Friday, 30 May 2014

LEMBAYUNG



Sebiru hatiku
saat menantimu
janji kita untuk ketemu
di hujung lembayung nan ungu
andai ada rezeki waktu
pasti berhadapan yang dirindu


اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبة وسلم


Norlidar
30/05/2014

Wednesday, 28 May 2014

PENUNJUK IMAN






Jika engkau ingin petunjuk iman
Kuatkanlah dirimu untuk menerima segala musibah
Bertenang menanggung segala kepahitan
Sifat sabar terbentang dalam dadamu
Lisanmu perlu dikunci
Matamu dikawal
Rahsiamu disembunyikan & hanya dilihat Allah sahaja
Namamu jangan terkenal
Pintumu ditutup
mulutmu tersenyum....

(Imam Al-Ghazali )



Monday, 26 May 2014

AKU ADALAH MENURUT SANGKAAN HAMBAKU TERHADAP KU


Berbaik Sangka dan Buruk Sangka
Hadis Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. berfirman: Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku. Apabila dia mengingati-Ku dalam dirinya, nescaya aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. 
Apabila dia mengingati-Ku dalam suatu kaum, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekati-Ku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari anak.” 
(Hadis Riwayat Abu Hurairah)


Menyebut yang Baik Sahaja
Dari Ummi Salamah katanya: Rasulullah s.a.w. telah masuk menziarahi Abu Salamah sedang mata Abu Salamah terbuka, lalu Nabi s.a.w menutupnya, kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya roh apabila ia diambil oleh Malaikat akan diturut oleh pandangan mata (si mati itu)"; (mendengar yang demikian) sebahagian dari keluarganya riuh rendah (menangis dan menyebut-nyebut kemalangan yang mendukacitakan mereka), lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Janganlah kamu menyebut-nyebut perkara-perkara yang buruk yang merosakkan kamu, tetapi sebutlah perkara-perkara yang baik, kerana Malaikat memohon supaya Tuhan kabulkan apa yang kamu katakan - baik atau buruk", kemudian Baginda s.a.w. berdoa dengan sabdanya: "Ya Tuhanku! Ampunkanlah dosa Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya bersama orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk, dan jadilah sebagai gantinya untuk mengurus dan melindungi keluarganya yang ditinggalkan, dan ampunkanlah bagi kami dan baginya Ya Rabbal alamin, dan lapangkanlah kuburnya serta berilah kepadanya cahaya yang menerangi kuburnya." 
(Hadis Riwayat Ummi Salamah)

Jauhi Sangkaan Buruk
Allah swt mengingatkan :- يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..." 
(Surah al-Hujurat ayat 12)


Jangan Mengutuk Makhluk Lain
Allah s.w.t. berfirman dalam sebuah hadis qudsi: “Wahai sekalian manusia, janganlah kemu mengutuk makhluk yang lain, kerana kutukan itu akan kembali kepada diri kamu.” Hadis Qudsi dari Imam al-Ghazali, Nasihat dan Bimbingan. Tahqiq: Dr. Abdul Hamid Salil Hamdan


BERKUMPUL BERSAMA ORANG SOLEH


“Orang yang berkumpul dengan orang baik, akan dikumpulkan bersama orang yang baik walaupun pada awalnya dia tidak baik. Orang yang berkumpul dengan orang yang tidak baik, akan dikumpulkan dengan orang yang tak baik, walaupun pada asalnya dia baik.”
(Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid)

Dari Abu Ya'la iaitu Syaddad bin Aus r.a. dari Nabi S.A.W., sabdanya : "Orang yang cerdik - berakal - ialah orang yang memperhitungkan keadaan dirinya dan suka beramal untuk mencari bekal sesudah matinya, sedangkan orang yang lemah ialah orang yang dirinya selalu mengikuti hawa nafsunya dan mengharap-harapkan kemurahan atas Allah - yakni mengharap-harapkan kebahagiaan dan pengampunan di akhirat tanpa beramal soleh."

[Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan]

ABU BAKAR R.A. MENANGIS DI SAAT YANG LAIN GEMBIRA


Abu Bakar r.a Menangis Di Saat yang Lain Gembira

Diriwayatkan bahwa setelah turun wahyu Al Quran Surat Al Maidah ayat 3, menangislah Umar bin Khattab ra. Maka Nabi SAW berkata kepadanya, “Apakah gerangan yang menyebabkan engkau menangis, hai Umar? ”

Umar menjawab, “Kita semua sudah berada dalam agama yang sempurna. Tetapi bila ia sudah sampai kepada titik puncak kesempurnaan, maka diatas itu tidak ada lagi yang lain, kecuali suatu kemunduran.”

Nabi menukas, “Benar engkau!”

Ayat Al-Maidah 3 diturunkan di Padang Arafah pada hari Jumaat sesudah Asar, yakni di saat Nabi berkendaraan di atas untanya. Sesudah itu apa-apa yang berkenaan dengan perintah- perintah yang fardhu tidak turun- turun lagi dari langit.

Pada mulanya Nabi tidak mampu untuk mendugaduga kemungkinan- kemungkinan yang terselip dalam arti yang di atas sehingga beliau hanya terengah dan bertelekan di atas untanya saja. Unta pun berhenti terhenyak adan Malaikat Jibril pun datanglah sambil berkata kepada Nabi, “Ya Muhammad! Hari ini telah sempurna urusan agamamu, telah selesai apa yang diperintahkan Tuhanmu dan juga segala apa yang dilarangNya. Dari itu, kumpulkanlah semua sahabatmu, dan beritahukan kepada mereka, bahwa aku tidak akan turun- turun lagi membawa wahyu kepadamu sesudah hari ini!”

Maka pulanglah Nabi dari Makkah kembali ke Madinah. Di sana dikumpulkanlah oleh beliau para sahabatnya dan dibacakanlah ayat ini kepada mereka serta diberitahukannya apa yang dikatakan Jibril padanya itu.

Semua sahabat menjadi gembira mendengarnya kecuali Abu Bakar. Para sahabat berkata, “Telah sempurnalah agama kita!”

Tetapi Abu Bakar As Sidiq pulang ke rumahnya sendirian dalam keadaan murung dan sedih. Dikuncinya pintu rumahnya dan ia pun sibuk menangis sepanjang malam dan siang. Hal itu didengar oleh para sahabat dan mereka berkumpul bersama-sama untuk mendatangi rumah Abu Bakar assidiq ra.

“Kenapa kerjamu menangis saja, hai Abu bakar, di saat orang lain semua bersuka ria. Bukankah Tuhan telah menyempurnakan agama kita?” tanya para sahabat.

Abu bakar sidiq ra menjawab: “Kamu semua tidak tahu bencana-bencana apakah kelak yang akan terjadi menimpa kita semua. Apakah kamu tidak mengerti bahwa tidak ada sesuatu apabila ia telah sampai kepada titik kesempurnaan, melainkan itu berarti permulaan kemerosotannya. Dalam ayat terbayang perpecahan di kalangan kita nanti, dan nasib HAaan Husein yang akan menjadi anak yatim, serta para isteri Nabi yang menjadi janda.”

Mendengar itu terpekiklah para sahabat dan dalam suasana penuh keharuan mereka menangislah semuanya, dan terdengarlah ratap tangis yang sayu dari rumah Abu Bakar itu oleh para tetangga yang lain. Mereka datang langsung kepada Nabi Muhammad SAW sendiri sambil menanyakan kepada beliau tentang hakikat kejadian yang sebenarnya.

“Ya Rasul Allah, kami tidak tahu keadaan yang menimpa diri para sahabat, kecuali kami hanya mendengar pekik tangis mereka belaka.”

Mendengar itu berubahlah wajah Rasulullah dan ia pun bertanya, : “Apakah yang kalian tangiskan?”

Yang menjawab adalah Ali ra., “Abu bakar r.a. berkata kepada kami, ‘Sesungguhnya aku mendengar angin kematian RAsulullah berdesir melalui ayat ini,’ dan dapatkah ayat ini dijadikan bukti bagi kematian engkau?”

Nabi menjawab, “Benarlah Abu Bakar dalam segala apa yang dikatakannya itu. Telah dekat masa kepergianku dari kalian semua, dan telah datang masa perpisahanku dengan kalian semua.”

Penegasan Nabi itu adalah isyarat, bahwa benarlah Abu bakar seorang yang paling arif dan cerdas di antara para sahabat Nabi. Dan ketika Abu Bakar mendengar ucapan Nabi itu, ia pun berteriak dan lantas jatuh pengsan. Ali menjadi gemetar, para sahabat menjadi gelisah; mereka semua ketakutan dan menangis menjadi-jadi. Begitu juga para malaikat di langit, makhluk-makhluk yang melata di bumi.

GURINDAM PASAL III - RAJA ALI HAJI





Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.

Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.

Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.

Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat

Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.

(Gurindam Pasal III -Raja Ali Haji)

Thursday, 22 May 2014

AKU YANG BERTANYA





Aku bertanya tentang mataku
Tuhan menjawab,
tataplah jalan itu.

Aku bertanya tentang hasratku
Tuhan menjawab,
biarkan berkobar.

Aku bertanya tentang hatiku 
Tuhan bertanya,
apa saja di dalamnya. 
Aku menjawab derita dan kesedihan 

Dia berkata,
tinggallah di situ. 
Luka adalah celah di mana Cahaya memasuki dirimu. 

~ Rumi <3 br="">



DENGAN MENGINGATI ALLAH HATI AKAN TENANG MENGHADAPI CABARAN HIDUP

KEHIDUPAN pasti ada cabaran, suka dan duka. Tidak bernama kehidupan tanpa cabaran, ia ibarat warna-warni yang menghias diri.

Namun, seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat ALLAH SWT sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan ALLAH SWT menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga ALLAH SWT menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan ALLAH SWT bagi menguji hamba-Nya.

Ketandusan hati adalah penyakit yang amat ketara dalam masyarakat kita hari ini. Ramai susah hati, gelisah, gundah-gulana walaupun memiliki segala-galanya, harta dan kuasa. Hakikatnya, kebahagiaan dan ketenangan bukan terletak kepada kemewahan, harta benda atau kuasa kerana manusia yang kaya-raya hidup tidak senang, takut, runsing dan tidak tenteram. Mengapa?

Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan. Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serta tidak melihat ALLAH SWT sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa. Demikian juga halnya dengan penyakit seperti dengki, dendam dan iri hati yang semuanya berpunca daripada kegelisahan dan tiada ketenangan dalam hati mereka.

Pelbagai usaha yang dilakukan dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, bersukan, yoga atau melukis.

Ada juga memilih jalan 'songsang' seperti berhibur di kelab malam, minum arak atau mengambil dadah.

Apabila manusia berasakan ALLAH SWT begitu dekat dengannya walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan ALLAH SWT. Inilah ubat ketenangan.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah dengan mengingati ALLAH SWT. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati ALLAH SWT itu, tenteramlah segala hati. (Surah al-Ra'd ayat 28).

Hati orang yang beriman itu akan sentiasa tenang dan tenteram kerana mereka mengingati ALLAH SWT. Tidak kira walau mereka ditimpa malapetaka, mereka segera insaf dan melihat kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah.

Kesenangan hati itu adalah kebahagiaan yang sebenarnya. Dengan itu, Islam amat menitikberatkan tanggungjawab menunaikan solat lima waktu lima kali sehari semalam kerana dengan bersembahyang manusia dapat membersihkan hati dan jiwa.

Nabi Muhammad SAW bersabda, sembahyang itu tempat ketenangan jiwa dan kesenangan hatinya. Jadi, orang yang mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam seolah-olah mereka mengingati ALLAH SWT siang, malam, pagi dan petang.

Dengan bersembahyang, hati terasa sedang mengadu serta merintih kepada ALLAH SWT. Hal berkenaan dijelaskan Rasulullah SAW, bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang". (Hadis riwayat Al-Nasa'ei).

Itulah bezanya orang yang bersembahyang dengan orang yang meninggalkannya. Maka jangan sesekali kita rasa berat mengerjakan solat kerana ia ternyata memberikan banyak manfaat.

Dalam mencari ketenangan, seseorang perlu berpandukan syarak supaya ia tidak jauh tersasar. Ketenangan yang dicari dengan berseronok hanyalah bersifat sementara.

Orang yang berada dalam keadaan tidak tenang akan sentiasa bersedih, muram serta susah hatinya. Maka, kita perlu mengingati ALLAH SWT pada setiap masa dan memohon taubat kepadanya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya, ALLAH SWT menyukai orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci" (Surah al-Baqarah ayat 222).

Walau bagaimana berat sekalipun ujian, ALLAH SWT sentiasa membantu. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dia yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka bersama keimanannya. Kepunyaan ALLAH SWT tentera langit dan bumi dan ALLAH SWT Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana" (Surah al-Fathu ayat 4).

Jadi, kita tidak boleh merungut, berasa beban atau tertekan dengan ujian hidup. Rasulullah SAW sendiri menempuh pelbagai ujian sehingga Baginda diangkat darjat Ulul Azmi iaitu mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Adakah kamu menyangka, kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang terdahulu sebelum kamu?
Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang amat sangat dan mereka gementar (ketakutan) sehingga berkata rasul dan orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan ALLAH SWT? Ingatlah, bahawasanya pertolongan ALLAH SWT itu hampir tiba." (Surah al-Baqarah ayat 214).

Bagi orang beriman, ujian bukanlah dianggap sesuatu perkara yang malang kerana ALLAH SWT mempunyai perancangan di sebaliknya.

Dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian ditimpa sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat pula, ALLAH SWT menurunkan ujian bagi meningkatkan darjat seseorang.

Tiada cara lain 'mengubati' penyakit gelisah melainkan mentaati segala perintah ALLAH SWT.

"Walaupun kita diuji dengan penyakit, derita atau miskin kita perlu kembali semula kepada ALLAH SWT yang pasti mempunyai perancangan buat manusia. "Bagaimana boleh dapat merasai ketenangan jika manusia tidak pernah melawan hawa nafsu yang sentiasa menjuruskan mereka ke lembah kehinaan."

Benar, kesedihan tidak mungkin dapat ditolak. Mengapakah kita memberi ruang serta membiarkan diri kita tenggelam dalam kesengsaraan?


Selain itu, orang beriman pasti tenang apabila dapat melihat alam ciptaan ALLAH SWT dan sebab itu manusia digalakkan berbuat demikian sebagai tanda memuji kebesaran ALLAH SWT.

"Mereka pasti rasa bahagia apabila dapat melihat ciptaan ALLAH SWT di muka bumi ini seperti lautan, bukit bukau, haiwan, langit dan gunung ganang yang semuanya mempunyai peranan masing-masing.

Muhasabah diri itu penting bagi menilai kesilapan kita. Jika kita berasakan diri ini teruk dilanda masalah, kita perlu fikir masih terdapat individu lain yang lebih hebat diuji ALLAH SWT.

Hanya dengan bersyukur atas nikmat yang diberi kita berasa redha dan lega atas cabaran yang sedang di hadapi. Taati perintah ALLAH SWT, perhatikan kebesaran ALLAH SWT, pasti hati anda tenang dan bahagia walaupun menghadapi cabaran yang bergelora.


TIADA TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH, RAJA YANG HAQ LAGI NYATA



Terjemahan :
"Tiada Tuhan berhak yang disembah melainkan Allah, Raja yang Haq lagi Nyata."

Ini adalah zikir yang telah diijazahkan oleh guru kita Al-Allamah الحبيب عمر بن حفيظ - Habib Omar pada jumaat lalu (06/12/13) di Maulid Bulanan MTDM bersama Al-Allamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz kepada para jamaah yang dikasihi.

Dibaca sebanyak 100x setiap hari & pada kebiasaannya, zikir ini dibaca antara waktu selepas solat fardhu Zohor dan sebelum masuk waktu solat fardhu Asar.

Selain itu, Al-Habib juga ijazahkan kita supaya istiqomah hadir majlis ilmu.
Alhamdulillah kita telah sama-sama menerimanya.

Selamat beramal...

Monday, 19 May 2014

BERSYUKUR DENGAN NIKMAT YANG SEDIA ADA


Allah Subhana Wa Taala berfirman: "Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
(Surah Ibrahim ayat 7)

Monday, 12 May 2014

KITA ADA ALLAH




Ketika suami atau isteri atau anak-anak kita sedih kerana masalah.
Dengar masalah mereka, tutup mulut, buka telinga, pandang mereka dengan sayang dan wajah sangat ambil berat... selimutkan, sentuhlah mereka sambil mendengar.
Bila mereka menangis, jangan tahan.
Biarkan mereka terus menangis tapi kita peluk mereka..

Teruskan menangis kerana semua orang soleh banyak menangis. Hati mereka lembut.

Setelah habis cerita, katakan jangan sedih dan risau kita ada Allah...Cukuplah Allah buat kita.
Semuanya Allah punya...Allah kan sayang kita. Mesti semua ini kerana sayangnya pada kita.
Cuma kita bagaikan anak-anak kecil untuk fahami semua ini.

Apa yang berlaku semuanya telah ditakdirkan Allah...insyaAllah ada rahmat Allah nak datang..
Pelbagai kesusahan telah kita lalui dalam hidup ini yang bagaikan tiada jalan keluar.
Kita menangis dan kita buntu. Tapi Allah beri jalan keluar dari pelbagai masalah selama ini..
Allah jualah yang sentiasa memberi jalan keluar buat kita semua..

INDAHNYA sebuah Rumah, semua seronok cakap pasal Allah...cerita Nabi saw, Nabi-nabi dan sahabah rhum..Jom bentuk suasana dalam rumah seperti rumah sahabah rhum sehingga malam-malam ini rumah kita bercahaya seperti bintang bercahaya diwaktu malam......

Mungkin rumah kita besar atau kecil..Mungkin dibandar di kampung tapi penentunya bagaimana ia dilihat disisi penghuni langit..Adakah ia dilihat seperti 1400 tahun yang lalu seperti rumah sahabat rhum. Betapa sayangnya Allah pada kita.Tunggu dan lihatlah nikmatnya..

Hidupkan dengan dakwah dan percakapan iman...

Ya Allah cukuplah Engkau buat kami semua..
Ya Allah cukuplah kasih sayang-Mu buat kami.
Ya Allah kami hanya perlukan-Mu Ya Allah..kasih sayang-Mu.. Redha-Mu






Sunday, 11 May 2014

WAHAI SAUDARIKU

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Wahai saudariku…

dengan kecantikanmu, engkau lebih indah daripada matahari.
dengan akhlakmu, engkau lebih harum daripada wangian kasturi.
dengan sifat rendah hati, darjatmu lebih tinggi daripada rembulan.
dengan kelembutanmu, engkau lebih halus daripada rintik hujan.
dengan kejujuran di bibirmu, lebih menawan daripada lembayung senja yang merona.
dengan santun tutur bahasamu, lebih merdu daripada seruling bambu.
dengan sifat malu yang engkau kenakan, lebih anggun daripada seribu taman bunga.

Saudariku kamu lebih cantik, elok rupawan bukan sekedar penampilan namun dari keperibadianmu yang menawan.

Ya Allah….

jadikanlah saudari-saudariku ini wanita sholehah yang cantik lahir dan batin.


Aamiin Allahuma Aamiin...

Friday, 2 May 2014

UJIAN ADALAH PUJUKAN MANJA DARI ALLAH




Ujian, adalah panggilan pujukan manja dari Tuhan.

Hari ini, dalam kepadatan waktu melunaskan tugas pejabat, telefon bimbit saya ditembusi panggilan daripada orang jauh. Ganjil, kerana dia antara teman yang jarang benar menghubungi saya pada waktu kerja. Saat panggilan itu dibuat pada waktu pejabat, tahulah saya bahawa ada urusan yang menuntut kesegeraan.

Selesai bertanya khabar dan saling mendoakan, dia berkisah,

"Sudah lebih sebulan, hati saya sangat berat. Otak saya terlalu penat. Sarat. Dugaan bertali arus. Mula-mula, kereta saya bermasalah di jalanan sehinggakan mesyuarat melibatkan bisnes penting terlepas. Kemudian, saya dimarahi oleh boss, diberikan surat tunjuk sebab atas kegagalan itu sehingga saya diancam untuk ditukarkan ke tempat jauh. Anak pula sering sakit-sakit. Otak serabut. Saya hilang kekuatan dan semangat."

Saya dengar dan tersenyum, meskipun senyuman itu tidak boleh ditatapi oleh teman nan jauh. Setidak-tidaknya, saya berikan signal kecil pada diri bahawa saya perlu tenang.

Lalu saya sambut keluhannya dengan kata-kata ini, :"Allah kirimkan ujian sebab Dia mahu awak bermanja dengan dia melalui solat dan doa. Allah rindukan awak, dan bersyukurlah kerana Allah sedang mengawasi diri awak. Bermakna, awak masih berada dalam pandangan cinta dan kasih Allah, Tuhan kita yang Maha Sempurna segala."

Kita selalu rasa, bahawa apa yang kita lalui saat ini adalah dugaan paling berat, tanpa kita ukur bahawa ada orang lain yang perlu mendepani getir ujian yang lebih menguji keampuhan iman.

Termometer iman kita sentiasa layak untuk diuji, adakah ia suam, hangat, atau terlalu panas. Mungkin saat Allah uji itu, hati kita sedang mencintai isi dunia ini dengan terlalu. Lantas, Allah hadirkan peringatan agar kecintaan yang berlebihan itu kendur dan kita kembali melangkah dan fokus pada tujuan asal kita makhluk-Nya diciptakan.

Allah hilangkan peluang perniagaan hari ini, kerana Dia mahu hadiahkan iman yang lebih tinggi untuk kita hargai. Iman yang mengisi hati itu akan subur dan bakal menjadi tiket untuk kita menuju ke syurga saat kita berpindah dunia kelak."

Sungguh, saat saya menuturkan bait kalimah ini, saya sebak. Saya mungkin mampu menuturkannya buat menguatkan hati teman nan jauh. Hakikatnya, diri saya juga teruji, iman saya juga diduga, kehidupan saya juga ada gelora dan pasang surutnya.

Yang pasti, saya tahu bahawa ujian itu adalah signal untuk kita menjadi lebih manja dengan Allah, berkisah dan bercerita, bahkan mengadu dengan apa sahaja yang terbuku di jiwa pada zat yang paling layak, paling sempurna.

Di hujung talian, saya terdengar esakan kecil. Sejenak, minda saya terus tergambar dengan firman Allah dalam surah Al-Insyirah. Pada setiap kesulitan itu, Allah hadirkan sekali kesenangan. Oh... Sangat adil Tuhanku yang maha bijaksana.

Sahabat, dunia ini bukan akhir tujuan dalam perjuangan kita. Dunia ini, tempat kita menyemai dan menanam benih kebaikan, kerana asal penciptaan kita pun adalah untuk mengabdi pada Allah yang maha penyayang.

Justeru, wajar sekali kita ini diuji andai paksi pengabdian itu tersasar haluan. Lalu, hadirlah ujian bagi memberikan keseimbangan dalam memaknakan jalan keimanan.







SISIHKAN PEDIH LIRIH DI HATIMU


Wahai hati yang masih berduka.
Hati itu yang terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya .

Seumpama pokok yang ditanam paku. Mana mungkin akan segera bertautnya kulit pokok sebaik sahaja paku dicabutkan.

Lupakan masa lalu yang mendukakan.
Maafkan setiap orang yang melontar kata menghiris kalbumu.
Bukalah pintu kemaafanmu.
Nescaya dadamu terasa lapang dan akan beroleh bahagia yang Hanya Allah Yang Maha Esa dan Maha Sempurna memberikanmu bahagia.

Gapailah cinta-Nya.

Di hujung kerelaan itu akan terdampar sinar bahagia yang tak kau jangkakan.
Ianya kurniaan indah dari insan yang berTuhan.

Nyatalah hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

Hidup di atas dunia ini umpama lautan yang luas.
Kita adalah kapal yang belayar di lautan.
Telah banyak kapal yang karam di dalam ini.

Hidup tanpa iman, tanpa ilmu dan tanpa pegangan seumpama rakit buruk yang ditinggalkan di tepian sungai.
Sudahlah buruk, diputuskan pula tali pengikat lalu hanyut tanpa haluan.


TIDAK!!!!!

Aku tak mahu seperti itu.

Dalam setiap detik berlalu, ingatlah selalu sesiapa yang melihat-lihat keaiban diri, dia tidak akan peduli keaiban orang lain.

Sesiapa yang tidak mengenakan pakaian takwa, dia tidak akan ditutupi dengan suatu apa pun.

Sesiapa yang redha dengan rezeki Allah, dia tidak akan sedih dengan apa yang ada di tangan orang lain.

Sesiapa yang mencabut pedang kezaliman, dia akan memotong tangannya.

Sesiapa yang menggali telaga fitnah untuk saudaranya, dia akan terjatuh ke dalamnya.

Sesiapa yang mencabut hijab (penghadang) orang lain, akan terbukalah auratnya (keaibannya).

Sesiapa yang merahsia sesuatu perkara kebatilan, dia akan mendapat celaka.

Sesiapa yang membahayakan dirinya, dia akan binasa.

Sesiapa yang tidak menggunakan akalnya, dia akan dihina.

Sesiapa yang bersifat takbur dengan manusia, dia akan dikeji.

Sesiapa yang menyelidiki dengan mendalam sesuatu pekerjaan yang tidak utama (perkara), dia akan berasa jemu.

Sesiapa yang tidak berpengalaman dalam setiap urusan, dia akan dikhianati.

Sesiapa yang mengetahui ajal mautnya, akan pendeklah impiannya.

Sesiapa yang bersahabat dengan orang rendah akhlak, dia dipandang hina.

Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi.
Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa.
Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

Wahai hati yang berduka.
Ceriakan hari-hari kehidupanmu.
Ambillah nasihat daripada orang yang menghargaimu.
Binalah hati yang gemilang yang senantiasa merancang kebaikan.

Sabda Rasulullah SAW:
" Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta benda kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu" ( Hadis Riwayat Muslim ).

Berlarilah terus hingga ke garisan penamat, sebab perlumbaan yang tidak sampai ke garisan penamat itu tidak akan dapat menentukan kekalahan atau kemenangan.

Tunggulah, aku tetap akan berjalan.


Wallahu'alam

KEKASIH NAN SATU

Ya Jamii'
wahai kekasih nan Satu
dakap erat jiwaku
biar duka menepi
kembali cahaya murni
kepada-Mu jua
daku kembali
Ya Ilahi Rabbi