Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid
Bismillahirrahmanirrahim,
Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa, KL - 02.11.2012
Bismillahirrahmanirrahim,
Kita berdoa semoga majlis ini menjadi sebab turunnya rahmat dari Allah, dipandang dengan pandangan pilihan untuk menjadi golongan istimewa di sisi Allah, semoga semua berada dalam linkungan golongan yang mencintai Rasulullah SAW dan semoga Allah memberkati dan memberi hidayah kepada kita semua. Amin, Allahumma Amin.
Sambungan perbahasan bulan lalu iaitu huraian akhlak dan adab Nabi SAW. Kitab “Akhlak Nabi dan adabnya”, tulisan Al-Imam Al-Asfahani.
“Walaupun seorang itu mengucapkan pujian sebanyak mana pun kepada Rasulullah SAW, masih akan ada sifat mulia Baginda yang tidak mampu dihuraikan oleh manusia”.
Akhlak baginda SAW, jika ingin dihuraikan semuanya tetap akan tidak akan berjaya kerana akan masih ada sifat-sifat mulia baginda yang tak akan dapat disampaikan oleh manusia.
Bulan lepas telah dibincangkan berkaitan solat malam Nabi SAW. Untuk sambungan minggu ini, fokus perbincangan ialah - “Sifat bacaan Nabi SAW dalam solat malam”.
Sahabat begitu ingin mengikuti teladan dan cara Nabi SAW bukan sahaja sekadar di luar rumah, namun apa yang dilakukan di dalam rumahnya juga ingin ditiru. Sifatnya diluar dapat diperhatikan sendiri oleh para sahabat, tetapi untuk sifat Nabi SAW dirumah, para sahabat bertanyakan kepada isteri-isteri atau anak-anaknya. Ini menunjukkan betapa para sahabat sangat kehausan untuk menurut setiap jejak langkahnya.
Salah seorang yang ditanya ialah Ummu Salamah. Ummu Salamah dinikahi setelah dia bersabar atas kematian suaminya Abu Salamah. Ketika Abu Salamah meninggal, Ummu Salamah berkata, “Aku akan tunjukkan kepada orang Arab bagaimana aku ini sedih, yakni dengan berguling-guling”. Orang Arab dahulu menjadi bangga apabila menunjukkan rasa sedih yang melampau sehingga berguling-guling.
Cerita itu disampaikan oleh seorang sahabat kepada Nabi SAW lalu baginda melarang dan berpesan agar Ummu Salamah berdoa:
Allahuma ajirni fee museebati wakhlifni khairan minhaa
Maksudnya -"Ya Allah, berikan kepadaku ganjaran ke atas musibah yang menimpa kepada aku dan gantikan kepadaku ganti yang lebih baik daripada apa yang berlaku kepadaku".
Ummu Salamah mematuhi nasihat Nabi SAW dan melafazkan doa tersebut. Selepas iddahnya tamat, Nabi SAW sendiri yang masuk meminangnya. Siapakah lagi manusia yang lebih baik daripada Nabi SAW? Tentulah tiada! Doa Ummu Salamah dikabulkan disebabkan kesabaran, keredhaan dan kepatuhannya kepada suruhan Nabi SAW. Tiada orang yang hampa jika mengikuti nasihat Nabi SAW. Yang hampa adalah mereka yang tidak mengikut nasihat Nabi SAW.
Sifat bacaan seperti yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah:
Sabahat bertanya, “Apa yang kamu tahu bagaimana Baginda membaca di dalam solatnya?”
Kata Ummu Salamah, “Apa yang kamu nak tahu tentang cara beliau membaca dalam solatnya yang kalau aku ceritakan, kamu takkan mampu membuatnya”,
Sambung Ummu Salamah lagi, “Baginda solat dan kemudian tidur selama mana Baginda solat. Kemudian bangkit untuk lagi solat selama mana Baginda tidur. Begitulah dilakukan baginda berterusan sampai pagi”.
Huraian: Maksud jawapan Ummu Salamah ialah - jika Nabi tidur setengah jam, Baginda akan bangun solat setengah jam juga, kemudian tidur setengah jam lagi dan solat setengah jam lagi dan terus mengulangnya sehinggalah waktu pagi.
Orang kebanyakan biasanya bangun tahajjud sejam sebelum subuh, jadi waktu ialah selama 6 jam dan waktu solat ialah 1 jam. Rasulullah SAW pula mengimbangi waktu antara tidur dan waktu untuk solat.
Kenapa Nabi berbuat begitu? Bagi setengah orang tidur itu satu keperluan, dan bagi setengah orang lain tidur itu satu nikmat. Jika memandang tidur itu sebagai satu nikmat, maka ianya wajib disyukuri.
Firman Allah dalam surah Al-Rum, ayat 23:
Oleh itu jangan kita anggap tidur itu cuma sebagai satu keperluan saja. Manusia tidur, bahkan tumbuhan dan haiwan pun tidur juga. Jika kita memandang tidur hanya sebagai keperluan, maka kita sama saja seperti makhluk Allah yang lain. Jangan kita jadi seperti orang kebanyakan dan menganggap tidur itu sebagai keperluan sahaja. Bukankah tidur itu satu tanda kebesaran Allah? Bayangkan setelah penat belajar, kita akan mula berasa penat dan tidak mampu fokus lagi. Apa yang dibaca pun tidak dapat masuk ke otak lagi. Oleh itu sebab itu tidur dijadikan agar seluruh tubuh dan organ dapat direhatkan sebentar. Siapa yang menjaga tubuh badan dan organ dalaman ketika kita tidur? Allahlah yang menjaganya dan memeliharanya.
Oleh sebab itulah, Nabi SAW bangun solat sebagai tanda syukur setelah dapat mendapat nikmat tidur. Bagaimana pula dengan kita? Berapa banyakkah kita sudah bersyukur kepada Allah? Berapa kalikah kita ingat nikmat Allah dan bersyukur? Majoriti kita gagal melihat berapa banyak nikmat yang telah Allah berikan. Namun, dalam keadaaan kita yang lalai ini, Allah tetap memberikan kita nikmatNya tanpa henti-henti.
Sambung Ummu Salamah mengenai sifat bacaan Nabi SAW dalam solat:
“Bacaannya huruf demi huruf, tidak laju dan tepat sebutan”. Ada satu hadis menyebut bahawa seorang sahabat pernah mendengar bacaan solat Nabi dan dia boleh menghafalnya hanya dengan mendengar bacaan Nabi itu kerana kejelasan dan ketepatan sebutannya hurufnya.
Huraian Hadis 548:
Anas bin Malik ditanya bagaimana bacaan Nabi SAW?
Jawabnya, “Cara baca nabi adalah dibaca jelas hurufnya, tapi suaranya perlahan.Nada suara Nabi SAW ketika solat malam boleh didengar di dalam bilik (ruang kecil) dan di dalam rumah (ruang besar)”.
Perlahan di sini bermaksud didengari telinganya sendiri, tetapi bukan di dalam hati.Ini menunjukkan ketika solat malam ada kalanya suara Nabi SAW kuat, dan ada kalanya perlahan.
Apa hikmahnya?
Ada diriwayatkan bahawa Nabi SAW keluar malam untuk melihat sahabat manakah yang bangun tahajjud. Apabila melalui rumah Abu Bakar As-Siddiq, didapati bacaan Abu Bakar perlahan sahaja. Apabila melalui rumah Umar Al-Khattab pula didapati bacaan Umar sangat kuat sehingga didengari di luar rumah.
Keesokannya, Nabi SAW bertanya kepada Abu Bakar: “Wahai Abu Bakar, aku lalu di rumah kamu dan aku dengar bacaanmu perlahan-lahan”. Jawab Abu Bakar, “Ya Rasulullah, saya ini menyeru kepada Zat Yang Maha Mendengar - jadi tak perlulah kuatkan suara”.
Nabi SAW berkata pula kepada Umar, “Wahai Umar, aku lalu di rumah kamu dan aku dengar bacaanmu sangat lantang”.
Jawabnya, “Aku ingin mengejutkan mereka yang tidur* dan menghalau syaitan”.
*Tidur yang dimaksudkan di sini ialah tidur yang tidak nyenyak kerana ada diriwayatkan hadis bahawa orang yang tidur tidak tidak boleh diganggu hatta dengan bacaan Al-Quran sekalipun. Tetapi maksud Umar adalah untuk mengejutkan ahli keluarga yang ingin bangun malam (tidak tidur nyenyak). Bacaan yang lantang pula dapat memberi fokus kepada telinga dan hati daripada mendengar bisikan syaitan.
Inilah perbezaan maqam antara Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar. Maqam Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar lebih tinggi berbanding maqam Sayyidina Umar.
Nabi SAW kemudian memerintahkan supaya Abu Bakar menguatkan suaranya, dan Umar merendahkan suaranya sedikit.
Mengeraskan suara ada faedahnya iaitu:
- Membantu hati lebih kusyuk (menghalau syaitan)
- Mengejutkan orang lain daripada tidur (yang tidak nyenyak tidurnya)
- Memberi orang lain mendengar bacaan Al-Quran
Hadis 550 & 551:
Daripada Abu Hurairah, “Terkadang bacaan Rasul SAW di waktu malam diangkat suaranya (kuat) dan terkadang diperlahankan”.
Huraian Hadis 552:
Daripada Ummu Hani (sepupu kepada Rasulullah SAW) - “Saya mendengar bacaan Rasul SAW di waktu malam sedangkan saya berada di arish”.
Arish ialah kenderaan kecil yang diletak di atas unta untuk seorang wanita. ini menunjukkan yang jaraknya jauh tetapi masih dapat mendengar bacaan Nabi SAW yang kuat.
Baginda ada bersabda yang bermaksud: “Hiasilah bacaan al-Quran dengan kelunakan suaramu”.
Melagukan Al-Quran bermaksud membaca dengan tartil (tepat makhraj huruf) dan tajwid yang betul, bukan sekadar alunannya saja.
Huraian Hadis 553:
Siti Aisyah juga ditanya adakah bacaan Nabi SAW dikuatkan atau diperlahankan. Jawabnya, “Terkadang Baginda menguatkan, terkadang Baginda memperlahankan bacaannya”.
Huraian Hadis 554:
Kalau orang dengar bacaan Nabi, maka mereka akan boleh menghafalnya ie Ini kerana bacaan Nabi perlahan, tidak laju.
Mafhumnya: “Ditanya kepada Anas: bagaimanakah bacaan Nabi SAW, beliau menjawab: Bacaan baginda adalah dengan memberikan hak panjang kepada huruf, kemudian baginda membaca bismillahirrahmanirrahim, baginda memberi hak panjang pada bismillah, baginda memberi hak panjang pada al-Rahman dan baginda memberi hak panjang kepada al-Rahim.” (HR al-Bukhari 5046)
Hadis ini menceritakan Nabi SAW memberi hak-hak bacaan huruf yang betul dengan memanjangkan bacaan apabila perlu.
Sahabat datang kepada Siti Aishah dan memberitahu, “Wahai Ummu Mukmin, aku dapati ada orang yang sembahyang malam dan mengkhatam sekali, 2 kali atau 3 kali Al-Quran pada malam hari”. Kata Aisyah – “Mereka itu baca dan tak baca”.
Maksudnya mereka membaca terlalu laju untuk mengejar khatam Al-Quran. Ini merujuk kepada kebanyakan orang tanpa menafikan bahawa ada orang yang mampu melakukannya, contohnya seperti Sayyidina Uthman bin Affan.
Sambung Aisyah lagi, “Cara Nabi SAW membaca Al-Quran di waktu malam adalah dengan sempurna dan perlahan-lahan. Baginda membaca surah Al-Baqarah, Ali-Imran dan An-Nisa'. Tidak lalu pada sepotong ayat yang ada khabar gembira, melainkan Baginda memohon kepada Allah untuk mendapatkannya.”
Maksudnya - jika Nabi SAW membaca sepotong ayat berkaitan syurga, maka Baginda akan berkata, “Ya Allah masukkanlah daku ke dalam syurga”. Apabila baginda membaca ayat berkaitan neraka, baginda akan memohon berlindung kepada Allah terhadap azab Allah. Apabila membaca ayat tentang sifat-sifat orang yang dipuji Allah, Baginda memohon agar sifat itu dikurniakan kepadanya. Apabila diceritakan sifat-sifat buruk yang ada pada orang kafir atau orang yang dibenci oleh Allah, Baginda mendoakan agar sifat itu tiada pada dirinya. Begitulah seterusnya yang dilakukan Nabi SAW untuk berinteraksi dengan Al-Quran. Inilah cara Nabi SAW membaca Al-Quran
Hadis daripada Anas bin Malik:
Anas nampak wajah Nabi SAW pucat. Lalu ditanyanya, “Ya Rasulullah, aku nampak kamu ini sakit”. Lalu Baginda menjawab, “Adapun kamu sudah nampak akan tandanya sakit pada wajah aku ini, maka aku beritahu sebab aku sakit ini. Semalam aku membaca 7 surah At-Tiwal (7 surah yang panjang)”.
Sebenarnya Nabi tidak suka bercerita tentang ibadahnya kecuali jika untuk dijadikan teladan. Oleh itu, kita juga tidak sepatutnya bercerita tentang amalam malam yang kita lakukan. Biar Allah sahaja yang tahu dan menilainya kerana dikhuatiri akan terkena penyakit riyak.
Surah dalam Al-Quran diberikan beberapa nama berdasarkan panjang-pendeknya ayat dalam surah itu. Contohnya:
- At-Tiwaal: surah yang panjang, ada 7 kesemuanya iaitu Al-Baqarah, Ali-Imran, An-Nisa', Al-Maedah, Al-An'am, dan At-Taubah.
- Al-Iinin: surah yang ayat lebih sedikit daripada 100.
- Al-Mathani: surah yang ayatnya kurang daripada 100.
- Al-Fassal: surah yang pendek-pendek.
Nabi SAW sakit kerana membaca 7 surah yang panjang di dalam satu malam. Kesannya nampak ketika pagi hari tetapi tidak dirasai Baginda ketika baginda solat. Bahkan Baginda merasa bahagia dan seronok sangat ketika solat. Bagi berasa indah ketika di dalam solat.
Ada kisah yang pernah berlaku pada tahun ke-4 Hijrah, Nabi meminta 2 orang sahabat menjaga keselamatan pada malam. Mereka yang menawarkan diri ialah Abbas bin Bishir dan Ammar bin Yassir. Mereka berdua berbincang dan bersetuju bahawa Abbas menjaga pada awal malam dan Ammar akan menjaga pada tengah malam. Oleh itu, Ammar berehat dahulu sementara Abbas berjaga. Namun, Abbas tidak duduk berjaga semata-mata. Sebalinya, dia melakukan qiamullail.
Ketika Abbas sedang solat, dia dipanah. Dia mencabutnya dan menyambung solat. Setelah itu dia dipanah lagi sekali. Dia mencabutnya lagi dan menyambung solat. Kemudian dia dipanah lagi dan setelah 3 anak panah itu, barulah dia mempercepatkan solat. Ketika Abbas mempercepatkan solatnya, Ammar terjaga dan pemanah itu ternampak lalu melarikan diri.
Setelah Abbas selesai solat, Ammar pun berkata, “Kenapa setelah terkena satu anak patah, engkau tidak membatalkan solat dan memberitahu aku? Engkau boleh membahayakan diri kamu!”
Jawab Abbas, “Aku sedang membaca surah Al-Kahfi dan aku enggan untuk memutuskannya. Kalau bukan kerana tugasan yang diamanahkan Rasulullah untuk berjaga malam, aku akan teruskan walaupun jika aku terbunuh dengan panahnya. Tapi aku khuatir melanggar tugasan yang diberikan Rasulullah lalu aku percepatkan solatku untuk mengejutkan engkau agar musuh tidak dapat menyelinap masuk untuk membunuh Nabi SAW”.
Sakitnya panah tidak terasa dek kerana nikmat keindahan membaca surah Al-Kahfi. Jika sahabat sudah begitu, bagaimana pula dengan Nabi SAW? Tentulah lebih hebat lagi.
Dalam surah Yusuf ada diceritakan bahawa sekumpulan wanita yang diberi epal dan pisau terlupa kesakitan terhiris jari mereka kerana terleka melihat keindahan dan ketampanan Nabi Yusuf. Melihat ketampanan Nabi Yusuf yang lahir daripada nafsu syahwat boleh melupakan sakit pada jari yang dihiris pisau. Jadi, tidak bolehkah keindahan bacaan Al-Quran itu mengalahkan sakit terkena anak panah? Sudah tentunya perasaan itu jauh lebih indah dan manis lagi kerana ianya bersumberkan wahyu yang suci lagi tinggi kedudukannya.
Sambungan bulan hadapan akan membincangkan kenapa Nabi SAW solat sehingga bengkak kakinya, sedangkan Nabi SAW menyuruh umatnya beribadah sekadar kemampuan seseorang. InsyaAllah akan dibincangkan hikmahnya bulan depan.
Info tambahan:
Majlis Maulid (Maulidul Rasul) Bulanan Darul Murtadza diadakan pada hari Jumaat minggu pertama Setiap Bulan. Bacaan Bait-bait Syair Maulid Adh Dhiya ul Laami' yang menceritakan riwayat hidup Rasulullah S.A.W. karangan Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Ben Hafidz. dan diselangi Qasidah-qasidah (atau Nasyid) yang memuji-muji Rasulullah S.A.W.
Bacaan ini dipimpin oleh Habib Ali Zaenal Abidin BinAbu Bakar Al Hamid. Beliau juga akan membahaskan kitab Akhlakun Nabi yang menceritakan tentang riwayat serta sifat-sifat Rasulullah S.A.W. yang kita cintai dengan ilmunya yang luas.
Majlis Ta'lim Darul Murtadza diadakan setiap hari Jumaat, bermula dari pukul 9.15pm di Masjid Muadz Bin Jabal, Persiaran Setiawangsa, Taman Setiawangsa, 54200 Kuala Lumpur.
\
GPS: 3.178385, 101.737883
* Jika berlaku sebarang kekurangan atau kesilapan terutamanya tentang ejaan perkataan Arab, saya mohon maaf dan semoga sudi memberi teguran. Saya sekadar mencatit sekadar yang yang termampu, mohon tonton video juga untuk mendapatkan keberkatan ilmu Habib Ali yang luas.
No comments:
Post a Comment