Friday, 2 May 2014

UJIAN ADALAH PUJUKAN MANJA DARI ALLAH




Ujian, adalah panggilan pujukan manja dari Tuhan.

Hari ini, dalam kepadatan waktu melunaskan tugas pejabat, telefon bimbit saya ditembusi panggilan daripada orang jauh. Ganjil, kerana dia antara teman yang jarang benar menghubungi saya pada waktu kerja. Saat panggilan itu dibuat pada waktu pejabat, tahulah saya bahawa ada urusan yang menuntut kesegeraan.

Selesai bertanya khabar dan saling mendoakan, dia berkisah,

"Sudah lebih sebulan, hati saya sangat berat. Otak saya terlalu penat. Sarat. Dugaan bertali arus. Mula-mula, kereta saya bermasalah di jalanan sehinggakan mesyuarat melibatkan bisnes penting terlepas. Kemudian, saya dimarahi oleh boss, diberikan surat tunjuk sebab atas kegagalan itu sehingga saya diancam untuk ditukarkan ke tempat jauh. Anak pula sering sakit-sakit. Otak serabut. Saya hilang kekuatan dan semangat."

Saya dengar dan tersenyum, meskipun senyuman itu tidak boleh ditatapi oleh teman nan jauh. Setidak-tidaknya, saya berikan signal kecil pada diri bahawa saya perlu tenang.

Lalu saya sambut keluhannya dengan kata-kata ini, :"Allah kirimkan ujian sebab Dia mahu awak bermanja dengan dia melalui solat dan doa. Allah rindukan awak, dan bersyukurlah kerana Allah sedang mengawasi diri awak. Bermakna, awak masih berada dalam pandangan cinta dan kasih Allah, Tuhan kita yang Maha Sempurna segala."

Kita selalu rasa, bahawa apa yang kita lalui saat ini adalah dugaan paling berat, tanpa kita ukur bahawa ada orang lain yang perlu mendepani getir ujian yang lebih menguji keampuhan iman.

Termometer iman kita sentiasa layak untuk diuji, adakah ia suam, hangat, atau terlalu panas. Mungkin saat Allah uji itu, hati kita sedang mencintai isi dunia ini dengan terlalu. Lantas, Allah hadirkan peringatan agar kecintaan yang berlebihan itu kendur dan kita kembali melangkah dan fokus pada tujuan asal kita makhluk-Nya diciptakan.

Allah hilangkan peluang perniagaan hari ini, kerana Dia mahu hadiahkan iman yang lebih tinggi untuk kita hargai. Iman yang mengisi hati itu akan subur dan bakal menjadi tiket untuk kita menuju ke syurga saat kita berpindah dunia kelak."

Sungguh, saat saya menuturkan bait kalimah ini, saya sebak. Saya mungkin mampu menuturkannya buat menguatkan hati teman nan jauh. Hakikatnya, diri saya juga teruji, iman saya juga diduga, kehidupan saya juga ada gelora dan pasang surutnya.

Yang pasti, saya tahu bahawa ujian itu adalah signal untuk kita menjadi lebih manja dengan Allah, berkisah dan bercerita, bahkan mengadu dengan apa sahaja yang terbuku di jiwa pada zat yang paling layak, paling sempurna.

Di hujung talian, saya terdengar esakan kecil. Sejenak, minda saya terus tergambar dengan firman Allah dalam surah Al-Insyirah. Pada setiap kesulitan itu, Allah hadirkan sekali kesenangan. Oh... Sangat adil Tuhanku yang maha bijaksana.

Sahabat, dunia ini bukan akhir tujuan dalam perjuangan kita. Dunia ini, tempat kita menyemai dan menanam benih kebaikan, kerana asal penciptaan kita pun adalah untuk mengabdi pada Allah yang maha penyayang.

Justeru, wajar sekali kita ini diuji andai paksi pengabdian itu tersasar haluan. Lalu, hadirlah ujian bagi memberikan keseimbangan dalam memaknakan jalan keimanan.







No comments:

Post a Comment