Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta
salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para
sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkahwinan adalah jalinan ikatan yang sah di antara lelaki
dan perempuan untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini,
terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan ditunaikan oleh pasangan suami isteri.
Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah
kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan
tempat tinggal dan juga keperluan tarbiah dan ilmu fardu ain.
Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang wajib
dilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya
selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Apabila
seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan
Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di
akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut
pilihannya)."
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah
SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah memberi peluang keemasan kepada
setiap wanita yang beriman bahawa untuk memasuki syurga-Nya yang penuh
kenikmatan adalah melalui empat syarat sahaja.
Untuk menghuraikan syarat ke 4 iaitu mentaati suami,
terdapat 13 perkara yang perlu dipatuhi dan dihayati oleh isteri solehah supaya
menjadi pelengkap kepada kebahagiaan rumah tangga dan menjadi salah satu syarat
untuk mendapat syurga Allah SWT dihari akhirat nanti.
Perkara-perkata tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Hendaklah isteri ingat bahawa dirinya (perempuan)
itu dijadikan oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana untuk lelaki. Lelaki dijadikan
menguasai perempuan dan menjadi pemimpin baginya. Oleh itu tidak patut bagi
seorang perempuan berfikiran atau bercita-cita hendak menguasai dan menundukkan
suami dalam segala hal.
Firman Allah SWT maksudnya : "Lelaki (suami) itu
pelindung bagi perempuan (isteri) , kerana Allah telah melebihkan sebahagian
mereka (lelaki) atas sebagian yang lain (perempuan) dan kerana mereka (lelaki)
telah memberikan nafkah dari hartanya."
(Surah an-Nisa' ayat 34)
Kedua : Hendaklah ia bekerja dan berusaha dengan seberapa
daya untuk menambat dan menggembirakan hati suami supaya suami cinta dan sayang
kepadanya dengan berkekalan. Setengah ikhtiar itu ialah: Manis muka, halus
perkataan, bersolek setiap hari dan waktu dan bersikap manja di hadapannya.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Jika aku boleh memerintahkan
supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang
perempuan sujud kepada suaminya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Ketiga : Isteri hendaklah memerhatikan tabiat suami
tiap-tiap hari tentang kesukaan dan kebenciannya. Apa-apa kesukaannya
disempurnakan oleh isteri dan apa-apa kebenciannya ditinggalkan.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya
:
“Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka
dia menggembirakan, bila engkau perintah dia taat, bila engkau tiada dia
menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya.”
Keempat : Jangan banyakkan permintaan atau memberati suami
dalam perkara yang tidak dapat menyempurnakannya apatah lagi jika ia tidak
mampu kerana perbuatan demikian merunsingkan suami.
Abdur Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda
maksudnya : “Seorang yang membuat susah kepada suaminya dalam hal belanja atau
membebani sesuatu yang suaminya tidak mampu maka Allah tidak akan menerima
amalannya yang wajib dan sunatnya.”
Kelima : Jangan sekali-kali meninggalkan rumah tanpa izin
suami atau melanggar perkara yang tiada gemar dan jangan pula suka membantah
jika disuruh. Apabila disuruh eloklah dilaksanakan.
Firman Allah SWT : “Maka perempuan-perempuan yang solehah,
adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak
ada, kerana Allah telah menjaga mereka." (Surah an-Nisa' ayat 34)
Keenam : Isteri hendaklah sentiasa ada di rumah ketika suami
pulang dari kerja, melainkan kerana terpaksa atau ada hajat besar dan bila-bila
suami balik hendaklah disambut dengan baik dan bersolek pula. Melainkan jika
isteri juga bekerja, seelok-eloknya isteri balik lebih awal daripada suami.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila suami memanggil
isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya),
malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis Riwayat
Bukhari)
Ketujuh : Janganlah pergi mendapatkan bomoh, pawang, tukang
sihir atau tukang tilik untuk memperlihatkan hal suami atau menambat hatinya.
Ini semua berdosa serta membuang wang dan membazir.
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang
tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak
diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).
Kelapan : Jangan suka menceritakan kecantikkan perempuan
lain atau memuji-muji anak isteri orang lain di hadapan suami apatah lagi
memburuk-burukkan mereka kerana memuji perempuan lain itu mungkin membukakan
pintu nafsu suaminya kepada perempuan lain. Manakala mengeji atau
memburukkannya pula boleh mendatangkan mengumpat atau membuka keaiban orang
lain.
Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu
lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka
Allah SWT menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat,
tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."
(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)
Kesembilan : Hendaklah cermat dalam perbelanjaan hari-hari.
Umpamanya jika diberi belanja untuk seminggu, janganlah habiskan kesemuanya.
Bahkan hendaklah disimpan sedikit. Wang simpanan itu jangan pula dibelanjakan
untuk perkara yang tidak penting bahkan untuk persiapan atau persediaan apabila
datang kesusahan kerana barang siapa bercermat akan terselamat daripada
kepapaan.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Israa' ayat 26-27, yang
bermaksud: "...dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang
melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang membazir (boros) itu adalah saudara
syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (engkar)
kepada Tuhannya".
Kesepuluh : Jangan suka berhutang. Jika terpaksa berhutang
sebaik-baiknya beritahu suami dan hutang itu ialah kerana muslihat rumahtangga
dan bukan muslihat diri sendiri. Jika terdapat kekurangan perbelanjaan di dapur
janganlah memarahi suami dengan kata-kata kutukan kerana perkataan tersebut
mendatangkan dosa besar.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada
tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu
dilunaskan." (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah)
Kemurkaan Allah pada hari kiamat sangat dasyat sehinggakan
nabi-nabi pun sangat takut. Bahkan Nabi Ibrahim pun lupa bahawa dia mempunyai
anak yang bernama Nabi Ismail kerana ketakutan yang amat sangat. Abu Zar r.a.
meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya : “Seorang wanita yang berkata
kepada suaminya, 'semoga engkau mendapat kutukan Allah' maka dia dikutuk oleh
Allah dari atas langit yang ke tujuh dan mengutuk pula segala sesuatu yang
dicipta oleh Allah kecuali dua jenis makhluk iaitu manusia dan jin.”
Kesebelas : Jangan ceritakan perbelanjaan harian sama ada
banyak atau sedikit kepada orang lain. Perbelanjaan yang kurang adalah aib
suaminya hendaklah ditutup, jika perbelanjaan berlebihan pula dikhuatiri
bermegah-megah dengan kekayaan yang dimiliki takut mendatangkan riak.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Siapa menutup aib seseorang
Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. (Hadis riwayat
at-Tirmidzi).
Kedua belas : Hendaklah makan minum untuk suami sama ada di
sebelah pagi, tengah hari dan malam disediakan pada waktunya. Jangan sampai
diminta atau disuruh, supaya tidak tergendala pekerjaan suami. Melainkan suami
dan isteri mempunyai kerjaya masing-masing dan tempat yang berjauhan. Jika
bekerja ditempat yang sama atau berdekatan eloklah makan tengahari bersama
untuk melahirkan kemesraan dan kasih sayang.
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud
: "Mana-mana wanita yang melayani suaminya, meminyak rambut suaminya,
menyikat janggutnya, mengunting misainya, mengerat kukunya, maka ia di akhirat
ia diberi minum oleh Allah daripada air syurga dan ia diringankan seksaan
ketika sakaratulmaut (dekat hendak mati), di dalam kubur ia perolehi
taman-taman seperti taman syurga dan namanya tercatit sebagai orang yang lepas
daripada seksaan neraka dan selamat melintasi"Titian Sira" tanpa
menempuh kesusahan."
Ketiga belas : Hendaklah suami dan isteri menjaga kesihatan
dengan seboleh-bolehnya dengan melakukan senaman dan jaga makanan dan minuman,
jaga kebersihan dan jaga perasaan yang tenteram.Pepatah ada menyatakan
bahawa,"Otak yang sihat lahir daripada badan yang sihat".
Sahabat yang dimuliakan,
Jika semua nasihat itu disempurnakan oleh para isteri
dan suami juga sentiasa memberi kerjasama dan kasih sayang kepada isterinya,
insya Allah rumah tangga dan pergaulan suami isteri akan berada di dalam aman
dan bahagia. Keluarga bahagia dan sakinah akan dapat dinikmati bersama dan
bibit-bibit pertengkaran, pergaduhan dan penceraian akan dapat di elakkan dan
dapat diatasi dengan baik.
Ada juga diantara isteri nabi-nabi yang mati dalam keadaan
tidak beriman kerana mempunyai sifat yang buruk. Walaupun mereka adalah isteri
manusia yang terbaik di zaman itu. Sebagai contoh isteri Nabi Nuh suka mengejek
dan mengutuk suaminya dan dia mengajar anak lelakinya supaya membenci dan
menolak dakwah baginda. Begitu juga isteri nabi Luth suka bertandang ke rumah
orang dan bersekongkol dengan golongan homoseksual dan membuka rahsia suaminya
supaya tetamu suaminya dijadikan 'mangsa' oleh kaumnya.
Semoga Allah beri kita kekuatan untuk mengamalkan kebaikan
dan meninggalkan keburukan. Kalau kita tidak berasa takut atau tidak mahu
berubah, maka kita khuatir jika kita tergolong dalam mereka yang tidak diberi
petunjuk oleh Allah SWT.
No comments:
Post a Comment