Thursday, 22 May 2014

DENGAN MENGINGATI ALLAH HATI AKAN TENANG MENGHADAPI CABARAN HIDUP

KEHIDUPAN pasti ada cabaran, suka dan duka. Tidak bernama kehidupan tanpa cabaran, ia ibarat warna-warni yang menghias diri.

Namun, seberat mana masalah yang menimpa, jangan mudah berputus asa. Rahmat dan nikmat ALLAH SWT sentiasa meliputi kita. Sebenarnya tujuan ALLAH SWT menyakitkan adalah bagi menyembuhkan, begitu juga ALLAH SWT menyempitkan adalah untuk meluaskan. Hebatnya perancangan ALLAH SWT bagi menguji hamba-Nya.

Ketandusan hati adalah penyakit yang amat ketara dalam masyarakat kita hari ini. Ramai susah hati, gelisah, gundah-gulana walaupun memiliki segala-galanya, harta dan kuasa. Hakikatnya, kebahagiaan dan ketenangan bukan terletak kepada kemewahan, harta benda atau kuasa kerana manusia yang kaya-raya hidup tidak senang, takut, runsing dan tidak tenteram. Mengapa?

Apabila hati dikuasai iman dan takwa, akan lahirlah kebaikan. Namun, apabila hati dikuasai nafsu, amal yang muncul adalah keburukan. Tidak hairanlah apabila seseorang itu mengalami kegelisahan akan melakukan apa saja di luar batasan akal manusia. Ia berlaku kerana gagal mengawal perasaan serta tidak melihat ALLAH SWT sebagai Yang Maha Kuasa dan Maha Esa. Demikian juga halnya dengan penyakit seperti dengki, dendam dan iri hati yang semuanya berpunca daripada kegelisahan dan tiada ketenangan dalam hati mereka.

Pelbagai usaha yang dilakukan dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, bersukan, yoga atau melukis.

Ada juga memilih jalan 'songsang' seperti berhibur di kelab malam, minum arak atau mengambil dadah.

Apabila manusia berasakan ALLAH SWT begitu dekat dengannya walaupun dibebani dengan masalah, mereka akan segera mendapatkan ketenangan dengan membaca al-Quran, berzikir, bersolat dan melihat keindahan alam ciptaan ALLAH SWT. Inilah ubat ketenangan.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah dengan mengingati ALLAH SWT. Ingatlah (bahawa) dengan mengingati ALLAH SWT itu, tenteramlah segala hati. (Surah al-Ra'd ayat 28).

Hati orang yang beriman itu akan sentiasa tenang dan tenteram kerana mereka mengingati ALLAH SWT. Tidak kira walau mereka ditimpa malapetaka, mereka segera insaf dan melihat kembali kesilapan yang dilakukan agar ia dapat diubah.

Kesenangan hati itu adalah kebahagiaan yang sebenarnya. Dengan itu, Islam amat menitikberatkan tanggungjawab menunaikan solat lima waktu lima kali sehari semalam kerana dengan bersembahyang manusia dapat membersihkan hati dan jiwa.

Nabi Muhammad SAW bersabda, sembahyang itu tempat ketenangan jiwa dan kesenangan hatinya. Jadi, orang yang mengerjakan sembahyang lima kali sehari semalam seolah-olah mereka mengingati ALLAH SWT siang, malam, pagi dan petang.

Dengan bersembahyang, hati terasa sedang mengadu serta merintih kepada ALLAH SWT. Hal berkenaan dijelaskan Rasulullah SAW, bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang". (Hadis riwayat Al-Nasa'ei).

Itulah bezanya orang yang bersembahyang dengan orang yang meninggalkannya. Maka jangan sesekali kita rasa berat mengerjakan solat kerana ia ternyata memberikan banyak manfaat.

Dalam mencari ketenangan, seseorang perlu berpandukan syarak supaya ia tidak jauh tersasar. Ketenangan yang dicari dengan berseronok hanyalah bersifat sementara.

Orang yang berada dalam keadaan tidak tenang akan sentiasa bersedih, muram serta susah hatinya. Maka, kita perlu mengingati ALLAH SWT pada setiap masa dan memohon taubat kepadanya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya, ALLAH SWT menyukai orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci" (Surah al-Baqarah ayat 222).

Walau bagaimana berat sekalipun ujian, ALLAH SWT sentiasa membantu. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dia yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan mereka bersama keimanannya. Kepunyaan ALLAH SWT tentera langit dan bumi dan ALLAH SWT Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana" (Surah al-Fathu ayat 4).

Jadi, kita tidak boleh merungut, berasa beban atau tertekan dengan ujian hidup. Rasulullah SAW sendiri menempuh pelbagai ujian sehingga Baginda diangkat darjat Ulul Azmi iaitu mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Adakah kamu menyangka, kamu akan masuk syurga sahaja dan tidak akan datang (malapetaka) kepadamu seperti yang telah datang kepada orang terdahulu sebelum kamu?
Mereka ditimpa kemiskinan dan kemelaratan yang amat sangat dan mereka gementar (ketakutan) sehingga berkata rasul dan orang yang beriman bersamanya: Bilakah tibanya pertolongan ALLAH SWT? Ingatlah, bahawasanya pertolongan ALLAH SWT itu hampir tiba." (Surah al-Baqarah ayat 214).

Bagi orang beriman, ujian bukanlah dianggap sesuatu perkara yang malang kerana ALLAH SWT mempunyai perancangan di sebaliknya.

Dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian ditimpa sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat pula, ALLAH SWT menurunkan ujian bagi meningkatkan darjat seseorang.

Tiada cara lain 'mengubati' penyakit gelisah melainkan mentaati segala perintah ALLAH SWT.

"Walaupun kita diuji dengan penyakit, derita atau miskin kita perlu kembali semula kepada ALLAH SWT yang pasti mempunyai perancangan buat manusia. "Bagaimana boleh dapat merasai ketenangan jika manusia tidak pernah melawan hawa nafsu yang sentiasa menjuruskan mereka ke lembah kehinaan."

Benar, kesedihan tidak mungkin dapat ditolak. Mengapakah kita memberi ruang serta membiarkan diri kita tenggelam dalam kesengsaraan?


Selain itu, orang beriman pasti tenang apabila dapat melihat alam ciptaan ALLAH SWT dan sebab itu manusia digalakkan berbuat demikian sebagai tanda memuji kebesaran ALLAH SWT.

"Mereka pasti rasa bahagia apabila dapat melihat ciptaan ALLAH SWT di muka bumi ini seperti lautan, bukit bukau, haiwan, langit dan gunung ganang yang semuanya mempunyai peranan masing-masing.

Muhasabah diri itu penting bagi menilai kesilapan kita. Jika kita berasakan diri ini teruk dilanda masalah, kita perlu fikir masih terdapat individu lain yang lebih hebat diuji ALLAH SWT.

Hanya dengan bersyukur atas nikmat yang diberi kita berasa redha dan lega atas cabaran yang sedang di hadapi. Taati perintah ALLAH SWT, perhatikan kebesaran ALLAH SWT, pasti hati anda tenang dan bahagia walaupun menghadapi cabaran yang bergelora.


No comments:

Post a Comment