Saturday, 28 September 2013

TAUSIAH HABIB MUSA KADZIM AS SAQQAF 28 JUNE 2013



Pesan Habib Kadzim as-Saggaf di Masjid Muadz Bin Jabal (28 June 2013) ; jangan kita lupakan sentiasa 3 perkara ini:

1) Setelah setiap kali solat baca "astagfirullah lil mukminin wal mukminat", 27 kali. Barangsiapa yang beramal dengannya akan menjadi orang yang doanya makbul dan disebabkan mereka, akan turun hujan di muka bumi ini. Dan bila kita baca sekali sahaja "astagfirullah lil mukminina wal mukminat" memakan masa 1 atau 2 saat sahaja, tapi Allah akan beri kepada kita berbilion2 pahala mengikut bilangan jumlah orang Islam.

2) Setelah solat fardhu Subuh & Maghrib selawat ke atas Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wassalam 100 kali. Allah akan kabulkan semua hajat kita dunia dan akhirat, dengan syarat kita istiqomah setiap hari.

3) Sebelum tidur, 20 kali berselawat ke atas Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wassalam, bila bangun dari tidur baca doa bangun tidur (alhamdulillahil-lazii ahyaanaa ba'da maa amaatanaa wa ilaihin-nusyur) dan bersiwak, bila nak solat kita bersiwak. kalau kita tiada kayu siwak itu (kayu dari pokok arak), kita boleh bersiwak dengan hujung kain (kain rida'/selendang) kerana menurut maksud hadis Nabi sollallahu 'alaihi wassalam; "Bersiwaklah dengan setiap perkara yang kesat" (diriwayatkan oleh iman al-Baihaqi dalam kitab sunannya). Berkata para ulama fuqaha' Syafie, "akan dapat pahala siwak itu dengan setiap benda yang kesat". tetapi yang afdhal dengan kayu siwak dari pohon arak itu. dan yang terafdhalnya dari kayu pohon arak itu, dari akarnya bukan dari dahannya. kalau kita ambil kayu siwak ini, kita bersiwak, setiap solat dikaliganda 70 kali. setiap rakaat dikaliganda 70.



Semoga Allah beri kita semua taufiq insyaAllah.

Wednesday, 25 September 2013

Tuesday, 24 September 2013

AL FATIHAH


Al-fatihah...
Buat anakanda Muhammad Faiz

Ingatan,
doa untukmu
tetap ada...
di setiap bisikan doa-doa
di setiap titisan airmata rindu
setiap pagi, siang dan malam merindumu
pasti ada doa yang diselitkan selalu

masih segar dalam kenangan
segala yang kita lalui bersama
masih bonda ingat lagi
saat duduk santai
saat rekreasi bersama
saat rambut bonda disisirkan
saat gurau, senda dan tawa sekeluarga
saat segalanya bagai masih baru berlalu

andai dapatku undurkan waktu...
andai bonda diberitahu
pasti kupinta gantikan tempatmu...
atau kupohonkan Allah beri padamu lebih waktu
tapi rezekinya kita di dunia ini anakku
hanya Dia Yang Lebih Maha Mengetahui.
segala adalah rahsiaNya

bonda akan menyusulmu
dan kita pasti bertemu
sedang bonda usahakan
semoga kita dikumpulkan semula

buat masa ini...
bonda akur janji Ilahi
redha pada yang hakiki
redha dengan perpisahan sementara ini

semoga Allah membalas segala kebaikanmu dengan limpahan rahmat, cinta dan kasih sayangNya

Amin


17 November 1992 - 23 September 2012


Monday, 23 September 2013

TIADA KEKUATAN DAN DAYA




La hawla wala quwata illa billah hil aliyil ad'zim

'Tiada Kekuatan dan Daya Melainkan dari Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia'


Berzikirlah Selalu. Walaupun hanya sebaris ayat, tetapi jika dihayati sedalam-dalamnya, ia akan memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupan. Sesungguhnya manusia ini semuanya lemah. Tidak berkuasa. Dan yang berkuasa pun, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan kekuasaan Allah SWT.




Friday, 20 September 2013

LANGKAHKANLAH KAKIMU ANAKANDA



Duhai anakanda tercinta
langkahkanlah kakimu
mulakanlah sekarang permata bonda
telah bonda bisikkan taawuz
dengarkanlah ia dari kuping telingamu
dari situ anakandaku
bawalah ia ke seluruh relung qalbumu
usahlah kamu bimbang sayang
kamu belahan hati bonda
pastiku sambut dengan kasih mesra
biarpun memerah pipimu
seusai kaukalah
dalam langkah pertama...








Thursday, 19 September 2013

DI MANA RASA CINTA KITA?


.


Sabda Rasulullah SAW.

"Wahai manusia, laksanakanlah amalan-amalan menurut kemampuan kamu. Sesungguhnya
Allah tidak akan bosan sebelum kamu merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling
disukai Allah ialah amalan yang ringan namun berterusan."

(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis Rasulullah SAW di atas menyebut bahawa amalan yang paling dicintai oleh Allah

SWT adalah yang kekal walaupun sedikit. Para ulamak juga selalu mengingatkan kita peri

pentingnya istiqamah dalam setiap amal perbuatan kita. Istiqamah juga terbukti

merupakan kunci kepada kejayaan sesorang di dalam amalannya dan peningkatannya dari

satu darjat ke satu darjat di sisi Allah SWT.

Seorang yang ibadahnya sekejap berkurang sekejap bertambah, mana mungkin sama

dengan seseorang yang ibadahnya berterusan. Malahan seorang yang istiqamah pasti

diberikan kelazatan amalan tersebut oleh Allah SWT, maka akan terus menambahkannya
lagi.

InsyaAllah...




Friday, 13 September 2013

MAJLIS MAWLID BULANAN DARUL MURTADZA - 02.11.2012

Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid
Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa, KL - 02.11.2012

Bismillahirrahmanirrahim,
Kita berdoa semoga majlis ini menjadi sebab turunnya rahmat dari Allah, dipandang dengan pandangan pilihan untuk menjadi golongan istimewa di sisi Allah, semoga semua berada dalam linkungan golongan yang mencintai Rasulullah SAW dan semoga Allah memberkati dan memberi hidayah kepada kita semua. Amin, Allahumma Amin.



Sambungan perbahasan bulan lalu iaitu huraian akhlak dan adab Nabi SAW. Kitab “Akhlak Nabi dan adabnya”, tulisan Al-Imam Al-Asfahani.

“Walaupun seorang itu mengucapkan pujian sebanyak mana pun kepada Rasulullah SAW, masih akan ada sifat mulia Baginda yang tidak mampu dihuraikan oleh manusia”.

Akhlak baginda SAW, jika ingin dihuraikan semuanya tetap akan tidak akan berjaya kerana akan masih ada sifat-sifat mulia baginda yang tak akan dapat disampaikan oleh manusia.

Bulan lepas telah dibincangkan berkaitan solat malam Nabi SAW. Untuk sambungan minggu ini, fokus perbincangan ialah - “Sifat bacaan Nabi SAW dalam solat malam”. 

Sahabat begitu ingin mengikuti teladan dan cara Nabi SAW bukan sahaja sekadar di luar rumah, namun apa yang dilakukan di dalam rumahnya juga ingin ditiru. Sifatnya diluar dapat diperhatikan sendiri oleh para sahabat, tetapi untuk sifat Nabi SAW dirumah, para sahabat bertanyakan kepada isteri-isteri atau anak-anaknya. Ini menunjukkan betapa para sahabat sangat kehausan untuk menurut setiap jejak langkahnya.

Salah seorang yang ditanya ialah Ummu Salamah. Ummu Salamah dinikahi setelah dia bersabar atas kematian suaminya Abu Salamah. Ketika Abu Salamah meninggal, Ummu Salamah berkata, “Aku akan tunjukkan kepada orang Arab bagaimana aku ini sedih, yakni dengan berguling-guling”. Orang Arab dahulu menjadi bangga apabila menunjukkan rasa sedih yang melampau sehingga berguling-guling.

Cerita itu disampaikan oleh seorang sahabat kepada Nabi SAW lalu baginda melarang dan berpesan agar Ummu Salamah berdoa:

Allahuma ajirni fee museebati wakhlifni khairan minhaa

Maksudnya -"Ya Allah, berikan kepadaku ganjaran ke atas musibah yang menimpa kepada aku dan gantikan kepadaku ganti yang lebih baik daripada apa yang berlaku kepadaku".

Ummu Salamah mematuhi nasihat Nabi SAW dan melafazkan doa tersebut. Selepas iddahnya tamat, Nabi SAW sendiri yang masuk meminangnya. Siapakah lagi manusia yang lebih baik daripada Nabi SAW? Tentulah tiada! Doa Ummu Salamah dikabulkan disebabkan kesabaran, keredhaan dan kepatuhannya kepada suruhan Nabi SAW. Tiada orang yang hampa jika mengikuti nasihat Nabi SAW. Yang hampa adalah mereka yang tidak mengikut nasihat Nabi SAW.

Sifat bacaan seperti yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah:

Sabahat bertanya, “Apa yang kamu tahu bagaimana Baginda membaca di dalam solatnya?”
Kata Ummu Salamah, “Apa yang kamu nak tahu tentang cara beliau membaca dalam solatnya yang kalau aku ceritakan, kamu takkan mampu membuatnya”,

Sambung Ummu Salamah lagi, “Baginda solat dan kemudian tidur selama mana Baginda solat. Kemudian bangkit untuk lagi solat selama mana Baginda tidur. Begitulah dilakukan baginda berterusan sampai pagi”.

Huraian: Maksud jawapan Ummu Salamah ialah - jika Nabi tidur setengah jam, Baginda akan bangun solat setengah jam juga, kemudian tidur setengah jam lagi dan solat setengah jam lagi dan terus mengulangnya sehinggalah waktu pagi.

Orang kebanyakan biasanya bangun tahajjud sejam sebelum subuh, jadi waktu ialah selama 6 jam dan waktu solat ialah 1 jam. Rasulullah SAW pula mengimbangi waktu antara tidur dan waktu untuk solat.

Kenapa Nabi berbuat begitu? Bagi setengah orang tidur itu satu keperluan, dan bagi setengah orang lain tidur itu satu nikmat. Jika memandang tidur itu sebagai satu nikmat, maka ianya wajib disyukuri.

Firman Allah dalam surah Al-Rum, ayat 23:

Oleh itu jangan kita anggap tidur itu cuma sebagai satu keperluan saja. Manusia tidur, bahkan tumbuhan dan haiwan pun tidur juga. Jika kita memandang tidur hanya sebagai keperluan, maka kita sama saja seperti makhluk Allah yang lain. Jangan kita jadi seperti orang kebanyakan dan menganggap tidur itu sebagai keperluan sahaja. Bukankah tidur itu satu tanda kebesaran Allah? Bayangkan setelah penat belajar, kita akan mula berasa penat dan tidak mampu fokus lagi. Apa yang dibaca pun tidak dapat masuk ke otak lagi. Oleh itu sebab itu tidur dijadikan agar seluruh tubuh dan organ dapat direhatkan sebentar. Siapa yang menjaga tubuh badan dan organ dalaman ketika kita tidur? Allahlah yang menjaganya dan memeliharanya.

Oleh sebab itulah, Nabi SAW bangun solat sebagai tanda syukur setelah dapat mendapat nikmat tidur. Bagaimana pula dengan kita? Berapa banyakkah kita sudah bersyukur kepada Allah? Berapa kalikah kita ingat nikmat Allah dan bersyukur? Majoriti kita gagal melihat berapa banyak nikmat yang telah Allah berikan. Namun, dalam keadaaan kita yang lalai ini, Allah tetap memberikan kita nikmatNya tanpa henti-henti.

Sambung Ummu Salamah mengenai sifat bacaan Nabi SAW dalam solat:
“Bacaannya huruf demi huruf, tidak laju dan tepat sebutan”. Ada satu hadis menyebut bahawa seorang sahabat pernah mendengar bacaan solat Nabi dan dia boleh menghafalnya hanya dengan mendengar bacaan Nabi itu kerana kejelasan dan ketepatan sebutannya hurufnya.

Huraian Hadis 548:
Anas bin Malik ditanya bagaimana bacaan Nabi SAW?
Jawabnya, “Cara baca nabi adalah dibaca jelas hurufnya, tapi suaranya perlahan.Nada suara Nabi SAW ketika solat malam boleh didengar di dalam bilik (ruang kecil) dan di dalam rumah (ruang besar)”.

Perlahan di sini bermaksud didengari telinganya sendiri, tetapi bukan di dalam hati.Ini menunjukkan ketika solat malam ada kalanya suara Nabi SAW kuat, dan ada kalanya perlahan.

Apa hikmahnya?

Ada diriwayatkan bahawa Nabi SAW keluar malam untuk melihat sahabat manakah yang bangun tahajjud. Apabila melalui rumah Abu Bakar As-Siddiq, didapati bacaan Abu Bakar perlahan sahaja. Apabila melalui rumah Umar Al-Khattab pula didapati bacaan Umar sangat kuat sehingga didengari di luar rumah.

Keesokannya, Nabi SAW bertanya kepada Abu Bakar: “Wahai Abu Bakar, aku lalu di rumah kamu dan aku dengar bacaanmu perlahan-lahan”. Jawab Abu Bakar, “Ya Rasulullah, saya ini menyeru kepada Zat Yang Maha Mendengar - jadi tak perlulah kuatkan suara”.

Nabi SAW berkata pula kepada Umar, “Wahai Umar, aku lalu di rumah kamu dan aku dengar bacaanmu sangat lantang”.
Jawabnya, “Aku ingin mengejutkan mereka yang tidur* dan menghalau syaitan”.

*Tidur yang dimaksudkan di sini ialah tidur yang tidak nyenyak kerana ada diriwayatkan hadis bahawa orang yang tidur tidak tidak boleh diganggu hatta dengan bacaan Al-Quran sekalipun. Tetapi maksud Umar adalah untuk mengejutkan ahli keluarga yang ingin bangun malam (tidak tidur nyenyak). Bacaan yang lantang pula dapat memberi fokus kepada telinga dan hati daripada mendengar bisikan syaitan.

Inilah perbezaan maqam antara Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar. Maqam Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar lebih tinggi berbanding maqam Sayyidina Umar.

Nabi SAW kemudian memerintahkan supaya Abu Bakar menguatkan suaranya, dan Umar merendahkan suaranya sedikit.

Mengeraskan suara ada faedahnya iaitu:


  • Membantu hati lebih kusyuk (menghalau syaitan)
  • Mengejutkan orang lain daripada tidur (yang tidak nyenyak tidurnya)
  • Memberi orang lain mendengar bacaan Al-Quran

Hadis 550 & 551:
Daripada Abu Hurairah, “Terkadang bacaan Rasul SAW di waktu malam diangkat suaranya (kuat) dan terkadang diperlahankan”.

Huraian Hadis 552:
Daripada Ummu Hani (sepupu kepada Rasulullah SAW) - “Saya mendengar bacaan Rasul SAW di waktu malam sedangkan saya berada di arish”.
Arish ialah kenderaan kecil yang diletak di atas unta untuk seorang wanita. ini menunjukkan yang jaraknya jauh tetapi masih dapat mendengar bacaan Nabi SAW yang kuat.

Baginda ada bersabda yang bermaksud: “Hiasilah bacaan al-Quran dengan kelunakan suaramu”.
Melagukan Al-Quran bermaksud membaca dengan tartil (tepat makhraj huruf) dan tajwid yang betul, bukan sekadar alunannya saja.

Huraian Hadis 553:
Siti Aisyah juga ditanya adakah bacaan Nabi SAW dikuatkan atau diperlahankan. Jawabnya, “Terkadang Baginda menguatkan, terkadang Baginda memperlahankan bacaannya”.

Huraian Hadis 554:
Kalau orang dengar bacaan Nabi, maka mereka akan boleh menghafalnya ie Ini kerana bacaan Nabi perlahan, tidak laju.

Mafhumnya: “Ditanya kepada Anas: bagaimanakah bacaan Nabi SAW, beliau menjawab: Bacaan baginda adalah dengan memberikan hak panjang kepada huruf, kemudian baginda membaca bismillahirrahmanirrahim, baginda memberi hak panjang pada bismillah, baginda memberi hak panjang pada al-Rahman dan baginda memberi hak panjang kepada al-Rahim.” (HR al-Bukhari 5046)

Hadis ini menceritakan Nabi SAW memberi hak-hak bacaan huruf yang betul dengan memanjangkan bacaan apabila perlu.

Sahabat datang kepada Siti Aishah dan memberitahu, “Wahai Ummu Mukmin, aku dapati ada orang yang sembahyang malam dan mengkhatam sekali, 2 kali atau 3 kali Al-Quran pada malam hari”. Kata Aisyah – “Mereka itu baca dan tak baca”.

Maksudnya mereka membaca terlalu laju untuk mengejar khatam Al-Quran. Ini merujuk kepada kebanyakan orang tanpa menafikan bahawa ada orang yang mampu melakukannya, contohnya seperti Sayyidina Uthman bin Affan.

Sambung Aisyah lagi, “Cara Nabi SAW membaca Al-Quran di waktu malam adalah dengan sempurna dan perlahan-lahan. Baginda membaca surah Al-Baqarah, Ali-Imran dan An-Nisa'. Tidak lalu pada sepotong ayat yang ada khabar gembira, melainkan Baginda memohon kepada Allah untuk mendapatkannya.”

Maksudnya - jika Nabi SAW membaca sepotong ayat berkaitan syurga, maka Baginda akan berkata, “Ya Allah masukkanlah daku ke dalam syurga”. Apabila baginda membaca ayat berkaitan neraka, baginda akan memohon berlindung kepada Allah terhadap azab Allah. Apabila membaca ayat tentang sifat-sifat orang yang dipuji Allah, Baginda memohon agar sifat itu dikurniakan kepadanya. Apabila diceritakan sifat-sifat buruk yang ada pada orang kafir atau orang yang dibenci oleh Allah, Baginda mendoakan agar sifat itu tiada pada dirinya. Begitulah seterusnya yang dilakukan Nabi SAW untuk berinteraksi dengan Al-Quran. Inilah cara Nabi SAW membaca Al-Quran

Hadis daripada Anas bin Malik:
Anas nampak wajah Nabi SAW pucat. Lalu ditanyanya, “Ya Rasulullah, aku nampak kamu ini sakit”. Lalu Baginda menjawab, “Adapun kamu sudah nampak akan tandanya sakit pada wajah aku ini, maka aku beritahu sebab aku sakit ini. Semalam aku membaca 7 surah At-Tiwal (7 surah yang panjang)”.

Sebenarnya Nabi tidak suka bercerita tentang ibadahnya kecuali jika untuk dijadikan teladan. Oleh itu, kita juga tidak sepatutnya bercerita tentang amalam malam yang kita lakukan. Biar Allah sahaja yang tahu dan menilainya kerana dikhuatiri akan terkena penyakit riyak.

Surah dalam Al-Quran diberikan beberapa nama berdasarkan panjang-pendeknya ayat dalam surah itu. Contohnya:


  1. At-Tiwaal: surah yang panjang, ada 7 kesemuanya iaitu Al-Baqarah, Ali-Imran, An-Nisa', Al-Maedah, Al-An'am, dan At-Taubah.
  2. Al-Iinin: surah yang ayat lebih sedikit daripada 100.
  3. Al-Mathani: surah yang ayatnya kurang daripada 100.
  4. Al-Fassal: surah yang pendek-pendek.

Nabi SAW sakit kerana membaca 7 surah yang panjang di dalam satu malam. Kesannya nampak ketika pagi hari tetapi tidak dirasai Baginda ketika baginda solat. Bahkan Baginda merasa bahagia dan seronok sangat ketika solat. Bagi berasa indah ketika di dalam solat.

Ada kisah yang pernah berlaku pada tahun ke-4 Hijrah, Nabi meminta 2 orang sahabat menjaga keselamatan pada malam. Mereka yang menawarkan diri ialah Abbas bin Bishir dan Ammar bin Yassir. Mereka berdua berbincang dan bersetuju bahawa Abbas menjaga pada awal malam dan Ammar akan menjaga pada tengah malam. Oleh itu, Ammar berehat dahulu sementara Abbas berjaga. Namun, Abbas tidak duduk berjaga semata-mata. Sebalinya, dia melakukan qiamullail.

Ketika Abbas sedang solat, dia dipanah. Dia mencabutnya dan menyambung solat. Setelah itu dia dipanah lagi sekali. Dia mencabutnya lagi dan menyambung solat. Kemudian dia dipanah lagi dan setelah 3 anak panah itu, barulah dia mempercepatkan solat. Ketika Abbas mempercepatkan solatnya, Ammar terjaga dan pemanah itu ternampak lalu melarikan diri.

Setelah Abbas selesai solat, Ammar pun berkata, “Kenapa setelah terkena satu anak patah, engkau tidak membatalkan solat dan memberitahu aku? Engkau boleh membahayakan diri kamu!”

Jawab Abbas, “Aku sedang membaca surah Al-Kahfi dan aku enggan untuk memutuskannya. Kalau bukan kerana tugasan yang diamanahkan Rasulullah untuk berjaga malam, aku akan teruskan walaupun jika aku terbunuh dengan panahnya. Tapi aku khuatir melanggar tugasan yang diberikan Rasulullah lalu aku percepatkan solatku untuk mengejutkan engkau agar musuh tidak dapat menyelinap masuk untuk membunuh Nabi SAW”.

Sakitnya panah tidak terasa dek kerana nikmat keindahan membaca surah Al-Kahfi. Jika sahabat sudah begitu, bagaimana pula dengan Nabi SAW? Tentulah lebih hebat lagi.

Dalam surah Yusuf ada diceritakan bahawa sekumpulan wanita yang diberi epal dan pisau terlupa kesakitan terhiris jari mereka kerana terleka melihat keindahan dan ketampanan Nabi Yusuf. Melihat ketampanan Nabi Yusuf yang lahir daripada nafsu syahwat boleh melupakan sakit pada jari yang dihiris pisau. Jadi, tidak bolehkah keindahan bacaan Al-Quran itu mengalahkan sakit terkena anak panah? Sudah tentunya perasaan itu jauh lebih indah dan manis lagi kerana ianya bersumberkan wahyu yang suci lagi tinggi kedudukannya.

Sambungan bulan hadapan akan membincangkan kenapa Nabi SAW solat sehingga bengkak kakinya, sedangkan Nabi SAW menyuruh umatnya beribadah sekadar kemampuan seseorang. InsyaAllah akan dibincangkan hikmahnya bulan depan.

Info tambahan:
Majlis Maulid (Maulidul Rasul) Bulanan Darul Murtadza diadakan pada hari Jumaat minggu pertama Setiap Bulan. Bacaan Bait-bait Syair Maulid Adh Dhiya ul Laami' yang menceritakan riwayat hidup Rasulullah S.A.W. karangan Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Ben Hafidz. dan diselangi Qasidah-qasidah (atau Nasyid) yang memuji-muji Rasulullah S.A.W.



Bacaan ini dipimpin oleh Habib Ali Zaenal Abidin BinAbu Bakar Al Hamid. Beliau juga akan membahaskan kitab Akhlakun Nabi yang menceritakan tentang riwayat serta sifat-sifat Rasulullah S.A.W. yang kita cintai dengan ilmunya yang luas. 



Majlis Ta'lim Darul Murtadza diadakan setiap hari Jumaat, bermula dari pukul 9.15pm di Masjid Muadz Bin Jabal, Persiaran Setiawangsa, Taman Setiawangsa, 54200 Kuala Lumpur.

\
GPS: 3.178385, 101.737883

* Jika berlaku sebarang kekurangan atau kesilapan terutamanya tentang ejaan perkataan Arab, saya mohon maaf dan semoga sudi memberi teguran. Saya sekadar mencatit sekadar yang yang termampu, mohon tonton video juga untuk mendapatkan keberkatan ilmu Habib Ali yang luas.


Wednesday, 11 September 2013

PESANAN UNTUK ISTERI


Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkahwinan adalah jalinan ikatan yang sah di antara lelaki dan perempuan untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini, terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan ditunaikan oleh pasangan suami isteri. Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dan juga keperluan tarbiah dan ilmu fardu ain.

Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang wajib dilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman bahawa untuk memasuki syurga-Nya yang penuh kenikmatan adalah melalui empat syarat sahaja.

Untuk menghuraikan syarat ke 4 iaitu mentaati suami, terdapat 13 perkara yang perlu dipatuhi dan dihayati oleh isteri solehah supaya menjadi pelengkap kepada kebahagiaan rumah tangga dan menjadi salah satu syarat untuk mendapat syurga Allah SWT dihari akhirat nanti.



Perkara-perkata tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Hendaklah isteri ingat bahawa dirinya (perempuan) itu dijadikan oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana untuk lelaki. Lelaki dijadikan menguasai perempuan dan menjadi pemimpin baginya. Oleh itu tidak patut bagi seorang perempuan berfikiran atau bercita-cita hendak menguasai dan menundukkan suami dalam segala hal.

Firman Allah SWT maksudnya : "Lelaki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri) , kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebagian yang lain (perempuan) dan kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah dari hartanya."
(Surah an-Nisa' ayat 34)

Kedua : Hendaklah ia bekerja dan berusaha dengan seberapa daya untuk menambat dan menggembirakan hati suami supaya suami cinta dan sayang kepadanya dengan berkekalan. Setengah ikhtiar itu ialah: Manis muka, halus perkataan, bersolek setiap hari dan waktu dan bersikap manja di hadapannya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Ketiga : Isteri hendaklah memerhatikan tabiat suami tiap-tiap hari tentang kesukaan dan kebenciannya. Apa-apa kesukaannya disempurnakan oleh isteri dan apa-apa kebenciannya ditinggalkan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya :
“Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, bila engkau perintah dia taat, bila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya.”

Keempat : Jangan banyakkan permintaan atau memberati suami dalam perkara yang tidak dapat menyempurnakannya apatah lagi jika ia tidak mampu kerana perbuatan demikian merunsingkan suami.

Abdur Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya : “Seorang yang membuat susah kepada suaminya dalam hal belanja atau membebani sesuatu yang suaminya tidak mampu maka Allah tidak akan menerima amalannya yang wajib dan sunatnya.”

Kelima : Jangan sekali-kali meninggalkan rumah tanpa izin suami atau melanggar perkara yang tiada gemar dan jangan pula suka membantah jika disuruh. Apabila disuruh eloklah dilaksanakan.

Firman Allah SWT : “Maka perempuan-perempuan yang solehah, adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga mereka." (Surah an-Nisa' ayat 34)

Keenam : Isteri hendaklah sentiasa ada di rumah ketika suami pulang dari kerja, melainkan kerana terpaksa atau ada hajat besar dan bila-bila suami balik hendaklah disambut dengan baik dan bersolek pula. Melainkan jika isteri juga bekerja, seelok-eloknya isteri balik lebih awal daripada suami.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ketujuh : Janganlah pergi mendapatkan bomoh, pawang, tukang sihir atau tukang tilik untuk memperlihatkan hal suami atau menambat hatinya. Ini semua berdosa serta membuang wang dan membazir.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Kelapan : Jangan suka menceritakan kecantikkan perempuan lain atau memuji-muji anak isteri orang lain di hadapan suami apatah lagi memburuk-burukkan mereka kerana memuji perempuan lain itu mungkin membukakan pintu nafsu suaminya kepada perempuan lain. Manakala mengeji atau memburukkannya pula boleh mendatangkan mengumpat atau membuka keaiban orang lain.

Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah SWT  menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."
(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

Kesembilan : Hendaklah cermat dalam perbelanjaan hari-hari. Umpamanya jika diberi belanja untuk seminggu, janganlah habiskan kesemuanya. Bahkan hendaklah disimpan sedikit. Wang simpanan itu jangan pula dibelanjakan untuk perkara yang tidak penting bahkan untuk persiapan atau persediaan apabila datang kesusahan kerana barang siapa bercermat akan terselamat daripada kepapaan.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Israa' ayat 26-27, yang bermaksud: "...dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (engkar) kepada Tuhannya".

Kesepuluh : Jangan suka berhutang. Jika terpaksa berhutang sebaik-baiknya beritahu suami dan hutang itu ialah kerana muslihat rumahtangga dan bukan muslihat diri sendiri. Jika terdapat kekurangan perbelanjaan di dapur janganlah memarahi suami dengan kata-kata kutukan kerana perkataan tersebut mendatangkan dosa besar.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan." (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Kemurkaan Allah pada hari kiamat sangat dasyat sehinggakan nabi-nabi pun sangat takut. Bahkan Nabi Ibrahim pun lupa bahawa dia mempunyai anak yang bernama Nabi Ismail kerana ketakutan yang amat sangat. Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya : “Seorang wanita yang berkata kepada suaminya, 'semoga engkau mendapat kutukan Allah' maka dia dikutuk oleh Allah dari atas langit yang ke tujuh dan mengutuk pula segala sesuatu yang dicipta oleh Allah kecuali dua jenis makhluk iaitu manusia dan jin.”

Kesebelas : Jangan ceritakan perbelanjaan harian sama ada banyak atau sedikit kepada orang lain. Perbelanjaan yang kurang adalah aib suaminya hendaklah ditutup, jika perbelanjaan berlebihan pula dikhuatiri bermegah-megah dengan kekayaan yang dimiliki takut mendatangkan riak.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Kedua belas : Hendaklah makan minum untuk suami sama ada di sebelah pagi, tengah hari dan malam disediakan pada waktunya. Jangan sampai diminta atau disuruh, supaya tidak tergendala pekerjaan suami. Melainkan suami dan isteri mempunyai kerjaya masing-masing dan tempat yang berjauhan. Jika bekerja ditempat yang sama atau berdekatan eloklah makan tengahari bersama untuk melahirkan kemesraan dan kasih sayang.

Dalam hadis yang lain Nabi SAW  bersabda yang bermaksud : "Mana-mana wanita yang melayani suaminya, meminyak rambut suaminya, menyikat janggutnya, mengunting misainya, mengerat kukunya, maka ia di akhirat ia diberi minum oleh Allah daripada air syurga dan ia diringankan seksaan ketika sakaratulmaut (dekat hendak mati), di dalam kubur ia perolehi taman-taman seperti taman syurga dan namanya tercatit sebagai orang yang lepas daripada seksaan neraka dan selamat melintasi"Titian Sira" tanpa menempuh kesusahan."

Ketiga belas : Hendaklah suami dan isteri menjaga kesihatan dengan seboleh-bolehnya dengan melakukan senaman dan jaga makanan dan minuman, jaga kebersihan dan jaga perasaan yang tenteram.Pepatah ada menyatakan bahawa,"Otak yang sihat lahir daripada badan yang sihat".



Sahabat yang dimuliakan,
Jika semua nasihat itu disempurnakan oleh para  isteri dan suami juga sentiasa memberi kerjasama dan kasih sayang kepada isterinya, insya Allah rumah tangga dan pergaulan suami isteri akan berada di dalam aman dan bahagia. Keluarga bahagia dan sakinah akan dapat dinikmati bersama dan bibit-bibit pertengkaran, pergaduhan dan penceraian akan dapat di elakkan dan dapat diatasi dengan baik.

Ada juga diantara isteri nabi-nabi yang mati dalam keadaan tidak beriman kerana mempunyai sifat yang buruk. Walaupun mereka adalah isteri manusia yang terbaik di zaman itu. Sebagai contoh isteri Nabi Nuh suka mengejek dan mengutuk suaminya dan dia mengajar anak lelakinya supaya membenci dan menolak dakwah baginda. Begitu juga isteri nabi Luth suka bertandang ke rumah orang dan bersekongkol dengan golongan homoseksual dan membuka rahsia suaminya supaya tetamu suaminya dijadikan 'mangsa' oleh kaumnya.

Semoga Allah beri kita kekuatan untuk mengamalkan kebaikan dan meninggalkan keburukan. Kalau kita tidak berasa takut atau tidak mahu berubah, maka kita khuatir jika kita tergolong dalam mereka yang tidak diberi petunjuk oleh Allah SWT.

SUAMI YANG BERTANGGUNGJAWAB

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang suami yang bertanggungjawab akan cuba memahami sikap dan tabiat isterinya dan akan cuba menasihati dan membaiki segala kekurangan yang dimiliki oleh isterinya. Isteri yang baik pula akan menggunakan segala potensi yang dia miliki iaitu sifat lemah lembut dan penyayang akan dicurahkan kepada suaminya semoga terbina rumah tangga bahagia.

Terdapat 10 nasihat yang baik untuk suami supaya dapat dilaksanakan kepada isterinya.

1. Bersikap Tegas dan Lemah-lembut Terhadap Isteri

Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi,memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan dengan seorang lelaki. Jika keinginan mencari perlindungan itu datangnya dari wanita, namun selalunya ia merahsiakannya. Seandainya hajatnya tercapai, ia mengharapkan layanan yang lemah lembut dan amat mengharapkan perlindungan dari lelaki yang bertanggungjawab.

Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh lelaki kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

Dari Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Memberi Pujian Terhadap Isteri

Peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia perlukan perlindungan daripada keyakinan. Hanya suami yang bijaksana dapat memberikan keyakinan kepada isterinya. Dengan cara memberikan penghargaan seperti pujian, hadiah ataupun ungkapan yang boleh menambahkan keyakinan dalam diri isteri.

Hadiah merupakan pelembut bagi hati. Hadiah juga merupakan tanda kesediaan seseorang itu berkasih dengan seseorang yang lain. Apabila seseorang itu memberikan sesuatu hadiah, orang yang menerimanya akan rasa dihargai. Jika penerima itu sedang sedih atau marah, biasanya perasaan sedih dan marah itu akan semakin kurang atau terus hilang.

Rasulullah SAW menunjukkan teladan hebat sebagai seorang suami yang gemar memberikan hadiah buat isteri-isterinya. Bahkan baginda mengaitkan secara jelas, ikatan antara hadiah dan kasih sayang.ا

Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang” (Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik."

3. Menentukan Batas Tanggungjawab

Islam telah mengatur tanggungjawab terhadap suami dan isteri. Suami berkewajipan mencari nafkah yang halal untuk kelurganya dan isteri pula berkewajipan melayan suami serta mengasuh anak-anak. Ini bukan bermakna tanggungjawab lain patut diabaikan, malah semua tanggungjawab lain seharusnya dipikul bersama mengikut keadaan masa dan tempat.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah engkau menafkahkan satu nafkah yang dengan engkau mengharap wajah Allah kecuali engkau akan diberi pahala dengan sampai pun satu suapan yg engkau berikan ke mulut istrimu.”(Hadis Riwayat Muslim)

4. Menghindari Kritikan Terhadap Isteri

Kritikan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Ia boleh dilakukan, namun biarlah dengan lembut dan bertempat. Jangan sesudah bernikah, suami merasa berhak berkasar, mengkritik dan menghina isteri sewenang-wenangnya kerana banyak kesannya pada  isteri.

Suami yang terlalu banyak mengkritik isteri akan meninggalkan kesan negatif terhadap isterinya

Firman Allah dalam surah An-Nisa‘ ayat 19 maksudnya : “Dan bergaullah  kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara yang baik.  Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)”.

5. Memperhatikan Sesuatu Yang Romantik

Suami seringkali kurang memperhatikan keperluan yang tidak begitu penting seperti ulangtahun isteri, perkahwinan dan sebagainya. Namun bagi wanita, hal sebegitu penting. Cinta bukan hanya berkaitan dengan perasaan tetapi juga berkaitan dengan aktiviti romantik yangmempunyai nilai yang bererti dalam diri wanita. Mungkin sesuatu yang tidak bererti pada lelaki namun ianya amat bernilai pada wanita. Oleh itu suami harus banyak mempelajari keperluan isteri dan tidak menganggap remeh terhadap kepentingan isteri.

Dari Umarah, ia berkata: Saya bertanya kepada Aisyah r.a : "Bagaimana keadaan Rasulullah SAW bila berduaan dengan isteri-isterinya? "Jawabnya: "Baginda adalah seorang lelaki seperti lelaki-lelaki lainnya, tetapi bezanya baginda seorang lelaki yang paling terhormat, paling lemah lembut, serta senang tertawa dan tersenyum." (Hadis Riwayat Khara’iti dan Ibnu ’Asakir)

Aisyah berkata : “Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub” (Hadis Riwayat Muslim : 482)

Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata. Aisyah yang mandi bersama Nabi bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah. (Hadis Riwayat  Muslim : 498).

Demikianlah romantiknya Rasulullah SAW bersama isteri baginda.

6. Memahami Isteri Yang Ingin Selalu Di Samping Suami

Setiap isteri selalu menginginkan serta merindukan untuk selalu bersama suaminya. Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya. Kerana itu, suami yang baik akan berusaha meluangkan masa untuk bersama isterinya. Selalu bersama boleh meningkatkan kasih sayang.

Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya disisinya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang
ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)… (Surah al-Baqarah ayat 228)

Ibnu Abbas radhiallahu 'anh berkata: "Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senangi isteriku berhias untukku."

Allah berfirman (Surah Ar-Rum : 21), yang bermaksud;
"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantara mu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

Walaupun perasaan cinta dan kasih sayang merupakan fitrah dari Allah, tetapi kita perlu sedar bahawa keabadian cinta itu tidak diperolehi sebagai satu anugerah tanpa diiringi dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Oleh itu suami isteri perlulah saling kasih mengasihi dan suami perlulah memahami segala keperluan isterinya.

7. Menjaga Perasaan Aman Dalam Kehidupan Isteri

Suami yang bertanggungjawab akan selalu memberikan rasa aman dan tenteram terhadap perasaan isterinya, selalu berusaha menyelesaikan setiap masalah rumahtangga dengan secepat mungkin. Berusaha membantu menyelesaikan masalah isteri.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : " Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar."(Surah al-Nisaa' ayat 34)

8. Memahami Gelora Jiwa Isteri

Wanita lebih mudah mengalami perubahan emosi jika dibandingkan dengan lelaki. Jika suami dapat menerima hakikat perubahan emosi isterinya,maka isterinya pasti dapat menerima suaminya sebagai orang yang dapat membimbing hidupnya.

Di bawah ini dibawakan kisah seorang sahabat Nabi SAW yang ingin mengadu kepada Khalifah Umur disebabkan perangai buruk isterinya kepada dirinya :

Khalifah Umar : "Apa hajatmu datang ke mari?"

Jawab lelaki itu : "Tidak ada apa-apa wahai Amirul Mukminin."

Tanya Khalifah Umar : "Mengapa datang kalau tidak ada apa-apa?"

Jawab lelaki itu lagi : "Sebenarnya saya datang ini untuk mengadukan kelakuan buruk isteri saya , wahai Amirul Mukminin. Tetapi tiba-tiba saya mendapati tuan hamba juga mengalami nasib yang sama seperti saya ."

Berkata Khalifah Umar :

"Wahai saudaraku! Aku terpaksa menanggung semua itu kerana aku terhutang budi kepadanya. Dia telah memasak makananku, membuat roti untukku, membasuh pakaianku dan menyusukan anakku padahal semua itu tidak wajib ke atasnya. Dan dia juga menjadi tempat kemesraanku, di mana hatiku berasa tenang dan kerana itu juga aku terlindung daripada melakukan yang haram. Bagaimana dapat aku menentangnya, jadi aku hanya bersabar dan memekakkan telinga sahaja."

Kata orang itu pula : "Saya juga menanggung nasib yang sama seperti tuan hamba  wahai Amirul Mukminin!"

Maka berkata lagi Amirul Mukminin :

" Wahai saudaraku! Bersabarlah atas kelakuan isterimu itu."

9. Membina Kerjasama Yang Baik

Suami yang boleh diajak berbincang dan selalu bekerjasama dengan isterinya akan mampu mengujudkan keluarga bahagia.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik di kalangan kamu terhadap ahlinya".

10. Memenuhi Keperluan Peribadi

Tidak ada dua wanita di dunia ini yang sama, kerana masing-masing memiliki peribadi yang khusus. Wanita mempunyai sifat yang unik baik dari segi emosi maupun keinginan. Suami yang bijaksana akan mudah memahami akan keperluan peribadi isterinya dan mampu melaksanakan tanggungjawabnya sesuai dengan kemampuan dirinya.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat."
(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini adalah berbentuk umum sesiapa saja yang melapangkan kesusahan seorang muslim maka Allah SWT akan melapangkan dia daripada kesusahan di hari akhirat nanti termasuk juga apabila seorang suami memenuhi keperluan isterinya atau menunaikan hajatnya  maka ianya termasuk juga apa yang dimaksudkan oleh hadis di atas..

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita perbaiki hubungan mesra dan kasih sayang di anara kita  sebagai suami dan isteri. Suami yang bertanggungjawab akan memahami dan menjaga hubungan yang baik dengan isterinya, begitu juga isteri yang solehah akan sentiasa taat kepada suami , menjaga kehormatan diri dan sentiasa meneruskan tarbiah mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Kebahagiaan hidup di dunia dengan iman dan Islam akan berterusan nanti di hari akhirat iaitu dapat memasuki syurga yang penuh keindahan dan kenikmatan.



Tuesday, 10 September 2013

BERSABAR DALAM SABAR

"Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik."
(Surah Al Ma'arij ayat 5)



Bersabar dalam sabar itu sifatnya Rasulullah SAW,
penuh santun dan hikmah.

~ Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakal Al Hamid ~


Thursday, 5 September 2013

MONOLOG : BEBAS TERBANG




Sahabatku.

Adakalanya, hati ini terasa ingin terbang begitu tinggi di angkasa seperti beburung yang berterbangan berkawan-kawan.

Mungkinkah aku salah seekor burung itu....

terbang melepasi sempadan negeri untuk mengintaimu

Atau barangkali juga, mengajakmu mengepakkan sayap bersama-sama merentasi ruang...

Sambil bertasbih, bertahmid dan membesarkan Allah pencipta kita Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

HADIS : IMAN

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah sempurna iman kamu sehingga kamu mencintai saudara kamu sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri. (HR Bukhari)




Rasulullah SAW bersabda, "Barang siapa menggembirakan hati seorang mukmin berarti dia telah menggembirakan hatiku. Dan barang siapa membuatku gembira berarti ia telah memperoleh janji hidayah dan kebahagiaan dari Allah."




AL WAKEEL Az Zumar 62

Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.
(Surah Az Zumar ayat 62)


AWASI LINTASAN HATIMU



INGATLAH ALLAH



LA ILLAHA ILLALLAH



INGATLAH KEPADAKU (ALLAH)




".. ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)

(Surah Al Baqarah ayat 152)