Wahai hati yang masih berduka.
Hati itu yang terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya .
Seumpama pokok yang ditanam paku. Mana mungkin akan segera bertautnya kulit pokok sebaik sahaja paku dicabutkan.
Lupakan masa lalu yang mendukakan.
Maafkan setiap orang yang melontar kata menghiris kalbumu.
Bukalah pintu kemaafanmu.
Nescaya dadamu terasa lapang dan akan beroleh bahagia yang Hanya Allah Yang Maha Esa dan Maha Sempurna memberikanmu bahagia.
Gapailah cinta-Nya.
Di hujung kerelaan itu akan terdampar sinar bahagia yang tak kau jangkakan.
Ianya kurniaan indah dari insan yang berTuhan.
Nyatalah hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.
Hidup di atas dunia ini umpama lautan yang luas.
Kita adalah kapal yang belayar di lautan.
Telah banyak kapal yang karam di dalam ini.
Hidup tanpa iman, tanpa ilmu dan tanpa pegangan seumpama rakit buruk yang ditinggalkan di tepian sungai.
Sudahlah buruk, diputuskan pula tali pengikat lalu hanyut tanpa haluan.
TIDAK!!!!!
Aku tak mahu seperti itu.
Dalam setiap detik berlalu, ingatlah selalu sesiapa yang melihat-lihat keaiban diri, dia tidak akan peduli keaiban orang lain.
Sesiapa yang tidak mengenakan pakaian takwa, dia tidak akan ditutupi dengan suatu apa pun.
Sesiapa yang redha dengan rezeki Allah, dia tidak akan sedih dengan apa yang ada di tangan orang lain.
Sesiapa yang mencabut pedang kezaliman, dia akan memotong tangannya.
Sesiapa yang menggali telaga fitnah untuk saudaranya, dia akan terjatuh ke dalamnya.
Sesiapa yang mencabut hijab (penghadang) orang lain, akan terbukalah auratnya (keaibannya).
Sesiapa yang merahsia sesuatu perkara kebatilan, dia akan mendapat celaka.
Sesiapa yang membahayakan dirinya, dia akan binasa.
Sesiapa yang tidak menggunakan akalnya, dia akan dihina.
Sesiapa yang bersifat takbur dengan manusia, dia akan dikeji.
Sesiapa yang menyelidiki dengan mendalam sesuatu pekerjaan yang tidak utama (perkara), dia akan berasa jemu.
Sesiapa yang tidak berpengalaman dalam setiap urusan, dia akan dikhianati.
Sesiapa yang mengetahui ajal mautnya, akan pendeklah impiannya.
Sesiapa yang bersahabat dengan orang rendah akhlak, dia dipandang hina.
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi.
Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa.
Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.
Wahai hati yang berduka.
Ceriakan hari-hari kehidupanmu.
Ambillah nasihat daripada orang yang menghargaimu.
Binalah hati yang gemilang yang senantiasa merancang kebaikan.
Sabda Rasulullah SAW:
" Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta benda kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu" ( Hadis Riwayat Muslim ).
Berlarilah terus hingga ke garisan penamat, sebab perlumbaan yang tidak sampai ke garisan penamat itu tidak akan dapat menentukan kekalahan atau kemenangan.
Tunggulah, aku tetap akan berjalan.
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment