualah yang kekal abadi. Segala perbuatan kita walau sebesar zarah tetap akan dihisab diakhirat kelak. Semoga kesempatan umur yang masih bersisa ini, kita gunakan dengan sebaiknya dalam mencari ampunan Allah dan keredhaan Ilahi jua, agar terselamat kita dari azab akhirat serta dimasukkan dalam golongan orang-orang yang beriman.

Dalam serba kelemahan dan kedhaifan, abang cuba membawa keluarga kita menghampiri kehidupan baginda nabi semampu mungkin, dalam membawa agama sebagai cara hidup, walau tiada upaya dalam ertikata sebenar, namun andai dapat sipi-sipi atau mirip-mirip dengan cara baginda nabi, mengikut lunas Quran dan Hadis, kita cubalah sedaya mungkin dalam mengharapkan limpah rahmat Allah. Sememangnya cabaran hidup dalam membawa lunas agama teramat berat, ketika umat hari ini hidup tanpa memberatkan agama. Biarlah kita terus mujahadah dalam beragama seadanya.

Semoga dirimu jua sentiasa meningkatkan pengetahuan agama terutama dengan merujuk tafsiran Quran dan hadis, sebagai penyuluh hidup kita, dalam menelusuri perjalanan hidup di dunia yang fana ini.

Besarlah jua harapan abang, agar dirimu dapat menyemai jua didikan dan akhlak serta adab agama serba sedikit dalam jiwa anak-anak, agar mereka bisa dibentuk menjadi insan yang soleh/solehah di hari muka. Sesungguhnya, kita berusaha dengan izin dan gerak dari Allah jua...dan Allah jua yang menentukan segalanya.

Semoga dirimu sentiasa menanamkan sikap syukur dalam jiwa, atas apa yang ditakdirkan Allah dalam perjalanan hidup kita. Ingatlah pesanan Allah dalam al-quran, barangsiapa yang bersyukur, akan Aku tambahkan nikmatnya, dan barangsiapa yang kufur, maka azabku amat pedih. Ingatlah isteriku, nikmat Allah yang paling besar adalah nikmat iman...nikmat kefahaman agama... Dan tanamlah keredhaan dalam setiap ketentuan qada qadar Allah...agar redha Allah mengiringi keredhaan kita ke atas segala takdirNya.

Semoga taufik hidayah Allah sentiasa mengiringi kehidupan kita...dan sentiasalah harap kepada Allah akan rahmatNya...dan takutlah kepada Allah dari murkaNya...
Semoga kita akan dipertemukan semula di akhirat kelak di tempat yang sejahtera dalam lindungan dan rahmat Allah setelah kita terpisah sementara di dunia yang fana ini apabila kita dipanggil pulang mengadap Ilahi setelah sampai ketika tamatnya kita berada di dunia ini.

Akhir kata, sekali lagi abang pohon kemaafan atas segala salah silap abang dari apa segi sekalipun, semoga dirimu sentiasa memaafkan abang dan redha terhadap abang, agar keampunan Allah dan keredhaan Ilahi jua mengiringi abang dalam perjalanan menuju akhirat yang kekal abadi.

Kemaafan, keampunan dan keredhaan abang jua sentiasa mengiringimu dalam perjalanan menuju akhirat. Agar dirimu sentiasa dalam ampun dan redha Ilahi...dan dipermudahkan dalam kehidupan akhirat bersama golongan orang-orang yang beriman. Semoga kita tetap bersama di akhirat kelak dalam kehidupan yang sejahtera dalam rahmat Allah.

Penuhilah hari mendatang dengan ketakwaan kepada Allah, dengan memupuk keampuhan iman, walau tiada sirna diluar, namun mampat di jiwa. Hiasilah sisa-sisa usia yang masih ada, yang entah esok lusa bernoktah nafasnya, dengan membetulkan iman, menambahkan amal, membentuk takwa, mengikis mazmumah dan memupuk mahmudah dalam jiwa kita.

Ingatlah, dalam bergembira menyambut hari raya...jangan lupa kepada Allah....kerana hidup kita, adalah untuk beribadat kepadaNya...dan hidup kita...adalah denganNya jua, yang menggerakkan kita...yg mentakdirkan segalanya buat kita.

Allahu Akbar..Allahu Akbar ...Allahu Akbar.... Allahu Akbar... walillahilham.


Perutusan hari raya dari seorang sahabat buat isterinya, yang sudi dikongsikan buat tatapan dan renungan bersama dengan sahabat yang sudi...
*****************************************************
Alhamdulillah saya kongsikan di sini dengan keizinan hamba Allah tersebut.


Norlidar 11.09.2012


No comments:

Post a Comment